Tag: #DiperdayaPsikedelikCinta

  • KIIYAS Bawa Jiwa Rock Baharu Menerusi “Niskala”

    KIIYAS Bawa Jiwa Rock Baharu Menerusi “Niskala”

    Kumpulan rock KIIYAS kembali dengan karya terbaharu mereka berjudul “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)”, sebuah single yang membawa kisah tentang cinta, pengorbanan dan perjuangan di sebalik gelapnya dunia ketagihan dadah sintetik. Lagu ini kini sudah boleh didengari di Spotify, manakala video Audio Rasmi juga telah dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi KIIYAS.

    Mengangkat tema cinta yang diuji dengan ketagihan, “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)” menampilkan sisi emosi KIIYAS yang lebih mendalam dan matang. Lagu ini berkisarkan tentang kecekalan seorang suami yang tetap setia mempertahankan cintanya terhadap isteri yang terjerumus dalam dunia ketagihan, sekali gus mengangkat realiti yang sering tersembunyi di sebalik senyuman dan hubungan yang nampak bahagia.

    Menurut KIIYAS, mereka mahu menyampaikan bahawa cinta bukan sekadar tentang rasa bahagia atau euforia semata-mata, tetapi turut menuntut pengorbanan dan kesetiaan walaupun ketika berdepan saat paling sukar dalam hidup.

    Lagu ini dihasilkan secara bersama oleh semua anggota KIIYAS, manakala liriknya pula ditulis oleh Amir HS. KIIYAS dianggotai oleh Abel selaku vokalis, Yeus di posisi bass, Ijaz dan Amir HS sebagai pemain gitar serta Nasrul di bahagian dram.

    Walaupun kumpulan ini ditubuhkan sejak tahun 2016, KIIYAS mula bergerak aktif sepenuhnya sekitar tahun 2021. Sejak itu, mereka tampil dengan identiti rock tersendiri yang dibentuk mengikut jiwa dan citarasa muzik mereka sendiri. Pelancaran “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)” juga menjadi satu lagi langkah buat mereka untuk terus mengukuhkan nama dalam arena muzik rock tempatan.

    Apa yang menarik, lagu ini bukan sekadar lagu cinta biasa. Ia turut membawa gambaran tentang realiti kehidupan dan konflik emosi seseorang yang tersepit antara cinta dan kehancuran diri. Dalam masa sama, ia membawa mesej bahawa walau sekelam mana keadaan, kasih yang ikhlas masih mampu menjadi sinar harapan.

    Selepas pelancaran “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)”, KIIYAS kini sedang merancang untuk tampil dengan EP sulung mereka berjudul “Rantai”. EP tersebut dijangka menghimpunkan beberapa karya baharu yang menyentuh pelbagai tema seperti perjuangan, persahabatan, sindiran politik dan realiti kehidupan masa kini.

    Dalam perkembangan lain, KIIYAS kini turut bekerjasama dengan Luncai Emas Sdn. Bhd. bagi urusan edaran digital. Kerjasama ini pastinya membuka peluang lebih luas untuk muzik mereka sampai kepada lebih ramai pendengar.

    KIIYAS mengakui mereka cukup teruja dengan kolaborasi tersebut dan berharap pengalaman serta rangkaian luas dimiliki Luncai Emas mampu membantu memperkenalkan muzik mereka kepada khalayak yang lebih besar, bukan sahaja di Malaysia malah ke luar negara.

    “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, manakala video Audio Rasmi boleh ditonton menerusi YouTube rasmi KIIYAS.