Tag: #CatFashionWeek

  • King Evian Rangkul Gelaran Juara Super ‘Meow-del’ Malaysia di Cat Fashion Week TV3

    King Evian Rangkul Gelaran Juara Super ‘Meow-del’ Malaysia di Cat Fashion Week TV3

    Pentas akhir Cat Fashion Week mencatatkan sejarah apabila seekor kucing baka ragdoll bernama Evian, milik Nor Anis Halyatie, dinobatkan sebagai juara sulung. Dengan konsep peragaan bertemakan “royalty” yang penuh karisma, Evian memukau juri dan penonton, sekaligus melayakkan dirinya membawa pulang trofi serta wang tunai RM5,000.

    Sorakan penonton bergema sebaik sahaja lapan finalis, iaitu Juny, Omey, Goyem, Chibbu, Evian, Winter, Kristoff dan Mocha, melangkah ke pentas seolah-olah selebriti ternama. Pertunjukan itu bukan sekadar persembahan fesyen, sebaliknya mengangkat kisah unik, kreativiti luar biasa dan ikatan kasih sayang antara pemilik serta kucing kesayangan mereka.

    Evian menyerlah sebagai bintang utama apabila tampil dengan jubah baldu biru gelap berhias manik emas, diinspirasikan daripada mata birunya sendiri. Aura bangsawan itu bukan sahaja menjelmakan kemegahan fesyen, malah menyempurnakan karakter Evian yang terkenal dengan sifatnya yang tegas terutama ketika tiba waktu makan. Menurut Anis, kemenangan tersebut sesuatu yang tidak dijangka kerana penyertaan mereka hanya bermula sekadar suka-suka. “Konsep royalty memang tepat dengan karakter Evian yang macam raja. Hadiah kemenangan belum saya fikirkan, tapi mungkin saya akan beri dia ayam rebus kegemarannya,” katanya dengan gembira.

    Gelaran naib juara pula menjadi milik Juny, si ratu berbulu gebu yang mempesona dengan gaun merah mewah hasil jahitan tangan suami pemiliknya, Nur Farahin. Persembahan mereka menyerlahkan kehangatan kasih sayang keluarga yang menyentuh hati. Tempat ketiga dimenangi Chibbu, milik Sharifah Nurulawwal, dengan penampilan berinspirasikan Mesir Purba. Dari kostum mewah berpermata hingga ke props padang pasir, setiap butiran dirancang teliti, ditambah pula dengan dua pengiring yang menambahkan elemen dramatik dalam persembahan.

    Anugerah khas FELIX – Si Bulus Paling Memikat disandang Goyem, milik Siti Rohani yang sanggup merentas perjalanan jauh dari Kedah demi penyertaan pertamanya. Menggayakan tema misi operasi ala koboi dengan topi songket, Goyem membuka persembahan penuh gimik apabila keluar dari kotak, satu sentuhan kreatif yang mengimbau detik pertama pertemuan antara pemilik dan si bulus tersebut.

    Finalis lain turut memeriahkan pentas dengan pelbagai konsep menarik. Omey tampil bak pelumba F1, lengkap dengan kereta mainan khas. Winter pula menyerlahkan gaya futuristik glamor dengan aksesori emas berkilau, manakala Kristoff tampil dalam seragam kapten penuh bergaya dengan sentuhan persona ala “Catman”. Mocha pula membawa penonton ke dunia fantasi dengan busana puteri dongeng bersayap rama-rama yang seolah-olah melangkah keluar dari hutan magis.

    Pentas akhir ini diadili oleh barisan juri hebat iaitu Mohd Jeffrey, pengasas dan pakar dandanan kucing MJMA Academy, penyanyi Mark Adam, Shiha Zikir serta pereka fesyen tersohor Rizman Nordin. Keempat-empat mereka sependapat bahawa pertandingan ini bukan sahaja menyeronokkan malah membuka perspektif baharu terhadap dunia fesyen dan hiburan. Rizman mengakui pengalaman menjadi juri fesyen kucing sesuatu yang luar biasa, manakala Shiha berharap program segar seperti ini dapat dijadikan acara tahunan.

    Pengurus Besar Kandungan TV3, Puan Marlia Zul Amran, turut melahirkan rasa teruja dengan usaha luar biasa para peserta. Beliau menyifatkan setiap persembahan dipersiapkan dengan penuh kesungguhan, seolah-olah setaraf dengan penganjuran Anugerah Juara Lagu. “Program ini benar-benar segar untuk tontonan umum, dengan menampilkan kucing sebagai bintang utama. Kami berharap ia dapat memupuk rasa sayang terhadap haiwan sambil mencipta lebih banyak kenangan manis bersama kucing kesayangan,” ujarnya.

    Kemenangan Evian sekali gus membuktikan bahawa dunia fesyen kini semakin berkembang dan inklusif, bukan sahaja menampilkan manusia sebagai peragawan, tetapi juga rakan berbulu kesayangan yang mampu mencuri perhatian lensa kamera serta menghiburkan jutaan penonton di rumah.

  • Rahsia Terbongkar! Finalis Cat Fashion Week Rupanya Kakak Sophia Albarakbah

    Rahsia Terbongkar! Finalis Cat Fashion Week Rupanya Kakak Sophia Albarakbah

    Para pencinta kucing, bersedia untuk malam penuh kecomelan! Esok tepat jam 9.00 malam di TV3, penonton akan disajikan dengan gelagat Chibbu, kucing kesayangan Sharifah Nurulawwal atau Awwal, yang juga kakak kepada pelakon popular Sophia Albarakbah.

    Keluarga Albarakbah memang terkenal dengan minat luar biasa terhadap si bulus ada yang membela sehingga 22 ekor kucing di bawah satu bumbung! Namun, Chibbu bukan sekadar kucing biasa. Dengan hobi peliknya yang gemar makan buah tembikai dan tabiat manja suka diurut, Chibbu benar-benar tampil dengan personaliti unik yang membuatkan ramai jatuh hati.

    Lebih istimewa, setiap kostum Chibbu direka sendiri oleh Awwal yang juga seorang pereka fesyen. Kreativiti dan dedikasi itu jelas terserlah sejak pusingan awal apabila Chibbu menggayakan karakter lanun ketika sesi ‘pre-judging’. Untuk pentas akhir esok, pasangan tuan dan si comel ini bakal menampilkan tema penuh gah – Kerajaan Mesir Purba – dengan hiasan batu permata dan fabrik mewah yang pasti memukau mata.

    Komitmen Awwal sebagai seorang ‘cat parent’ memang tidak dapat disangkal. Dari latihan hinggalah persiapan kostum, semuanya dilakukan demi memastikan Chibbu mencuri perhatian di malam kemuncak.

    Adakah Chibbu bakal dinobatkan sebagai ‘meow-jikan’ Cat Fashion Week tahun ini? Sama-sama kita nantikan kejutan dan gaya penuh elegan di pentas akhir, esok jam 9.00 malam, eksklusif hanya di TV3!