Kumpulan muzik tempatan BluntSheep di bawah naungan Padu Records dengan bangganya melancarkan mini album istimewa berjudul Di Puncak Dunia. Album ini menghimpunkan empat buah lagu baharu dengan lagu utama bertemakan patriotik yang turut menggunakan judul sama. Melalui karya ini, BluntSheep menyampaikan mesej perjuangan, perpaduan serta aspirasi untuk mengangkat nama Malaysia agar berdiri megah di pentas dunia.
Pelancaran album ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures, sebuah inisiatif di bawah dasar Kerajaan Madani yang komited merancakkan bakat tempatan serta memperkukuh industri kreatif tanah air. Sokongan tersebut melambangkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan karya seni tempatan terus berkembang, sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menurut kenyataan rasmi BluntSheep, album Di Puncak Dunia lahir daripada rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air. Mereka menekankan bahawa walaupun rakyat Malaysia berbeza latar belakang, kita tetap sejiwa dan bersatu demi mengangkat martabat negara. Sebagai simbol patriotisme, kumpulan ini turut menukar warna gitar mereka kepada Jalur Gemilang, tanda semangat cinta negara yang ingin mereka sebarkan melalui muzik.

Mini album ini bukan sekadar himpunan lagu, tetapi simbol harapan bahawa Malaysia mampu terus melangkah megah, mencapai kejayaan dan berdiri sama tinggi dengan negara lain di pentas global. BluntSheep juga berharap karya ini akan menjadi batu loncatan penting dalam perjalanan mereka menembusi pasaran antarabangsa.
Album ini menampilkan empat buah lagu asli hasil ciptaan mereka iaitu Di Puncak Dunia, Lelah, Cinta Paling Hebat dan Hanya Dia. Kesemua lagu kini boleh didapati di pelbagai platform penstriman digital utama.
BluntSheep terdiri daripada tiga anak muda berusia 18 tahun iaitu Atta Rumnan, Umar Naufal dan Mosses. Pemain bass asal mereka, Dzaff, kini sedang berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada pelajaran, manakala posisi tersebut buat masa ini digalas oleh Jayden. Mereka turut dibantu oleh Ariff Azmi sebagai gitaris kedua. Dengan semangat perjuangan dan visi yang jelas, BluntSheep berhasrat membawa nama Malaysia ke puncak dunia melalui karya muzik segar dan penuh makna.