Tag: ASEANEnergy

  • ISES 2026 Bakal Satukan Pemain Industri Global Untuk Percepat Agenda Tenaga Mampan

    ISES 2026 Bakal Satukan Pemain Industri Global Untuk Percepat Agenda Tenaga Mampan

    Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan agenda tenaga mampan negara serta menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi perbincangan, inovasi dan kerjasama berkaitan peralihan tenaga. Seiring dengan komitmen tersebut, International Sustainable Energy Summit (ISES) 2026 bakal berlangsung pada 11 hingga 12 Ogos 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre dengan tema “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders”.

    Dianjurkan oleh SEDA Malaysia dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), ISES 2026 akan menghimpunkan barisan pemimpin industri, pembuat dasar, pelabur, institusi kewangan, organisasi antarabangsa, penyedia teknologi, penyelidik serta pemain industri tenaga dari seluruh dunia.

    Sidang kemuncak ini dijangka menjadi antara acara tenaga mampan terbesar di Malaysia tahun ini dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof yang dijadualkan merasmikan acara tersebut. Kehadiran beliau mencerminkan kepentingan agenda peralihan tenaga dalam menyokong usaha Malaysia ke arah pembangunan tenaga yang lebih bersih dan mampan.

    ISES 2026 turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama rentas negara dalam menghadapi cabaran tenaga global. Perubahan iklim, keselamatan tenaga, kemajuan teknologi serta keperluan terhadap penyelesaian mampan kini menjadi isu bersama yang memerlukan kerjasama lebih erat antara negara.

    Pada edisi kali ini, ISES turut memperluaskan impaknya melalui kerjasama dengan platform media antarabangsa bagi meningkatkan capaian perbincangan mengenai tenaga mampan ke peringkat serantau. Langkah ini bertujuan memperkenalkan lebih banyak peluang kerjasama serta membuka ruang kepada pertukaran idea antara Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

    YBhg. Dato’ Hamzah bin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia merangkap Pengerusi Penganjur ISES berkata, tema “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders” mencerminkan aspirasi untuk menjadikan sidang kemuncak ini bukan sekadar platform perbincangan, tetapi ruang yang mampu mencetuskan kerjasama, pelaburan dan pertumbuhan mampan untuk jangka masa panjang.

    “Peralihan tenaga hari ini tidak lagi terhad kepada sempadan sesebuah negara. Cabaran iklim, keselamatan tenaga, perkembangan teknologi dan keperluan terhadap kelestarian semakin menghubungkan semua negara. Justeru, kerjasama serantau amat penting dalam membentuk masa depan tenaga yang lebih mampan,” katanya.

    Sejak diperkenalkan, ISES terus berkembang sebagai salah satu platform penting di rantau ini yang memberi fokus kepada perbincangan berkaitan tenaga mampan, dasar tenaga serta penglibatan pemain industri. Edisi terdahulu berjaya menarik penyertaan dari 24 negara, melibatkan 52 kedutaan, lebih 5,800 peserta berdaftar serta mencatat nilai liputan media melebihi RM10 juta.

    ISES 2026 dijangka menarik penyertaan pemimpin kerajaan, pembuat dasar, pakar industri, pelabur serta pelbagai pihak berkepentingan antarabangsa bagi membincangkan strategi tenaga masa depan dan membuka peluang kerjasama baharu.

    Ketika dunia terus mempercepat usaha menuju masa depan rendah karbon, ISES 2026 bukan sahaja menjadi medan perkongsian pandangan, malah menjadi pemangkin kepada tindakan, kerjasama dan kemajuan tenaga mampan di peringkat serantau.

    Pendaftaran serta peluang kerjasama untuk ISES 2026 kini dibuka kepada pihak yang berminat.