Tag: #AmbangTahunBaru

  • Buat julung kalinya, Baby Shima mempertaruhkan single berbahasa dialek Kelantan menerusi lagu “Bey Kelik Laa Bey”.

    Buat julung kalinya, Baby Shima mempertaruhkan single berbahasa dialek Kelantan menerusi lagu “Bey Kelik Laa Bey”.

    Penyanyi popular Baby Shima terus membuktikan versatilitinya dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Bey Kelik Laa Bey”, sekali gus menandakan kali pertama beliau tampil sepenuhnya menyanyikan lagu dalam dialek Kelantan. Kelainan ini bukan sahaja mengukuhkan lagi kedudukan Baby Shima sebagai artis serba boleh, malah mencerminkan keberaniannya meneroka warna muzik yang dekat dengan peminat.

    Single ini merupakan hasil ciptaan komposer tersohor Eddie Hamid, manakala liriknya digarap secara kolaboratif oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha. Idea penghasilan lagu berdialek Kelantan ini tercetus daripada permintaan berterusan peminat, khususnya dari Pantai Timur, yang sering meninggalkan komen di media sosial Baby Shima agar beliau mencuba lagu dalam dialek tersebut. Menurut Baby Shima, keunikan dialek Kelantan yang kedengaran “comel” walaupun dalam situasi marah turut menjadi tarikan utama untuk merealisasikan projek ini.

    Bagi memastikan sebutan dialek Kelantan yang tepat, Baby Shima mengakui beliau mengambil masa lebih seminggu untuk berlatih secara intensif. Proses rakaman turut dipenuhi dengan momen lucu apabila beliau sesekali terlepas loghat Semenanjung, terutama ketika keletihan dan lapar. Namun, suasana santai di studio bersama Eddie Hamid menjadikan proses rakaman lebih menyeronokkan. Baby Shima menyifatkan Eddie sebagai seorang komposer yang sangat sabar, relaks dan berperanan seperti guru yang membimbingnya dari aspek sebutan hingga kawalan vokal.

    Dari segi penceritaan, “Bey Kelik Laa Bey” mengangkat kisah pilu seorang wanita yang terluka akibat janji palsu kekasihnya sebelum ditinggalkan. Lagu ini sarat dengan emosi kerinduan dan kekecewaan, apabila si wanita masih berharap agar insan yang dicintainya kembali semula ke pangkuan. Elemen emosi ini diperkukuh dengan penggunaan dialek Kelantan yang memberi nuansa segar dan lebih dekat dengan jiwa pendengar.

    Single “Bey Kelik Laa Bey” terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music akan mula distrim di semua platform penstriman muzik pada 31 Disember 2025, bersempena ambang tahun baharu. Video muzik rasmi lagu ini pula bakal disiarkan secara perdana di saluran YouTube Kijang Music pada hari yang sama, jam 8 malam, sekali gus melengkapkan kemunculan istimewa Baby Shima dengan karya yang dijangka mencuri perhatian ramai.