Tag: #AlbumDebutBunga

  • Bunga Mekar Sepenuhnya dalam Seharum Nama

    Bunga Mekar Sepenuhnya dalam Seharum Nama

    Penyanyi dan penulis lirik berbakat, Bunga, akhirnya menzahirkan fasa baharu dalam kerjayanya menerusi pelancaran album sulung bertajuk Seharum Nama – Bunga, yang menemui peminat secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital.

    Menampilkan 10 buah lagu pelbagai genre, album ini bukan sekadar sebuah koleksi lagu, tetapi dianggap Bunga sebagai refleksi dirinya dalam menelusuri dunia seni sejak tahun 2019. “Seharum Nama bukan sekadar tanda mata tetapi manifestasi penuh jiwa saya terhadap muzik,” ujar Bunga dengan penuh emosi.

    Album ini menyaksikan kepelbagaian sonik yang mewakili transisi kematangan Bunga sebagai seorang artis. Setiap karya disusun teliti, dipilih dengan hati-hati, dan dihasilkan melalui kolaborasi bersama nama-nama besar dalam industri. Lagu-lagu seperti Buai, Jatuh, Intan Payung (feat Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix) dan Jalan Keluar menjadi bukti keupayaan Bunga bereksperimen tanpa kehilangan identiti.

    Menyerlahkan sisi versatil dan keberanian artistiknya, single utama Tak Tidur Malam dipilih sebagai ‘peluru pembuka’ kepada era baharu ini. Diinspirasikan dari elemen dangdut namun digubah semula kepada “vibe spooky” yang unik, lagu ini melalui proses produksi yang intensif termasuk khidmat tiga individu berbeza dalam aspek mixing dan mastering.

    “Kami cuba banyak versi sebelum sampai ke hasil akhir ini. Ia bukan sekadar lagu, tapi pengalaman penuh cabaran dan pembelajaran,” jelas Bunga mengenai proses penciptaan Tak Tidur Malam yang turut ditulis bersama Amzar Razqa dan Amsyar Razqa.

    Menurut Bunga, keseluruhan album mengambil masa dua tahun untuk disiapkan secara menyeluruh. Setiap lagu dipilih melalui proses saringan bersama Warner Music Malaysia bagi memastikan hanya karya terbaik yang dimuatkan.

    Sebagai nilai tambah kepada pelancaran album ini, Bunga juga mempersembahkan tiga video muzik yang disunting seperti filem pendek – ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam, dan Dengarkanlah – masing-masing membawa naratif tersirat yang menggambarkan perjalanan mencari diri dan emosi terdalam.

    Acara pelancaran turut mendapat sokongan TGV Suria KLCC sebagai rakan penganjur, menyaksikan kehadiran rakan media dan peminat terpilih yang menyaksikan secara eksklusif persembahan istimewa daripada Bunga.

    Tidak hanya terhenti pada dunia digital, Seharum Nama – Bunga turut dilancarkan dalam versi piring hitam edisi khas serta koleksi merchandise eksklusif hasil kerjasama dengan jenama streetwear tempatan, High Cultured memberi ruang kepada peminat untuk memiliki karya ini dalam bentuk fizikal dan bergaya.

    “Saya harap setiap yang mendengar akan dapat merasai emosi dan perjalanan saya. Ini bukan sekadar album, ia adalah pengalaman hidup saya dalam bentuk muzik,” akhiri Bunga dengan penuh syukur.