Tag: #735SimfoniHebat #MIFBOF2025 #MalaysiaBookOfRecords #AnakFELDAHebat #OrkestraPelajar #FELDAInspirasiBangsa

  • 735 Pemuzik Satu Irama: FELDA Cipta Sejarah Orkestra Simfoni Terbesar di Malaysia

    735 Pemuzik Satu Irama: FELDA Cipta Sejarah Orkestra Simfoni Terbesar di Malaysia

    Detik bersejarah tercipta apabila FELDA berjaya merangkul pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi persembahan “Orkestra Simfoni Terbesar” melibatkan seramai 735 pemuzik. Momen penuh harmoni ini menjadi kemuncak kepada penganjuran Malaysia International FELDA Band & Orchestra Festival (MIFBOF) 2025 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi.

    Pengiktirafan rasmi disampaikan oleh wakil MBOR, Encik Megat Faris Hussein bin Megat Muzaffar Shah, sekaligus menobatkan FELDA sebagai peneraju dalam penganjuran acara muzik pelajar paling berskala besar di negara ini. Dalam suasana penuh kebanggaan, 14 pasukan orkestra bergabung menyampaikan lagu rakyat ikonik “Wau Bulan” dalam satu persembahan simfoni yang menyatukan semangat patriotisme dan perpaduan.

    Festival yang berlangsung selama dua hari ini disertai oleh lebih 1,200 pemuzik dari 19 pasukan orkestra sekolah rendah dan menengah seluruh negara, serta penyertaan istimewa dari Thailand dan Filipina. Kolaborasi antarabangsa ini mencerminkan impak MIFBOF 2025 sebagai medan pertemuan budaya dan muzik, memperkukuh hubungan serantau menerusi irama yang menyatukan generasi muda.

    Kerjasama erat bersama Malaysia Association of Marching Arts (MAMA) turut memperkasa misi MIFBOF sebagai platform pembangunan bakat muzik orkestra dalam kalangan pelajar. Persembahan dan pementasan bukan sahaja membina keyakinan diri pelajar, malah memperlihatkan nilai kerjasama, disiplin dan kecintaan terhadap seni muzik.

    FELDA merakamkan penghargaan buat semua pihak yang bersama menjayakan festival berprestij ini, termasuk rakan penaja dan strategik seperti U Mobile, FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd, MITEC, Yayasan FELDA, FELKOP, KPF, KGFB, Koguna dan Hotel Tenera. Setiap sumbangan telah memberi impak yang besar dalam menjayakan festival ini hingga mencipta sejarah nasional.

    Kejayaan cemerlang MIFBOF 2025 menjadi bukti bahawa apabila seni, semangat, dan disiplin bergabung, tiada apa yang mustahil. Lebih daripada sekadar festival, ia adalah manifestasi impian besar anak muda – bahawa muzik mampu menjadi jambatan ke arah perpaduan dan masa depan lebih gemilang.