“Seram Dia Lain Macam!” — Ini 5 Babak Pewaris Susuk Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk
5 min read
Sejak mula ditayangkan di pawagam, Pewaris Susuk semakin menjadi bualan ramai bukan sahaja kerana elemen seramnya tetapi juga beberapa babak yang disifatkan penonton sebagai “melekat di kepala” walaupun selepas filem tamat. Berbeza dengan kebanyakan filem seram yang terlalu bergantung kepada jumpscare, Pewaris Susuk tampil dengan pendekatan yang lebih perlahan, gelap dan bermain dengan emosi penonton. Ada babak yang bukan sekadar menyeramkan tetapi membuat satu pawagam terus terdiam.

1. Lagu Dari Sebalik Pintu Yang Buat Satu Pawagam Senyap
Antara scene paling diperkatakan ialah babak lagu dari sebalik pintu tertutup yang dianggap antara momen paling kuat dalam filem ini. Hanya dengan bunyi lagu perlahan dari sebalik sebuah pintu tanpa kemunculan mengejut atau bunyi kuat, scene tersebut berjaya membina rasa tegang secara perlahan sehingga membuatkan ramai penonton diam dan fokus sepenuhnya pada skrin. Suasana sunyi, ruang sempit dan misteri di sebalik pintu itu menjadikan babak tersebut terasa sangat mengganggu.

2. Scene Maya & Watak Trisha Ooi Yang Sarat Emosi
Selain itu, scene melibatkan Maya bersama watak lakonan Trisha Ooi selepas satu kejadian tragis turut meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Berlatarbelakangkan sebuah bilik dan suasana menunggu urusan jenazah diselesaikan, babak tersebut tidak memerlukan dialog berlebihan untuk memberi impak. Pendekatan minimal yang digunakan menjadikan emosi dalam scene itu terasa lebih real dan berat sehingga ramai mengakui suasana sunyi tersebut sebenarnya lebih menyeramkan daripada jumpscare biasa.

3. Seroja Lari Ke Hutan, Scene Yang Buat Penonton Sesak Nafas
Watak Seroja yang dibawakan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim pula mencuri perhatian menerusi sequence ketika beliau melarikan diri ke dalam hutan. Babak tersebut menjadi antara scene paling mendebarkan dalam filem apabila gabungan visual gelap, bunyi persekitaran dan emosi panik yang dipaparkan membuatkan ramai penonton terasa seolah-olah mereka turut terperangkap bersama watak itu. Scene berkenaan juga antara yang menerima reaksi paling kuat daripada penonton di pawagam.

4. Babak Ritual Yang Ramai Kata “Tak Sedap Tengok”
Tidak ketinggalan, babak ritual mistik dalam Pewaris Susuk kini hangat diperkatakan di media sosial kerana suasananya yang sangat mengganggu emosi. Apa yang membuatkan scene ini terasa “tak sedap ditonton” bukan sekadar elemen gore tetapi cara ia dibina secara perlahan dan suram sepanjang sequence berlangsung. Ramai menyifatkan mereka seperti sedang melihat sesuatu yang tidak sepatutnya disaksikan dan babak ini juga menjadi antara moment yang paling banyak menerima reaksi spontan di pawagam.

5. Closing Scene Rosyam Nor Yang Tinggalkan Kesan
Antara scene paling kuat dalam filem ini pastinya babak penutup melibatkan watak lakonan Datuk Rosyam Nor. Tanpa dialog panjang atau aksi dramatik berlebihan, scene terakhir itu berjaya meninggalkan rasa misteri dan persoalan yang terus bermain di fikiran penonton selepas keluar pawagam. Ia menjadi penutup yang cukup kuat untuk sebuah filem yang sarat dengan tema kuasa, warisan dan rahsia gelap.
Gabungan elemen psikologi, emosi dan mistik menjadikan Pewaris Susuk bukan sekadar filem seram biasa tetapi sebuah pengalaman yang masih bermain di fikiran penonton meskipun lampu pawagam sudah dinyalakan. Filem ini kini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan terus menerima perhatian ramai pencinta genre seram tempatan.