“Selingkuh”: Jimi Uji Emosi dengan Sentuhan Rock Elektronik
5 min read
Penyanyi berbakat, Jimi kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya yang sarat dengan emosi, kejujuran dan keberanian. Lagu ini menjadi simbol kematangan perjalanan seni Jimi serta menandakan kolaborasi keduanya bersama Alternate Records selepas kejayaan single terdahulu.
Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menyelami kisah kekecewaan dan pengkhianatan dalam percintaan. Ia mengisahkan tentang keberanian seseorang melepaskan hubungan yang penuh kepalsuan demi mencari semula maruah dan ketenangan diri. Dengan lirik yang tajam dan realistik seperti “duit habis kau sapu” dan “hanya dengan selamba”, lagu ini menyerlahkan keaslian perasaan yang cuba disampaikan oleh Jimi.
Menurut Jimi, peluang membawakan lagu ini merupakan satu penghormatan besar yang membolehkannya menzahirkan sisi emosional dirinya sebagai penyanyi. “Saya telah beri sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri bila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya.
Rakaman vokal disiapkan dalam tempoh empat hingga lima jam, namun Jimi mengakui proses itu memerlukan fokus tinggi terutama untuk mencapai nuansa rock yang diinginkan tanpa menjejaskan identiti vokalnya. “Cabaran terbesar ialah nak dapatkan vibe rock tapi tetap kekal dengan jiwa saya. Kali ini saya perlu lebih agresif dari segi tenaga dan emosi, tapi masih perlu kawal rasa supaya mesej lagu sampai,” tambahnya.
Proses penciptaan lagu ini juga menarik apabila ia dihasilkan ketika sambutan Tahun Baharu Cina, di mana para komposer dan produser saling berhubung hanya melalui aplikasi WhatsApp untuk menyiapkan susunan muzik serta rakaman demo sebelum sesi akhir bersama Jimi dijalankan. Menurut Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh lahir daripada keinginan menyampaikan perasaan kecewa dengan cara yang jujur dan tidak dibuat-buat, menjadikan lagu ini benar-benar dekat dengan realiti kehidupan.
Menggabungkan elemen rock dan elektronik, Selingkuh menawarkan pengalaman muzik yang segar dan moden tanpa mengabaikan semangat rock klasik. Ia menggambarkan sisi baharu Jimi yang lebih berani, garang dan penuh tenaga. “Kelainan yang saya mahu tonjolkan ialah keberanian untuk keluar dari zon selesa. Mungkin orang belum kenal sisi lain saya yang lebih bertenaga dan bersemangat seperti ini,” jelas Jimi.
Bagi Jimi, Selingkuh bukan sekadar lagu putus cinta, tetapi lambang pembebasan diri daripada kepura-puraan serta keberanian untuk menjadi jujur terhadap perasaan sendiri. “Pendengar patut dengar lagu ni sebab ia bawa rasa yang berbeza daripada karya saya sebelum ini. Ia jujur, penuh tenaga, dan benar-benar dekat dengan realiti,” katanya menutup bicara.
Dengan penyampaian vokal yang kuat dan lirik yang menyentuh hati, Selingkuh dijangka menjadi antara karya paling berani dalam karier muzik Jimi setakat ini. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook (@alternate.my_), Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).