Satu Lagi Karya Bertaraf Global Ditampilkan, ‘Khadam’ Sedia Ditayangkan Di Pawagam Seluruh Negara

Industri perfileman tanah air terus memacu langkah kanan dalam membuktikan keupayaan naskhah tempatan menembusi standard pasaran antarabangsa. Terbaru, sebuah karya sinematik seram psikologi berskala besar, Khadam, sedia untuk ditayangkan di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini.

Selepas mencetuskan keterujaan tinggi menerusi rangkaian poster dan treler rasmi sejak beberapa minggu lalu, fasa akhir promosi filem ini telah diraikan dengan penuh gilang-gemilang menerusi Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi. Kehadiran naskhah ini sekali lagi menyaksikan satu lagi karya bertaraf global ditampilkan dalam portfolio industri seni tempatan, sekali gus meletakkan filem seram Malaysia pada satu aras kualiti yang baharu.

Walaupun dibina dengan acuan dan piawaian antarabangsa, Khadam tidak sesekali kehilangan identiti budayanya yang menjadi tunjang utama penceritaan. Berlatarbelakangkan era tahun 1950-an, jalan cerita filem ini mengangkat ketakutan yang paling dekat dengan masyarakat Melayu, iaitu isu pewarisan saka, kesetiaan yang diuji, dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.

Kisahnya mengikuti perjuangan Melor, seorang ibu yang berusaha keras melindungi keluarganya daripada entiti ghaib yang diwarisi turun-temurun. Pengarahnya, Shamyl Othman, menegaskan bahawa keseraman naskhah ini tidak bergantung kepada elemen kejutan atau jumpscare murah, sebaliknya berakar daripada trauma generasi dan konflik psikologi yang tercetus apabila institusi kekeluargaan mula diporak-perandakan oleh entiti yang tidak boleh ditolak tersebut.

Standard global yang ditekankan dalam Khadam dizahirkan secara menyeluruh daripada aspek teknikal dan naratifnya. Lakon layar hasil nukilan Fariza Azlina Isahak dibina penuh teliti dengan mengeksploitasi lapisan emosi dan konflik dalaman watak. Malah, watak Melor sengaja digambarkan sebagai seorang yang kehilangan suara secara fizikal dan simbolik, membiarkan kekuatan visual, rekaan bunyi, dan ekspresi emosi mengambil alih peranan dialog untuk menyampaikan penderitaannya. Menurut Penerbit Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar, projek ini sejak awal lagi menetapkan matlamat yang jelas untuk menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan karya serantau dan antarabangsa. Setiap keputusan daripada pembangunan skrip, rekaan produksi, gubahan muzik, sehinggalah ke peringkat pasca produksi dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard global yang tinggi.

Aspirasi antarabangsa ini bukan sekadar omongan kosong apabila filem terbitan Red Communications dan Komet Productions ini berjaya menghimpunkan jaringan rakan strategik dari seluruh rantau. Antara yang terlibat termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios dari Indonesia, Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Skala produksi yang merentasi sempadan ini turut menyaksikan pelakon ternama Indonesia, Aghniny Haque, membuat penampilan sulungnya dalam filem Malaysia sebagai Melor, bergandingan dengan pelakon berkarisma tempatan, Datuk Remy Ishak sebagai Awang. Barisan pelakon turut diperkuatkan oleh Siti Khadijah Halim, bakat baharu Karl’ El, pelakon cilik Zarra Zhaff, serta penampilan istimewa Jun Lojong.

Kemegahan produksi bertaraf global ini turut diterjemahkan ke ruang nyata semasa Malam Tayangan Perdana malam tadi. Ruang acara dihidupkan dengan reka bentuk binaan audio yang menggabungkan elemen guruh dan hujan bagi membangkitkan rasa gelisah penonton, sebelum diserikan dengan persembahan emosional daripada Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi, Tak Berlagu. Barisan pelakon pula tampil memukau di atas karpet merah dengan mengenakan busana rekaan eksklusif daripada Behati, selain mendapat sokongan padu daripada rakan penaja seperti Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel, Hyatt House Hotel, dan penaja minuman Per’l.

Reaksi awal daripada para penggiat industri dan media selepas tayangan tamat memperlihatkan maklum balas yang amat luar biasa, dengan rata-ratanya memuji kematangan jalan cerita dan aspek teknikal yang diketengahkan. Diedarkan oleh GSC Movies bersama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran, filem yang turut dijangka akan menemui penonton di pasaran Singapura dan Indonesia selepas ini sedia membuktikan bahawa karya tempatan mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap tertinggi di skrin perak.