Minat rakyat Malaysia untuk melancong ke luar negara terus menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan apabila perancang pengalaman perjalanan keluar perkhidmatan penuh, Golden Destinations Group Berhad (Golden Destinations), berjaya merekodkan pendapatan sebanyak RM319.36 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026. Pencapaian cemerlang ini membuktikan sektor pelancongan keluar negara kekal rancak dan berdaya tahan, dengan destinasi di rantau Asia terus menjadi pilihan utama pelancong tempatan walaupun industri berdepan peningkatan kos bahan api penerbangan serta ketidaktentuan geopolitik di peringkat global.
Berdasarkan rekod prestasi kewangan sehingga 30 September 2026, segmen pengalaman perjalanan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai RM212.04 juta atau kira-kira 66.4 peratus kepada keseluruhan pendapatan Kumpulan, manakala segmen tiket dan perkhidmatan lain menyumbang RM107.32 juta. Menariknya, lebih 82 peratus daripada pendapatan segmen pengalaman perjalanan tersebut dipacu oleh pakej percutian ke destinasi Asia, sekali gus membuktikan bahawa nilai tarikan yang kompetitif, akses penerbangan yang mudah, serta kepelbagaian budaya menjadikan negara-negara jiran dan rantau Asia kekal relevan di hati pengembara Malaysia.
Menjelang musim cuti sekolah dan perayaan akhir tahun pada suku keempat ini, Pengarah Urusan Golden Destinations, En. Mita Lim, optimis jualan pakej pelancongan akan terus melonjak dengan ketara. Keyakinan ini turut disokong oleh peningkatan jumlah bayaran pendahuluan pelanggan atau liabiliti kontrak yang mencecah RM89.14 juta berbanding RM61.27 juta pada hujung tahun lalu, menandakan ramai rakyat Malaysia sudah pun merancang dan mengunci jadual percutian mereka lebih awal menerusi rangkaian ejen pelancongan berdaftar di seluruh negara.
Berbekalkan pengalaman industri hampir tiga dekad serta menawarkan lebih 2,000 pilihan pakej pengalaman pelancongan yang merentasi lebih 84 buah negara, Golden Destinations terus komited memperkayakan pengalaman pengembaraan rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, syarikat ini turut melebarkan sayap operasinya ke pasaran serantau termasuk Hong Kong dan Singapura bagi membina rangkaian pelancongan yang lebih meluas dan menawarkan nilai percutian bertaraf antarabangsa kepada para pelanggannya.













