Penantian 9 Tahun Berakhir! Andi Bernadee Hadiahkan Peminat Album ‘Ding Geding’

Selepas hampir sedekad mengukuhkan portfolio dalam industri muzik tanah air, penyanyi dan penulis lagu popular, Andi Bernadee, secara rasminya meluncurkan album sulung yang amat dinantikan bertajuk Ding Geding. Pengumuman ini sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun para peminat yang amat mendambakan sebuah naskhah penuh daripada beliau.

Album terbitan Warner Music Malaysia ini menghimpunkan 12 buah trek komprehensif yang menterjemahkan dinamika emosi, pengalaman hidup, serta fasa kematangan seni Andi. Menyifatkan projek ini sebagai “permulaan satu rentak”, beliau menzahirkan realiti kehidupan sebenar yang merangkumi elemen suka, duka, kecewa, dan bahagia untuk dikongsikan secara telus bersama para

pendengar.

Menerusi Ding Geding, Andi turut mempamerkan evolusi profesionalnya dengan keluar daripada zon selesa untuk bereksperimen dengan genre baharu. Antaranya naskhah berentak soul ballad berjudul Seksa Jiwa, yang diakui amat mencabar keupayaan vokal beliau namun kini diangkat sebagai antara karya kegemaran peribadinya.

Dari sudut kreatif, pemilihan judul album ini mempunya tarikan tersendiri apabila mendapat cetusan inspirasi daripada babak ikonik filem klasik Melayu, Ahmad Albab. Frasa “berding-geding” diolah semula menjadi sebuah konsep karya yang santai, beridentiti kuat, dan mudah melekat di minda audiens, sekali gus memberikan pengalaman mendengar yang menyegarkan.

Peluncuran album ini turut menjadi simbol hibrid ketabahan Andi selepas ia pernah ditangguhkan ekoran isu kesihatan fizikal dan mental yang kritikal. Walaupun berdepan fasa sukar di mana suaranya tidak keluar, komitmen tinggi terhadap kerjaya seni mendorong beliau untuk tetap menyelesaikan proses rakaman demi melunaskan impian yang sekian lama tertangguh.

Melalui Ding Geding, Andi berharap agar album sulung ini dapat berfungsi sebagai ‘teman’ yang menyalurkan inspirasi dan semangat kepada masyarakat. Album Ding Geding kini boleh didapati dan dilayari secara rasmi di semua platform penstriman digital utama.