Pasya Luah Emosi Dan Kekuatan Diri Dalam Single Terbaharu “Aku Bukan Cinta”
5 min read
Naib juara program realiti nyanyian terkenal Mentor 7, Pasya kembali mewarnai dunia muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Cinta. Lagu berentak balada ini sarat dengan emosi dan menggambarkan realiti kehidupan, khususnya buat mereka yang pernah terluka dalam percintaan. Diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music, karya ini merupakan hasil ciptaan duo komposer berbakat Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Ikhwan Fatanna.
Kehadiran Aku Bukan Cinta bukan sekadar merungkai kisah perpisahan, tetapi juga menjadi simbol kekuatan dalam melepaskan sesuatu yang tidak lagi membawa kebahagiaan. Menurut Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, lagu ini amat dekat di hatinya kerana membawa makna yang mendalam dan penuh perasaan. “Aku Bukan Cinta menceritakan tentang luka dalam hubungan apabila cinta tidak dihargai. Ia bukan hanya lagu tentang putus cinta, tetapi juga tentang keberanian untuk melepaskan. Kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya terus tertarik dengan melodinya yang kuat dan liriknya yang begitu jujur. Saya percaya ramai yang akan merasakan jiwa sebenar lagu ini,” jelasnya.
Pasya turut berkongsi bahawa kolaborasinya bersama Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh merupakan pengalaman berharga dalam perjalanan kariernya. Katanya, Ikhwan memberikan sentuhan lirik yang indah dan mudah difahami, manakala Wan Saleh berjaya menyerlahkan kekuatan lagu ini dengan susunan muzik moden dan segar. “Saya amat beruntung dapat bekerjasama dengan mereka kerana banyak perkara yang saya pelajari sepanjang proses rakaman ini,” katanya. Dari segi mesej, Aku Bukan Cinta membawa nilai keikhlasan dan keberanian untuk menerima hakikat bahawa tidak semua hubungan ditakdirkan berakhir dengan kebahagiaan.
“Kadangkala, demi kebahagiaan diri dan orang lain, kita perlu belajar melepaskan. Lagu ini bukan tentang dendam atau kesedihan, tetapi tentang keikhlasan dan doa agar orang yang pernah kita cintai tetap bahagia,” tambah Pasya lagi.
Berkongsi pengalaman semasa rakaman, Pasya mengakui cabaran paling besar adalah menyelami setiap bait lirik agar penyampaian vokalnya dapat dirasai secara jujur oleh pendengar. Beliau berharap single ini menjadi permulaan baharu yang lebih matang dalam perjalanan seninya. “Saya mahu lagu ini menjadi peneman buat mereka yang sedang berjuang melepaskan. Jika Aku Bukan Cinta mampu memberi kekuatan dan semangat kepada pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” ujarnya.
Dengan melodi yang indah, susunan muzik yang segar serta mesej yang menyentuh jiwa, Aku Bukan Cinta diyakini mampu memikat hati pencinta muzik tempatan. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform digital dan telah mula dimainkan di stesen radio utama termasuk Era FM. Video muzik rasmi Aku Bukan Cinta juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Seventeen Eleven Music melalui pautan https://youtu.be/wwDJrzYmWjE?si=WvT8lsZtGPPayc1A.