Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic Bakal Berkongsi Pentas Buat Kali Pertama di Odeon KL
Dua kugiran kontemporari Malaysia yang mempunyai identiti muzik tersendiri, FUGŌ dan Midnight Fusic, bakal berkongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic yang akan berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, jam 8:00 malam di Odeon KL, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., konsert double bill yang dinanti-nantikan ini bakal menghimpunkan dua kumpulan yang dikenali dengan identiti muzik serta kelompok peminat masing-masing untuk sebuah pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.
Konsert ini turut menandakan kali pertama FUGŌ dan Midnight Fusic tampil bersama dalam sebuah persembahan berskala konsert selepas kedua-dua kumpulan mula berbincang mengenai kemungkinan untuk bekerjasama pada 2024 ketika terlibat dalam sebuah acara persembahan di Pantai Timur.
Menurut Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtaruddin, pihak penganjur sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta selera generasi baharu pendengar muzik.
“Rockstation Event & Entertainment sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan selera generasi baharu pendengar muzik. Pada pandangan kami, kedua-dua kumpulan ini mempunyai identiti muzik yang kuat dan unik, mengakibatkan mereka mempunyai kelompok peminat yang sangat kukuh. Menggabungkan mereka di atas satu pentas sememangnya satu keputusan yang tepat. Para penonton harus berasa teruja dengan konsert double bill ini,” katanya.
Bagi kedua-dua kugiran, konsert ini merupakan realisasi kepada idea yang telah mula dibincangkan lebih dua tahun lalu.
Vokal utama FUGŌ, Hakim Kamal, berkata kedua-dua kumpulan pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk melakukan sesuatu bersama pada 2024 ketika mereka membuat persembahan di acara yang sama.
“Kami pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk melakukan sesuatu bersama pada tahun 2024 ketika kami membuat persembahan di acara yang sama. Nama konsert ini juga diilhamkan dari tajuk lagu kedua kumpulan kami yang berkongsi perkataan yang sama iaitu ‘Sandiwara’,” jelasnya.
Menurut Hakim, FUGŌ turut merancang untuk membawakan beberapa lagu yang menjadi pilihan peminat tetapi jarang dipersembahkan dalam acara lain disebabkan kekangan masa.
“Dari segi muzik untuk konsert ini kami akan mainkan lagu-lagu yang peminat kami gemari tetapi jarang dapat dimainkan di mana-mana persembahan akibat kekangan masa,” katanya.
Dalam pada itu, vokal utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin, berkata persiapan untuk konsert ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek muzik, malah turut merangkumi konsep visual yang dirancang untuk memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
“Selain aspek muzik, khusus buat konsert ini kami berusaha keras untuk menghasilkan konsep visual yang sangat memberi impak untuk dipersembahkan kepada penonton bermula daripada pra-pengumuman, pengumuman konsert, bahan promosi sehinggalah ke konsert itu sendiri yang akan kami bawa nanti bagi memastikan ia menjadi sebuah konsert double-bill yang akan dikenang untuk tempoh yang sangat lama,” katanya.
“Kami sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh Rockstation untuk merealisasikan perkara ini,” tambah Arif.
Dengan kedua-dua kumpulan membawa karakter muzik, tenaga persembahan dan bahasa visual tersendiri, Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic bukan sekadar sebuah persembahan yang menghimpunkan dua nama dalam satu pentas. Konsert ini dirangka sebagai sebuah pengalaman langsung yang menyeluruh, meraikan identiti unik kedua-dua kumpulan sambil memberikan peluang kepada penonton untuk menyaksikan gandingan muzik yang belum pernah berlaku sebelum ini.

FUGŌ yang terdiri daripada Hakim Kamal (vokal utama, gitar, flugelhorn), Kayrol Ami (bass, vokal latar) dan Fai (kibod, synthesizer, sequence playback, vokal latar) ditubuhkan pada 2019 di Kuala Lumpur.
Kumpulan ini mula menambat hati peminat muzik indie tempatan menerusi lagu Balad Kala Hujan yang memperkenalkan identiti muzik “Nu-Vintage” mereka yang tersendiri.
Sementara itu, Midnight Fusic yang terlebih dahulu bertapak dalam industri muzik tempatan ditubuhkan pada 2013 ketika anggotanya masih di usia remaja. Kumpulan ini kini dianggotai oleh Arif Kamarudin (vokal utama, gitar), Adrian Daniel (vokal utama, gitar) dan Firdaus Azmi (bass).
Dengan usia kumpulan yang sudah melampaui satu dekad, Midnight Fusic telah menghasilkan pelbagai lagu yang menjadi pilihan peminat termasuk Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick, Heart of May dan banyak lagi.
Kepelbagaian gaya muzik Midnight Fusic, daripada bossa nova kepada indie rock dan garage rock, turut diserlahkan menerusi melodi yang memukau serta permainan muzik yang mengasyikkan, sekali gus menarik lebih ramai pendengar baharu untuk mengenali karya mereka.
Tiket Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic ditawarkan dalam dua kategori utama. Kategori PENTAS (free standing) berharga RM89 untuk fasa jualan awal dan RM139 untuk fasa jualan umum, manakala kategori SANDIWARA (premium seating) ditawarkan pada harga RM129 untuk fasa jualan awal dan RM189 untuk fasa jualan umum.
Selain itu, peminat turut berpeluang mendapatkan tiket bernilai tambah EXCLUSIVE SESSION pada harga RM150. Tiket ini memberikan akses kepada sesi Meet & Greet serta beberapa pengalaman dan akses eksklusif sebelum konsert bermula.

Jualan tiket Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic telah bermula pada 27 Ogos 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi panggungsandiwara.com.
Dengan gabungan dua nama yang mempunyai karakter muzik berbeza tetapi sama-sama mempunyai pengaruh dalam kalangan peminat muzik tempatan, Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic dijangka menjadi antara persembahan muzik tempatan yang menarik perhatian pada Oktober ini.
