Blog

  • KL Tower Semarakkan Ambang Merdeka 2025 dengan Pertunjukan Bunga Api 360 Darjah

    KL Tower Semarakkan Ambang Merdeka 2025 dengan Pertunjukan Bunga Api 360 Darjah

    Malam 30 Ogos 2025 bakal menjadi detik istimewa apabila Kuala Lumpur Tower sekali lagi menjadi tumpuan utama sambutan Malam Ambang Merdeka. Tahun ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api 360 darjah yang memukau, dilancarkan serentak dari tiga lokasi berbeza, menjadikannya persembahan julung kali diadakan dalam sejarah menara ikonik ini.

    Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha Kuala Lumpur Tower untuk mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil meraikan kemeriahan, perpaduan dan kepelbagaian budaya negara. Bermula jam 9.00 malam hingga 12.30 tengah malam, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung oleh The Sky Band, diiringi panorama indah langit Kuala Lumpur yang gemerlapan. Tepat detik 12.00 tengah malam, langit ibu kota akan diterangi cahaya bunga api yang dilancarkan dari tiga lokasi berbeza, memberikan pengalaman visual 360 darjah yang mempesonakan dan tiada tandingan berbanding sambutan tahun-tahun sebelumnya.

    Bagi memastikan setiap pengunjung dapat menikmati pengalaman eksklusif ini, jumlah tempat duduk adalah terhad kepada 1,200 orang sahaja yang akan diagihkan mengikut tiga lokasi tontonan utama iaitu Observation Deck, Sky Terrace dan Tower Terrace. Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi Kuala Lumpur Tower di www.kltower.com dan tertakluk kepada terma serta syarat.

    Pertunjukan istimewa ini juga merupakan sebahagian daripada rangkaian program patriotik Kuala Lumpur Tower yang berlangsung sepanjang bulan Ogos dan September bersempena Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025. Antara acara yang diadakan termasuk Light Up Malaysia Colours of Unity, Pertandingan Lagu Patriotik Gema Merdeka, Pertandingan Padu Tarik & Tebar Canai, serta Sayembara Puisi Kemerdekaan. Semua program ini dirangka bagi menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, meraikan kepelbagaian budaya serta mengekalkan kedudukan Kuala Lumpur Tower sebagai mercu tanda kebanggaan negara.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman, sambutan kali ini amat istimewa kerana buat pertama kalinya pertunjukan bunga api dilancarkan dari tiga lokasi berbeza, memberikan pemandangan penuh 360 darjah pada tarikh yang cukup bermakna ini. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya berbangga dapat menampilkan persembahan terbaik kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

    Kuala Lumpur Tower menjemput seluruh rakyat Malaysia serta pelancong antarabangsa untuk bersama-sama merasai malam penuh warna ini, di mana semangat patriotisme berpadu dengan keindahan langit ibu kota, sekali gus menjadikan Malam Ambang Merdeka 2025 sebagai satu kenangan yang akan kekal terpahat dalam sejarah.

  • Tracie & Jazmy: Pasangan Pelakon Serba Bisa Gegar Layar Kaca

    Tracie & Jazmy: Pasangan Pelakon Serba Bisa Gegar Layar Kaca

    Fenomena baharu melanda dunia drama tempatan apabila gandingan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma dalam drama Hilang Dalam Rindu mencetuskan gelombang luar biasa di Malaysia dan Indonesia. Dikenali dengan tanda pagar #JaCieEffects, chemistry kedua-dua pelakon ini dianggap luar biasa hingga membuatkan penonton ‘cair’ setiap kali mereka muncul di layar kaca.

    Menariknya, Hilang Dalam Rindu merupakan adaptasi 100% daripada novel popular, namun tetap segar dengan sentuhan ala vibe wattpad yang memikat. Keistimewaan drama ini terletak pada kesetiaan terhadap jalan cerita asal, tanpa babak ‘cringe’ atau meleret yang sering menjadi keluhan penonton. Di bawah pengarahan Along Kamaluddin, setiap episod dibentuk dengan rapi sehingga mampu membawa penonton hanyut dalam kisah cinta yang tulus, penuh emosi dan menyentuh hati.

    Kejayaan drama ini turut tercermin daripada penjualan novel asalnya, apabila sebanyak 31,500 naskhah habis terjual dalam masa singkat. Fenomena ini bukan sahaja memikat peminat tegar drama Melayu, malah berjaya menarik penonton baharu yang sanggup berjaga sehingga jam lima pagi untuk maraton episod tanpa henti.

    Walaupun masih baru dalam industri, Tracie dan Jazmy berjaya membina keserasian yang mengagumkan. Babak romantik mereka disampaikan dengan penuh sederhana namun memberi impak mendalam, seakan-akan penonton menyaksikan kisah cinta yang benar-benar wujud di antara mereka. Tracie khususnya menerima pujian atas lakonannya yang sopan serta menjaga batas pergaulan, di samping kemampuannya membawa watak Dira dengan sisi gelap dan kompleks yang menonjolkan versatiliti bakatnya.

    Media sosial turut dipenuhi dengan reaksi peminat yang teruja. Ada yang memuji ketepatan skrip yang mengekalkan inti pati novel, ada pula penonton dari Indonesia yang mengaku ‘berpaling tadah’ daripada sinetron demi mengikuti drama ini. Tidak kurang juga yang kecewa kerana terlepas peluang memiliki novel asal, sambil memuji keserasian padu antara Tracie dan Jazmy yang membuat mereka terus melekat di depan skrin.

    Hilang Dalam Rindu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3, dan bagi yang tidak sabar menunggu, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my. Fenomena ini jelas membuktikan bahawa gandingan pelakon baharu dengan naskhah berkualiti mampu mencipta sejarah tersendiri dalam industri drama Melayu.

  • Fajar Hangatkan Pentas “Eternal Love, Timeless Romance” BCL dengan Tawaran Eksklusif

    Fajar Hangatkan Pentas “Eternal Love, Timeless Romance” BCL dengan Tawaran Eksklusif

    Peminat muzik bakal disajikan malam penuh cinta dan keindahan apabila penyanyi muda berbakat dari Indonesia, Fajar, disahkan sebagai artis jemputan istimewa untuk konsert mega Bunga Citra Lestari – Eternal Love, Timeless Romance yang akan berlangsung pada Sabtu, 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

    Konsert ini turut menampilkan gabungan bintang hebat tempatan, Jaclyn Victor dan Dennis Lau, di samping persembahan memukau daripada BCL yang terkenal dengan vokal bertenaga dan lagu-lagu penuh emosi. Kehadiran Fajar dijangka menambah warna pada malam istimewa ini yang menggabungkan sentuhan romantis, kenangan indah serta kehangatan muzik lintas negara.

    Lebih menarik, para peminat boleh menikmati pelbagai promosi eksklusif, termasuk diskaun 10% pembelian tiket menggunakan kod promosi fajarlove atau bcl88sale di laman web rasmi Ticket2U. Selepas pembelian, penonton juga berpeluang mendapatkan diskaun penerbangan khas daripada Malaysia Airlines, selain diskaun sehingga RM90 melalui kemudahan bayaran mudah Atome.

    Konsert BCL – Eternal Love, Timeless Romance ini dijangka menjadi salah satu acara muzik paling dinantikan tahun ini, menawarkan persembahan luar biasa yang memadukan bakat-bakat terbaik dari dua negara serumpun. Dengan gabungan suara hebat, persembahan memukau dan tawaran istimewa, malam ini pasti akan dikenang sebagai perayaan cinta dan muzik yang tiada tandingan.

  • HONOR Pad 10 5G Arrives in Malaysia, Built for Productivity on the Go

    HONOR Pad 10 5G Arrives in Malaysia, Built for Productivity on the Go

    HONOR has officially launched the 5G variant of its popular HONOR Pad 10 in Malaysia, following the impressive sales of its WiFi version. As the country’s top-selling tablet brand, HONOR is meeting the increasing demand for powerful, portable devices designed for both work and play.

    The HONOR Pad 10 5G is now available at authorised retailers nationwide starting 10 August 2025, and will soon be offered through major telcos Maxis and CelcomDigi. Updates on telco availability will be shared via HONOR Malaysia’s official Facebook page.

    Equipped with ultra-fast 5G, the HONOR Pad 10 5G lets users download large files instantly, stream high-definition movies, and enjoy smooth online gaming no matter where they are. Designed for productivity, it’s perfect for video conferencing, browsing, AI-powered tools, email, and other real-time applications, giving users the freedom to stay connected without relying on Wi-Fi.

    The tablet boasts a 12.1-inch 2.5K HONOR Eye Comfort Display with a 120Hz dynamic refresh rate for sharp visuals and fluid scrolling. Powered by a massive 10,100mAh battery, it supports all-day use without the need for constant recharging, making it ideal for busy professionals, students, and creatives.

    When paired with the Smart Bluetooth Keyboard, the HONOR Pad 10 5G delivers a PC-like experience, streamlining tasks such as typing documents and managing emails. The HONOR Pencil adds precision for notetaking, brainstorming sessions, and creative drawing—perfect for both work and artistic projects.

    The HONOR Pad 10 5G is priced at RM1,799, while the WiFi variant retails for RM1,499. Both come with 8GB RAM and 256GB storage. The 5G version is available in Grey, while the WiFi model comes in Cyan and Grey.

    Early buyers will enjoy FREE gifts worth RM1,097, including a Smart Bluetooth Keyboard, HONOR Pencil, and HONOR CHOICE Active Noise Cancelling Headphones.

    For more details, visit www.honor.com/my.

  • Nayla & Zahra Undur Diri, Baki Peserta Beri Aksi Terbaik Menuju Minggu Seterusnya

    Nayla & Zahra Undur Diri, Baki Peserta Beri Aksi Terbaik Menuju Minggu Seterusnya

    Minggu ketiga program realiti hiburan popular, The Chosen One XTRA, kembali menghangatkan pentas dengan tema “Bussin’ Beats” yang menjanjikan persembahan penuh bertenaga dan segar daripada barisan peserta cilik serta coach selebriti mereka. Dihoskan oleh Nabil Ahmad, minggu ini menyaksikan Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah kembali di kerusi juri tetap, manakala juri jemputan pula terdiri daripada Datuk Yusry Abdul Halim dan Elly Mazlein, dua figura seni tanah air yang tidak asing lagi dengan aura dan pengalaman tersendiri.

    Seperti biasa, setiap persembahan dinilai sepenuhnya oleh juri sejurus selepas mereka menamatkan aksi di pentas. Minggu ini menyajikan pelbagai genre lagu daripada rock legenda tempatan sehinggalah irama tradisional moden. Nikki Palikat bersama pasangan anak didiknya, Iman (14) dan Adawiya (13), mempertaruhkan lagu “Pelesit Kota” nyanyian Search yang terkenal dengan elemen rock yang bertenaga. Namie pula menampilkan gabungan dua peserta, Ayu (14) dan Bella (16), dengan persembahan mashup “Katana” oleh Dinda dan “Awak Kat Mana” oleh Taufik Batisah.

    Sementara itu, Usop membimbing Alif (12) dan Yusuf (13) dalam lagu “Kasihnya Laila” daripada Jinbara yang penuh dengan elemen dramatik dan vokal berkuasa. Achey bersama Rayyan (11) dan Dahlya (7) pula menghiburkan penonton dengan lagu “Hutang” daripada Floor 88 yang sarat dengan humor dan energi. Tidak ketinggalan, gandingan Tuju & Loca B bersama Elysha (15) dan Fana (17) membawakan lagu “Aku Skandal” oleh Hujan yang berentak indie rock.

    Naqiu mengetuai kumpulan Saputra yang dianggotai enam peserta muda — Iaman (11), Anas (11), Aleron (12), Aaron (13), Bilal (10), Aqish (11) dan Syawal (11) — untuk mempersembahkan lagu “Kelentang Kelentong” oleh Hael Husaini, sebuah lagu ceria yang menuntut keseragaman vokal dan pergerakan. Bunga pula bersama Nayla (11) dan Zahra (16) menutup senarai persembahan minggu ini dengan “Dikir Puteri” oleh Noraniza Idris, membawakan elemen tradisional yang memukau.

    Musim ini bukan sekadar mengetengahkan bakat nyanyian semata-mata, malah turut memberi ruang kepada peserta menunjukkan kebolehan lain seperti tarian, akrobatik dan permainan instrumen muzik. Pertandingan yang sepenuhnya dinilai oleh pihak juri ini menawarkan hadiah lumayan — juara bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing menerima RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 berserta trofi.

    Selain itu, pentas akhir nanti akan turut menyaksikan penganugerahan Coach Terbaik bernilai RM10,000 serta Persembahan Terbaik bernilai RM10,000 yang akan ditentukan melalui undian penonton di laman web rasmi The Chosen One XTRA. Minggu ketiga ini pastinya menjadi medan ujian untuk peserta dan coach menonjolkan kreativiti mereka, seiring dengan semangat tema “Bussin’ Beats” yang penuh rentak, warna dan tenaga.

  • Hael Husaini: Sebuah Legasi Seni

    Hael Husaini: Sebuah Legasi Seni

    Setelah lebih sedekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi, komposer dan pemenang pelbagai anugerah, Hael Husaini akhirnya merealisasikan impian besar yang sekian lama dinanti konsert solo sulungnya, “Hael Husaini & Repertoire”, dibawakan oleh Astro dan Rocketfuel Entertainment di Zepp Kuala Lumpur.

    Konsert ini bukan sekadar menghimpunkan karya-karya terbaik ciptaan Hael, malah menjadi sebuah perayaan seni yang merakam suka duka perjalanan kariernya selama 11 tahun.

    “Ini adalah manifestasi jatuh bangun saya dalam muzik. Bukan hanya persembahan, tetapi tanda penghargaan kepada peminat, rakan artis, dan semua yang percaya sejak awal,” kata Hael penuh emosional.

    Mengangkat tema “repertoire”, Hael mempersembahkan rangkaian lagu hit miliknya serta karya ciptaan yang pernah dipopularkan oleh Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali, dan Wany Hasrita. Masing-masing tampil memukau dengan gaya tersendiri, menghidupkan lagu-lagu tersebut di pentas yang sama.

    Konsert turut dibuka dengan persembahan bertenaga kumpulan ALPHA, juara Big Stage Alpha, membawakan lagu “Bujang” dan “Lara” yang pernah dipopularkan Hael.

    Antara momen istimewa malam itu adalah duet Hael dan Nadeera menerusi lagu baharu “Peluk”, kerjasama kedua selepas kejayaan lagu raya “Meriah Lain Macam”. Selain itu, Hael mempersembahkan dua lagi karya baharu “Alangkah” dan “Jari” yang bakal dimuatkan dalam album “Antonim: Part II”.

    Sorakan gemuruh memecah dewan apabila biduanita negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza muncul di pentas menyampaikan lagu ciptaan Hael. Hubungan seni antara mereka yang terjalin sejak konsert “The Next Wave” di Singapura terus diperteguh melalui momen ini.

    “Selepas 11 tahun, berdiri di pentas sendiri dengan insan-insan yang saya kagumi, termasuk Dato’ Sri Siti, adalah antara detik paling bermakna dalam hidup saya,” ujar Hael.

    Bagi yang terlepas menyaksikan secara langsung, “Hael Husaini & Repertoire” akan disiarkan secara eksklusif di Astro KITA Channel (saluran 100) pada 13 September 2025, jam 9 malam.

    Konsert ini diakhiri dengan ucapan penuh rendah hati Hael:

    “Saya mungkin tidak punya ramai kawan dalam industri, tetapi malam ini saya rasa saya ada keluarga. Terima kasih kepada semua ini bukan penutup, ini permulaan.”

  • Dari Hati ke Jiwa: Harris J Hidupkan Semangat Baru Menerusi Revival

    Selepas beberapa tahun menyepi daripada industri muzik, penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, kembali menghangatkan pentas dunia dengan pelancaran EP terbaharunya berjudul Revival. Album ini diterbitkan oleh Awakening Music dan kini boleh didapati di semua platform penstriman utama.

    Revival yang memuatkan enam buah lagu mengetengahkan tema keimanan, kasih sayang, dan pencarian diri. Ia mencerminkan kematangan Harris J, baik sebagai seorang artis mahupun individu, dengan lirik-lirik yang lebih mendalam dan penuh ketulusan. Antara lagu yang menjadi tumpuan ialah Qalbi Fil Madinah yang menampilkan Maher Zain, O Allah, Salati, dan Always Listening. Single utama, Hayati, turut dilengkapi video muzik sinematik arahan pengarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder, dengan latar lokasi mempesona di Granada, Sepanyol.

    “Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Sokongan peminat di sini adalah inspirasi terbesar saya. Saya berharap Revival dapat menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” ujar Harris J ketika sesi promosi eksklusif di Kuala Lumpur.

    Beliau menegaskan, Revival bukan sekadar kemunculan semula, tetapi juga misi peribadi untuk membantu generasi muda Muslim berbangga dengan identiti mereka dan melihat Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

    Harris J mula mencuri perhatian pada 2015 melalui album sulung Salam yang melahirkan hit seperti Salam Alaikum, Good Life dan I Promise. Dengan gabungan melodi kontemporari dan mesej positif, beliau kini muncul kembali sebagai suara penting dalam muzik berinspirasikan keimanan, menyentuh hati pendengar dari seluruh dunia.

  • Superstar UK Craig David Kembali Menghangatkan KL dengan TS5 Live!

    Superstar UK Craig David Kembali Menghangatkan KL dengan TS5 Live!

    Raja R&B dan UK Garage dari United Kingdom, Craig David, bakal menggegarkan pentas ibu kota menerusi konsert eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” yang dijadual berlangsung pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Kemunculan ini menandakan kepulangan semula penyanyi legenda tersebut ke Malaysia selepas lebih sedekad, sekali gus mengubat kerinduan para peminat setia yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak awal milenium.

    Lebih menarik, kehadiran Craig David ke Malaysia turut bertepatan dengan pelancaran album studio terbaharunya yang kesembilan berjudul Commitment, yang mula dipasarkan pada hari ini, 8 Ogos 2025. Album ini disifatkan sebagai karya paling peribadi beliau setakat ini, menampilkan tema pencarian makna komitmen dan evolusi dirinya sebagai seorang artis. Dalam Commitment, Craig David turut bergandingan dengan beberapa nama besar antarabangsa seperti Tiwa Savage, JoJo dan Louisa Johnson. Gabungan elemen nostalgia daripada era Born To Do It bersama suntikan muzik moden menjadikan album ini segar, relevan dan menyentuh hati.

    Konsert yang bakal berlangsung ini akan menampilkan konsep istimewa TS5, sebuah gabungan unik antara persembahan vokal langsung, set DJ dan elemen live remixing yang memperlihatkan versatiliti Craig David sebagai penghibur serba boleh. Konsep TS5 yang bermula secara sederhana sebagai siaran radio dari apartmennya di Miami pada 2012, kini telah menjelajah ke pentas-pentas berprestij di seluruh dunia termasuk di Ibiza, Dubai, London dan Tokyo. Kini, buat julung kalinya, peminat di Malaysia akan berpeluang merasai sendiri kehebatan konsep ini secara langsung.

    Penonton boleh menjangkakan sebuah malam yang penuh tenaga, dinamik dan sarat dengan nostalgia, apabila Craig David menyampaikan rangkaian lagu hitsnya yang merentasi lebih dua dekad. Antara lagu ikonik yang dijangka menghangatkan malam tersebut termasuk “Fill Me In”, “7 Days”, “Walking Away”, “What’s Your Flava” dan “When The Bassline Drops”.

    Craig David mula mencuri perhatian dunia menerusi kolaborasinya bersama Artful Dodger menerusi lagu “Re-Rewind”, sebelum meledak dengan single solo pertamanya “Fill Me In” yang melonjakkan namanya ke tangga pertama carta UK, menjadikannya artis solo lelaki termuda mencapai kejayaan tersebut. Album debutnya, Born To Do It, yang diterbitkan pada tahun 2000, terjual lebih 7 juta unit di seluruh dunia dan telah diiktiraf oleh MTV serta The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman.

    Sepanjang kerjayanya, Craig David telah mencatat lebih 13 juta jualan album, menerima pelbagai anugerah berprestij termasuk tiga Ivor Novello Awards, dua MTV Europe Music Awards dan 14 pencalonan BRIT Awards. Pada tahun 2021, beliau turut dikurniakan gelaran Member of the Order of the British Empire (MBE) oleh mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangan cemerlang dalam bidang muzik dan kebajikan.

    Tiket untuk konsert “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual dalam masa terdekat. Para peminat disarankan untuk mengikuti saluran rasmi artis ini bagi mendapatkan maklumat terkini dan memastikan mereka tidak terlepas menyaksikan sebuah persembahan eksklusif yang dijangka menjadi antara konsert paling hangat di Malaysia tahun ini. Untuk maklumat lanjut, layari saluran media sosial rasmi Craig David dan TS5 di Instagram, Twitter dan Facebook.

  • Bunga Mekar Sepenuhnya dalam Seharum Nama

    Bunga Mekar Sepenuhnya dalam Seharum Nama

    Penyanyi dan penulis lirik berbakat, Bunga, akhirnya menzahirkan fasa baharu dalam kerjayanya menerusi pelancaran album sulung bertajuk Seharum Nama – Bunga, yang menemui peminat secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital.

    Menampilkan 10 buah lagu pelbagai genre, album ini bukan sekadar sebuah koleksi lagu, tetapi dianggap Bunga sebagai refleksi dirinya dalam menelusuri dunia seni sejak tahun 2019. “Seharum Nama bukan sekadar tanda mata tetapi manifestasi penuh jiwa saya terhadap muzik,” ujar Bunga dengan penuh emosi.

    Album ini menyaksikan kepelbagaian sonik yang mewakili transisi kematangan Bunga sebagai seorang artis. Setiap karya disusun teliti, dipilih dengan hati-hati, dan dihasilkan melalui kolaborasi bersama nama-nama besar dalam industri. Lagu-lagu seperti Buai, Jatuh, Intan Payung (feat Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix) dan Jalan Keluar menjadi bukti keupayaan Bunga bereksperimen tanpa kehilangan identiti.

    Menyerlahkan sisi versatil dan keberanian artistiknya, single utama Tak Tidur Malam dipilih sebagai ‘peluru pembuka’ kepada era baharu ini. Diinspirasikan dari elemen dangdut namun digubah semula kepada “vibe spooky” yang unik, lagu ini melalui proses produksi yang intensif termasuk khidmat tiga individu berbeza dalam aspek mixing dan mastering.

    “Kami cuba banyak versi sebelum sampai ke hasil akhir ini. Ia bukan sekadar lagu, tapi pengalaman penuh cabaran dan pembelajaran,” jelas Bunga mengenai proses penciptaan Tak Tidur Malam yang turut ditulis bersama Amzar Razqa dan Amsyar Razqa.

    Menurut Bunga, keseluruhan album mengambil masa dua tahun untuk disiapkan secara menyeluruh. Setiap lagu dipilih melalui proses saringan bersama Warner Music Malaysia bagi memastikan hanya karya terbaik yang dimuatkan.

    Sebagai nilai tambah kepada pelancaran album ini, Bunga juga mempersembahkan tiga video muzik yang disunting seperti filem pendek – ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam, dan Dengarkanlah – masing-masing membawa naratif tersirat yang menggambarkan perjalanan mencari diri dan emosi terdalam.

    Acara pelancaran turut mendapat sokongan TGV Suria KLCC sebagai rakan penganjur, menyaksikan kehadiran rakan media dan peminat terpilih yang menyaksikan secara eksklusif persembahan istimewa daripada Bunga.

    Tidak hanya terhenti pada dunia digital, Seharum Nama – Bunga turut dilancarkan dalam versi piring hitam edisi khas serta koleksi merchandise eksklusif hasil kerjasama dengan jenama streetwear tempatan, High Cultured memberi ruang kepada peminat untuk memiliki karya ini dalam bentuk fizikal dan bergaya.

    “Saya harap setiap yang mendengar akan dapat merasai emosi dan perjalanan saya. Ini bukan sekadar album, ia adalah pengalaman hidup saya dalam bentuk muzik,” akhiri Bunga dengan penuh syukur.

  • Bateri ASTRA Diiktiraf SIRIM, Bateriku Lancar Makmal Kualiti Tingkat Keyakinan Pengguna

    Bateri ASTRA Diiktiraf SIRIM, Bateriku Lancar Makmal Kualiti Tingkat Keyakinan Pengguna

    Bateriku (M) Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan bantuan tepi jalan nombor satu di Malaysia, terus mengukuhkan reputasinya dalam industri automotif tempatan menerusi pelancaran rasmi bateri automotif ASTRA yang kini diiktiraf oleh SIRIM bagi kesemua 28 SKU produknya. Pada majlis yang sama, Bateriku turut memperkenalkan Makmal Kualiti Bateriku – sebuah fasiliti ujian dalaman yang membolehkan penilaian menyeluruh terhadap prestasi, ketahanan dan aspek keselamatan semua bateri ASTRA yang dikeluarkan.

    Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi SIRIM Berhad, pemain industri automotif serta rakan-rakan strategik Bateriku. Pensijilan yang diterima menerusi piawaian IEC 60095 menandakan satu penanda aras penting kerana menjadikan ASTRA sebagai satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang menerima pengiktirafan SIRIM untuk semua variannya, termasuk Bateri MF, EFB dan AGM.

    Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, ASTRA telah merekodkan lebih daripada satu juta unit terjual di seluruh negara. Kejayaan ini disokong oleh ekosistem Bateriku yang melibatkan jaringan operasi luas merangkumi 225 pitstop fizikal, lebih daripada 1,500 juruteknik gig bergerak yang dilatih menerusi Akademi Bateriku, serta kemudahan perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif.

    Apa yang membezakan ASTRA daripada produk pesaing adalah inisiatif nilai tambah yang ditawarkan kepada pengguna. Setiap pembelian bateri hadir bersama perlindungan insurans Takaful Kemalangan Diri (GPA) percuma bernilai sehingga RM7,000, menjadikannya sebagai yang pertama dalam industri bateri tempatan yang menyediakan perlindungan sebegini. Di samping itu, perkhidmatan waranti nasional atau Nationwide Warranty Assist turut disediakan. Melaluinya, pengguna yang menukar bateri di Shah Alam, contohnya, tetap akan menerima bantuan segera sekiranya berlaku kerosakan di lokasi seperti Bota Kiri, Perak. Ini membuktikan komitmen Bateriku dalam memastikan sokongan menyeluruh tanpa mengira lokasi.

    Penubuhan Makmal Kualiti Bateriku di bawah pengurusan Makmal Hijau Sdn. Bhd. pula merupakan pelaburan strategik yang bukan sahaja meningkatkan kawalan mutu dalaman, malah menjamin bahawa setiap unit bateri ASTRA mematuhi standard keselamatan dan kualiti antarabangsa. Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Hanafi Sakri merakamkan penghargaan kepada Bateriku atas komitmen tinggi terhadap standard industri serta pelaburan berani dalam membangunkan fasiliti makmal sendiri. Beliau turut menyatakan bahawa syarikat tempatan kini mampu bersaing bukan sahaja dari segi harga, tetapi juga dari sudut kualiti dan ketelusan proses kawalan mutu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Tuan Haji Azarol Faizi Bin Zakaria Ansari, dalam ucapannya menegaskan bahawa ASTRA bukan sekadar bateri automotif, tetapi simbol kepada janji kualiti, kepercayaan dan sokongan selepas jualan yang menyeluruh. Beliau menyatakan bahawa inisiatif seperti insurans GPA percuma dan jaminan waranti kebangsaan merupakan langkah pertama dalam industri tempatan. Menurut beliau lagi, ASTRA menjadi pilihan utama para mekanik kerana mereka tidak lagi perlu berurusan secara langsung dengan tuntutan waranti pelanggan. Sebaliknya, pelanggan hanya perlu ke mana-mana pitstop Bateriku atau menghubungi talian hotline 24 jam dan pihak Bateriku akan menguruskan segala keperluan.

    Dalam usaha melestarikan alam sekitar, Bateriku turut memperkenalkan Briged Hijau – sebuah inisiatif tanggungjawab sosial syarikat yang mengumpul serta melupuskan bateri lusuh dan sisa elektronik dengan kaedah yang beretika dan mesra alam. Inisiatif ini melengkapi ekosistem operasi Bateriku yang dinamik, termasuk jaringan juruteknik BHero, usahawan BPreneur serta rakan bengkel dan trak tunda BBuddy.

    Pemilik bengkel yang berminat untuk mendapatkan bekalan bateri ASTRA boleh menghubungi talian 013-844 2816 atau menghantar emel ke b2wteam@bateriku.com untuk maklumat lanjut.