Selepas enam tahun berehat, program bual bicara popular waktu pagi, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) kembali menemui penonton bermula 17 Januari 2024, setiap hari Rabu hingga Jumaat, pukul 10.30 pagi selama satu jam di TV9.
Sejak mula bersiaran pada tahun 2008, NLKO membawakan pengisian bermanfaat dalam format santai dan menghiburkan dengan barisan pengacara dari pelbagai genre. Di awal siaran NLKO, ia telah mengetengahkan pelbagai jenis topik dan aktiviti kemasyarakatan.
Wajah baharu NLKO menampilkan 10 hos yang ceria dan bertenaga iaitu Erra Fazira, Fizo Omar, Fakhrul Radhi, Heliza Helmi, Barr Zaizan, Affizza Azmi, Saree Abdullah, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah untuk membincangkan pelbagai topik menarik yang merangkumi gaya hidup, kesihatan, kecantikan, fesyen, makanan, dan lain – lain. Lebih istimewa, NLKO musim baharu akan menampilkan usahawan-usahawan tempatan yang dapat berkongsi tips kejayaan dan memberi inspirasi kepada penonton.
NLKO juga bakal memaparkan kapsul Motivasi Secangkir Kopi yang dikendalikan oleh Datuk Wira Dr Azizan Osman, seorang mentor, jurulatih perniagaan dan pakar pemasaran di Malaysia untuk berkongsi pengalaman hidup dan motivasi dalam dunia perniagaan.
Menurut Puan Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar, Pengurusan Kandungan & Siaran TV9, “Nasi Lemak Kopi O (NLKO) musim terbaharu tampil dengan barisan hos yang mempunyai dinamik tersendiri dan juga segmen-segmen baharu yang bersesuaian dengan peredaran masa kini. Di setiap episod, NLKO akan menampilkan usahawan-usahawan yang berjaya di Malaysia dan juga mereka yang berjaya di peringkat global untuk berkongsi kisah perjalanan dalam mengusahakan perniagaan dimana ia boleh dijadikan inspirasi penonton. Konsep yang diketengahkan ini sesuai dengan fokus untuk melahirkan masyarakat yang berjaya dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu hidup dan keluarga.”
“Harapan kami di NLKO & TV9 agar program in akan memberi manfaat dan menceriakan pagi hari penonton-penonton di samping belajar dari kisah kejayaan usahawan-usahawan berjaya di Malaysia untuk dijadikan titik tolak dalam memulakan perniagaan sendiri untuk menjadi lebih sukses,” tambah Khairunnisa lagi.
Tetapkan janji temu anda bersama-sama dengan hos NLKO pada setiap Rabu hingga Jumaat, pukul 10.30 pagi di TV9 atau strim melalui Tonton di www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store. Siaran ulangan NLKO akan disiarkan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 7.50 hingga 8.30 malam.
Produksi NLKO diketuai oleh Wan Sabariah Shikh Ali, Pengurus Besar, Majalah, Gaya Hidup dan Bual Bicara, Rangkaian Televisyen Media Prima, Norhakimi Mohd Naim sebagai penerbit penyelaras dan Jamira Mohd Ramli sebagai penerbit.
Untuk dapatkan info terkini tentang program-program TV9, ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram & X di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial atau tonton menerusi myFreeview CH109, Astro CH149, unifi CH109, tonton LIVE TV dan XTRA Live TV.