Penjaga Hati anda, Nadhif Basalamah, bakal menemui para peminat di Kuala Lumpur pada 11 September 2025 menerusi konsert Nadhif Basalamah Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur. Konsert yang akan berlangsung di The Exchange Hall, Petaling Jaya ini menjanjikan malam penuh emosi, lantunan vokal merdu, dan sentuhan balada yang memukau.
Ya, anda tidak salah baca. Penyanyi dan komposer muda berusia 25 tahun ini, yang terkenal dengan suara gemeresik dan menenangkan, memilih Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi utama dalam siri jelajah Asianya. Menurut penganjur bersama, After School dan Banyak Bagus Entertainment, Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, merupakan antara lokasi yang paling dinantikan oleh Nadhif untuk bertemu secara langsung dengan peminat setianya.
“Tanpa merendahkan lokasi lain dalam jelajah ini, kami dengan bangga membawa Nadhif Basalamah singgah di Kuala Lumpur. Selain Singapura dan Kota Kinabalu, Nadhif sangat teruja untuk bertemu para peminatnya di sini,” ujar Liaw Sun dari Banyak Bagus Entertainment. Beliau turut mengingatkan bahawa tiket konsert ini adalah terhad dan kini sudah mula dijual melalui Ticketmelon.

Bagi peminat yang benar-benar setia, inilah peluang emas untuk merasai kehangatan persembahan Nadhif secara langsung. “Jangan sampai terlepas peluang untuk mendengar vokal emas Nadhif dalam rangkaian lagu hitnya. Ini adalah acara yang tidak patut dilepaskan,” tambah Liaw Sun.
Sejak debut pada Julai 2022 menerusi Wonder in Time, nama Nadhif terus mencuri perhatian. Beliau pernah menjadi pembuka konsert Tulus dalam siri jelajah Manusia di Makassar, sebelum mencatat kejayaan besar dengan lagu-lagu popular seperti To Be With Me, Without Me (Sera), dan yang paling fenomenal, Penjaga Hati pada 2023. Lagu-lagu terbarunya seperti Jatuh Cinta Lagi dan Bergema Sampai Selamanya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis muda paling berbakat di rantau ini.
Bagi mereka yang mahu hanyut dalam keindahan lirik dan melodi balada, malam 11 September di The Exchange Hall bakal menjadi detik yang sukar dilupakan. Jadi, bersedialah untuk jatuh cinta sekali lagi dengan suara dan pesona Nadhif Basalamah dalam Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur.
