Selepas mencipta kejayaan menerusi musim pertama, program realiti berkonsepkan ilmu dan dakwah, Mualim Muda kembali menemui penonton menerusi musim kedua yang menjanjikan pendekatan lebih segar, mencabar dan dekat dengan kehidupan masyarakat masa kini.
Mualim Muda Musim 2 diterbitkan bagi meneruskan usaha Astro Oasis dalam melahirkan generasi baharu pemimpin Islam yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan agama yang mendalam, malah berupaya menyampaikan dakwah, memimpin masyarakat serta menjadi inspirasi kepada golongan muda.
Program ini dijadualkan bersiaran secara serentak bermula 31 Oktober 2026, setiap jam 9 malam menerusi Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Prima (saluran 105). Penonton juga boleh mengikuti program berkenaan secara penstriman melalui On Demand di Astro GO dan Sooka.
Membawakan tema “Pemuda Berjiwa Dakwah, Kini Dengan Misi Lebih Besar”, musim kedua ini memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang menguji kebolehan peserta untuk mengaplikasikan ilmu agama dalam situasi kehidupan sebenar.
Berbeza daripada pertandingan dakwah biasa, peserta bakal berdepan cabaran melibatkan komuniti, perbincangan isu semasa yang dekat dengan generasi muda serta tugasan menghasilkan kandungan dakwah digital secara kreatif dan berkesan.
Pendekatan tersebut bertujuan membuktikan bahawa dakwah bukan sekadar penyampaian ilmu melalui ceramah, sebaliknya turut merangkumi tindakan, kepimpinan dan usaha memberikan manfaat kepada masyarakat.
Lebih menarik, Mualim Muda 2 turut mengetengahkan peserta daripada pelbagai latar belakang kehidupan yang mempunyai kisah perjuangan dan pengalaman tersendiri dalam menyebarkan ajaran Islam.
Antara kisah yang bakal mendapat perhatian ialah seorang guru tahfiz di penjara yang berdepan cabaran rabun warna, namun tetap cekal mendidik serta membimbing individu yang ingin melakukan perubahan dalam kehidupan mereka.
Program ini turut menampilkan seorang mualaf yang baru enam tahun memeluk Islam tetapi sudah aktif menyampaikan mesej agama menerusi aktiviti dakwah jalanan.
Tidak ketinggalan, seorang pempengaruh dalam bidang dakwah dan motivasi yang mempunyai hampir 700,000 pengikut di media sosial turut menyertai pertandingan ini, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pendekatan dakwah dalam era digital.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, musim kedua Mualim Muda memberi penekanan kepada pembentukan identiti figura agama yang lebih dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurutnya, peserta yang diketengahkan bukan sahaja perlu mempunyai ilmu agama yang kukuh, tetapi juga keperibadian autentik, karisma serta kemampuan menghadapi cabaran kehidupan moden tanpa mengabaikan nilai Islam.
Beliau menjelaskan bahawa setiap tugasan dan cabaran dalam program ini dirangka berdasarkan panduan Al-Quran dan sunnah supaya peserta dapat memahami kepentingan mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Katanya, Mualim Muda 2 bukan sekadar sebuah pertandingan untuk mencari pendakwah terbaik, sebaliknya menjadi platform inspirasi yang mampu membentuk individu berakhlak, berdaya kepimpinan dan bersedia memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.
Raqim turut berharap format baharu yang diperkenalkan dapat membawa perubahan kepada landskap kandungan Islamik tempatan dengan menghasilkan lebih ramai pemimpin muda yang mampu menghidupkan ilmu melalui tindakan.
Dari segi barisan juri, Mualim Muda 2 mengekalkan pendakwah terkenal, Dato’ Ustaz Kazim Elias dan Dr. Kamilin Jamilin, selain memperkenalkan Ustazah Asni Masnor sebagai wajah baharu yang bakal memberikan penilaian serta pandangan kepada peserta.
Sementara itu, Ustaz Shahrizan Daud sekali lagi diberikan tanggungjawab sebagai Mursyid atau Pengetua yang akan membimbing, memberikan motivasi dan membantu peserta sepanjang perjalanan pertandingan.
Bagi menghidupkan suasana program, pelawak Atu Zero bakal bergandingan dengan penyanyi nasyid Fakhrul UNIC sebagai hos, sekali gus membawa gabungan personaliti yang berbeza dalam mengendalikan pertandingan berteraskan dakwah ini.
Kehadiran barisan juri, pembimbing dan pengacara tersebut dijangka memberikan kelainan kepada musim kedua, selain memastikan setiap episod tampil dengan pengisian yang bukan sahaja bermanfaat, malah menarik untuk diikuti seisi keluarga.
Mualim Muda 2 turut mendapat sokongan Kedai Emas Sri Semantan yang tampil sebagai penaja utama bagi musim ini.
Dengan cabaran yang lebih realistik serta penekanan terhadap pembangunan sahsiah dan kepimpinan, program ini diharapkan dapat membuka ruang kepada golongan muda untuk melihat dakwah daripada perspektif lebih luas dan relevan dengan perkembangan semasa.
Orang ramai boleh menyaksikan Mualim Muda 2 mulai 31 Oktober, jam 9 malam di Astro Oasis dan Astro Prima, selain mengikuti episod program melalui Astro GO dan Sooka.
Bagi yang ingin menikmati kandungan hiburan Astro, Pek Entertainment Astro X3 ditawarkan pada harga serendah RM39.99 sebulan berbanding harga biasa RM59.99 sebulan, dengan kemudahan penstriman tanpa memerlukan dekoder atau pemasangan.
Maklumat lanjut mengenai langganan boleh didapati menerusi laman web rasmi www.astro.com.my atau WhatsApp di talian 03-9543 3838.












