Kuala Lumpur, 16 Julai 2026 – Program hiburan popular TV3, Melodi, kini tampil dengan pembaharuan menyeluruh yang menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih segar, moden dan relevan dengan citarasa penonton masa kini. Masih mengekalkan identiti yang telah menjadi pilihan ramai sejak sekian lama, Melodi kini hadir dengan konsep baharu, kandungan yang lebih pelbagai serta pendekatan yang lebih santai dan dekat dengan peminat hiburan. Bermula 16 Julai 2026, Melodi akan bersiaran secara langsung setiap Khamis, jam 9.00 malam di TV3 dan turut boleh distrim menerusi Tonton.
Sebagai antara program hiburan paling lama bertahan di kaca televisyen, Melodi kini hadir dengan penampilan yang lebih moden menerusi perubahan pada identiti visual, rekaan studio dan gaya penyampaian yang lebih dinamik. Selain terus membawakan berita dan cerita hangat selebriti, program ini turut memperluaskan kandungannya dengan mengetengahkan perkembangan terkini dunia filem, muzik, drama, fesyen, gaya hidup, acara hiburan serta laporan eksklusif dan kisah-kisah menarik yang sedang menjadi bualan ramai. Pembaharuan ini menjadikan Melodi terus relevan sebagai platform utama yang menghimpunkan pelbagai cerita dari industri hiburan tempatan.

Lebih mengujakan, Melodi kini memperkenalkan Kamal Adli sebagai hos baharu yang akan bergandingan bersama Ain Edruce. Dikenali ramai sebagai “King of Threads”, Kamal membawa personaliti yang spontan, bersahaja dan sentiasa mengikuti perkembangan dunia hiburan. Gandingannya bersama Ain yang terkenal dengan gelagat ceria dan penyampaian yang menghiburkan dijangka memberi nafas baharu kepada program ini. Keserasian mereka pastinya akan menjadikan setiap episod lebih hidup, santai dan menghiburkan.
Bukan itu sahaja, Melodi turut memperkenalkan segmen baharu iaitu Muzik-Muzik 41 yang akan memaparkan perkembangan terkini carta muzik tempatan setiap minggu. Segmen ini juga membuka ruang kepada peminat untuk turut sama mengambil bahagian dalam proses pengundian yang bakal menentukan perjalanan lagu-lagu pilihan menuju ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bagi mengukuhkan lagi kerjasama merentas platform, Hot FM tampil sebagai rakan radio rasmi Muzik-Muzik 41 menerusi segmen Carta Juara Lagu. Bersiaran setiap Ahad dari jam 8.00 hingga 10.00 malam bersama Keymi, segmen ini membawakan 20 lagu yang menghuni Carta Muzik-Muzik setiap minggu. Kerjasama ini sekali gus menghubungkan televisyen, radio dan platform digital dalam usaha menyokong serta memeriahkan industri muzik tempatan.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini dunia hiburan menerusi wajah baharu Melodi yang kini tampil lebih moden, pantas dan lebih dekat dengan penonton. Saksikan Melodi secara langsung setiap Khamis, jam 9.00 malam di TV3 atau strim bila-bila masa menerusi Tonton
