MAWAR RASHID & FADLAN HAZIM DALAM KISAH CINTA TERLARANG YANG MEMILUKAN- NIKMAT HANYA SESAAT BAKAL TEMUI PENONTON SLOT SAMARINDA TV3

Cinta pertama jarang dilupakan, tapi bagaimana jika cinta itu kini menjadi milik orang lain? Itulah dilema yang membelenggu Sara, watak utama dalam drama bersiri penuh konflik dan emosi, Nikmat Hanya Sesaat sebuah naskhah menyayat hati yang akan mula bersiaran di Slot Samarinda TV3 mulai 8 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam.

Diterbitkan oleh Art Ornament, karya ini diarahkan oleh Izuan Mokhtar dengan skrip menyentuh hati hasil tulisan Amin Shakib. Drama 20 episod ini mengupas isu cinta terlarang, pengorbanan wanita, serta pergolakan emosi yang sukar ditebak, menjadikan ia lebih daripada sekadar kisah cinta biasa. Ia menyorot kesan ketara tekanan hidup yang memaksa wanita bertahan demi keluarga, meskipun terpaksa menggadai maruah.

Bintang popular Mawar Rashid memegang watak Sara wanita berdarah luka dengan sejarah kelam, manakala Fadlan Hazim sebagai Zafrul, cinta pertamanya yang kini sudah menjadi milik orang lain. Gandingan mereka buat pertama kali di kaca TV dijangka mencetuskan letusan emosi yang realistik dan penuh penghayatan. Barisan pelakon turut disertai oleh Arash Mohamad, Lisdawati, Sherry Ibrahim, Shasha Abedul dan ramai lagi.

Kisah bermula apabila Sara, selepas kematian ayahnya, terpaksa menyara keluarga dengan menjadi pelacur kelas atasan hidupnya mewah tetapi jiwanya kosong. Dunia ini diperkenalkan oleh Johny (Mutalib Mubin), lelaki yang mengambil kesempatan atas kelemahannya. Kemudian, Zafrul kembali muncul dalam hidupnya namun kini dia sudah bergelar suami kepada Julia (Sherry Ibrahim), tanpa mengetahui sejarah gelap Sara.

Konflik memuncak apabila cinta lama yang belum padam kembali membara. Sara berperang dengan jiwanya sendiri: memilih untuk menyambung kisah lama atau menamatkannya demi masa depan yang lebih tenang.

Mawar Rashid berkongsi cabarannya, “Watak Sara sangat berat. Saya perlu memahami penderitaan yang dialaminya dalam diam. Ia pengalaman berlakon yang sangat menguji fizikal dan emosi. Saya yakin ramai wanita akan rasa berkait dengan kisah ini.”

Nikmat Hanya Sesaat bukan sekadar drama cinta. Ia membuka ruang untuk penonton merenung semula erti ketabahan wanita dan kesan luka yang tidak terlihat. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk lebih info dan konten eksklusif, ikuti media sosial TV3 di @TV3Malaysia dan juga @dramasangat di Instagram.

Jangan lupa janji temu anda mulai 8 Mei ini drama yang bakal membuatkan anda menangis, marah, dan merenung erti cinta sebenar… hanya di TV3.