Fenomena filem aksi tempatan, Blood Brothers: Bara Naga, terus mencipta sejarah apabila berjaya mengekalkan kedudukan teratas carta kutipan box office tempatan selama tiga minggu berturut-turut! Dengan jumlah kutipan mengagumkan RM62 juta dalam hanya 20 hari tayangan dan tayangan awal, filem ini kini secara rasmi tersenarai sebagai antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia.
Sebagai meraikan pencapaian luar biasa ini, Bukit Bintang bertukar menjadi medan sambutan eksklusif apabila satu pengumuman mengejut dipancarkan di papan LED gergasi — memaparkan jumlah rasmi kutipan terkini! Lokasi ikonik itu dipilih bukan sekadar simbol kota metropolitan, tetapi lambang semangat membara yang diusung oleh Blood Brothers: Bara Naga.
Acara penuh warna ini turut menyaksikan kehadiran tokoh legenda perfileman tanah air, Datuk Dr. Yusof Haslam, bersama dua pengarah berbakat, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra. Barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Amir Nafis dan Razib Salimin turut mencuri tumpuan ramai.
Lebih dramatik, sebanyak 30 individu berpakaian sut hitam — mirip pengawal peribadi — muncul secara misteri, menguasai lokasi dan mencipta suasana yang tegang serta sinematik. Seolah-olah membawa dunia Blood Brothers keluar dari skrin dan terus ke tengah-tengah kota! Persembahan akustik mengasyikkan oleh Genji Busker dengan lagu tema Bara Jiwa melengkapkan malam penuh epik itu.
Acara gilang-gemilang ini bukan sekadar promosi semata-mata, tetapi satu deklarasi: Blood Brothers: Bara Naga ialah nadi baharu sinema tempatan! WOLO Kuala Lumpur turut memainkan peranan penting sebagai penaja rasmi penginapan untuk artis dan tetamu kehormat sepanjang acara berlangsung.
“Terima kasih atas sokongan luar biasa dari semua penonton Malaysia. Pencapaian ini adalah hasil sokongan padu anda semua yang terus mengangkat karya tempatan ke tahap lebih tinggi. Semoga lebih banyak filem berkualiti dapat dihasilkan dan menembusi pasaran antarabangsa. Teruskan menonton filem-filem tempatan kerana tanpa anda, tiada kami,” ujar Datuk Dr. Yusof Haslam penuh penghargaan.
Kejayaan Blood Brothers: Bara Naga membuktikan bahawa filem aksi tempatan bukan sahaja relevan, tetapi juga mampu mencetuskan gelombang besar dalam industri perfileman. Filem ini menjadi bukti bahawa penonton kini lebih terbuka kepada produksi tempatan yang menawarkan mutu setanding antarabangsa.
Jika anda masih belum menonton, inilah masanya! Jangan lepaskan peluang menyaksikan Blood Brothers: Bara Naga, filem aksi penuh intensiti yang kini menggegarkan seluruh negara. Rasai sendiri adrenalina, semangat dan bara naga yang membakar layar perak!