“Love Me Or Not” Jadi Tiket Insomniacks Lebarkan Sayap Ke Pasaran Antarabangsa

Written by

in

Insomniacks sekali lagi menghadiahkan karya baharu kepada peminat menerusi Love Me Or Not, sebuah lagu pop berbahasa Inggeris yang membawa nafas berbeza dalam perjalanan seni mereka. Kolaborasi bersama penerbit Sweden, Johan Gustafsson, menjadikan lagu ini antara projek antarabangsa terbesar pernah dihasilkan oleh kumpulan itu.

Single ini ditulis oleh Johan Gustafsson, Rebbi James, Iqie, Danial dan Iskandar, manakala proses mixing dan mastering disempurnakan oleh Martin Hansen bersama Johan sendiri. Hasilnya ialah sebuah lagu yang kedengaran lebih segar, moden dan sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.

Menurut Insomniacks, keputusan menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris dibuat bagi membuka lebih banyak peluang di luar Malaysia. Mereka mahu memperkenalkan muzik Insomniacks kepada pendengar baharu, terutama di Filipina yang dilihat mempunyai potensi besar untuk perkembangan kerjaya mereka.

Love Me Or Not mengangkat kisah tentang seseorang yang memilih untuk terus menyayangi walaupun sedar cintanya mungkin tidak akan dibalas. Lagu ini mengajak pendengar menerima hakikat bahawa tidak semua hubungan akan berakhir seperti yang diharapkan, tetapi setiap perasaan tetap mempunyai makna.

Menariknya, keseluruhan lagu ini berjaya dihasilkan hanya dalam satu hari ketika sesi penulisan lagu bersama beberapa pencipta lagu antarabangsa. Pada awalnya mereka sekadar ingin bereksperimen, namun hasil yang diperoleh membuatkan semua terus jatuh hati dengan lagu tersebut.

Bagi mereka, pengalaman itu menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang bergelar anak seni. Selain menambah ilmu, mereka juga memperoleh pelbagai idea baharu yang akan dimanfaatkan dalam projek-projek akan datang.

Tidak lama selepas pelancaran Love Me Or Not, Insomniacks turut diumumkan sebagai opening act bagi konsert 5 Seconds of Summer pada 17 November dan 4 Disember 2026. Mereka berharap lagu ini dapat memberi kekuatan kepada mereka yang sedang melalui kisah cinta yang rumit. Single tersebut kini boleh distrim di semua platform digital.