Kotak Kembali Gegarkan Pentas: Road to 21st Anniversary di Kuala Lumpur

Menyambut 21 tahun dalam industri muzik, kumpulan rock popular Indonesia, Kotak, tidak memilih untuk berdiri sendirian. Sebaliknya, mereka tampil meraikan detik istimewa ini bersama para peminat setia, Kerabat Kotak, menerusi konsert eksklusif Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna yang akan berlangsung pada 21 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Setelah dua dekad menelusuri suka duka dunia muzik, Tantri Syalindri Ichlasari, Swasti Sabdastantri, dan Mario Marcella terus mengukuhkan kedudukan Kotak sebagai antara band paling berpengaruh di Indonesia. Kini, dengan semangat yang tidak pernah luntur, mereka memilih Kuala Lumpur sebagai pentas untuk menghidupkan kembali nostalgia dan membina momen baharu bersama peminat.

Konsert ini dibawakan khas oleh GemaWave, sebuah platform hiburan rentas genre yang meraikan keunikan suara dari Asia Tenggara, dan dianjurkan oleh Boomset Planning yang terkenal dengan penganjuran acara penuh impak. Menurut wakil Boomset, Syira Yusof, penganjuran konsert ini bukan semata-mata untuk meraikan ulang tahun, tetapi sebagai penghormatan terhadap era muzik yang telah membentuk generasi peminat tersendiri. Katanya, mereka mahu menghidupkan semangat itu dalam suasana yang intim dan penuh makna, dan Kotak x Arda Hatna merupakan pilihan pertama GemaWave untuk membuka lembaran baharu dalam penganjuran konsert berkonsepkan pertemuan peribadi artis dan peminat.

Menambah keistimewaan malam tersebut, Kotak akan berkongsi pentas bersama Arda Hatna, vokalis kumpulan Naff dan juga suami kepada Tantri. Arda yang dikenali menerusi lagu-lagu hit seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku, dan Akhirnya Ku Menemukanmu, dijangka menyuntik elemen emosional dan romantik dalam persembahan mereka. Bukan itu sahaja, Arda turut mencipta nama sebagai penyanyi solo dengan karya-karya seperti Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir yang menerima sambutan hangat sejak dilancarkan tahun lalu.

Bagi Tantri sendiri, persembahan kali ini cukup peribadi dan menyentuh hati. Ia bukan sekadar sebuah persembahan ulang tahun, tetapi juga satu momen yang jarang berlaku berkongsi pentas bersama pasangan hidup dalam suasana yang penuh kasih sayang dan kenangan bersama peminat yang telah bersama mereka sejak awal perjalanan. Tantri turut menyatakan bahawa kehadiran peminat amat bermakna buat mereka dan mengharapkan semua dapat hadir menyaksikan momen bersejarah ini bersama-sama.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga bermula RM198 bagi kategori Standing, RM218 untuk Gold, RM248 untuk Platinum dan RM3,888 bagi Box yang eksklusif. Semua pembelian boleh dilakukan menerusi laman sesawang rasmi www.ticket2u.com.my.

Kerabat Kotak, tandakan tarikh 21 September 2025 dalam kalendar anda. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik penuh tenaga dan emosi dalam konsert Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur. Ia dijangka menjadi antara momen paling manis dalam hidup anda tahun ini kerana seperti kata Tantri, ingatan Kotak kepada peminatnya tidak pernah hilang. “Semoga kita saling Selalu Cinta. Sampai jumpa di Kuala Lumpur. Long live Kotak.”