Presiden KRU Music, Dato’ Norman Abdul Halim, tampil memberi penjelasan berhubung laporan media mengenai pembatalan konsert GENKRU di Pulau Pinang yang tular semalam.
Menurut beliau, tajuk-tajuk berita yang tersebar agak sensasi dan boleh menimbulkan salah faham. Hakikatnya, KRU tidak pernah mengumumkan atau melancarkan jualan tiket bagi konsert GENKRU di Pulau Pinang, mahupun di mana-mana negeri lain.
“Sebenarnya, kami hanya mempunyai hasrat untuk mengadakan konsert GENKRU di beberapa buah negeri. Namun, selepas kajian teknikal dibuat, kami memutuskan untuk membatalkan hasrat itu, khususnya untuk Pulau Pinang,” jelas beliau.
Dato’ Norman menambah, penganjur ingin mengekalkan keunikan konsert GENKRU yang berlangsung di Axiata Arena sebagai sebuah persembahan istimewa yang tidak diulang dengan format sama. Menurutnya, aspek teknikal membuatkan mereka tidak dapat memberikan persembahan dengan mutu setara jika diadakan di lokasi lain.
“Kami mahu GENKRU di Axiata Arena diabadikan dengan kelas tersendiri. Rakaman konsert itu juga akan disiarkan untuk tatapan peminat,” katanya.
Walau bagaimanapun, KRU kini sedang meneliti format baharu dan kandungan persembahan untuk konsert di luar Kuala Lumpur dengan jenama berbeza, bukan di bawah nama GENKRU.
“Jika GENKRU diadakan lagi, ia mesti lebih besar daripada apa yang pernah kami buat di Axiata Arena. Kami sentiasa fikirkan yang terbaik untuk peminat dan tidak mahu mengecewakan sesiapa,” tegas beliau.
Dato’ Norman turut mengingatkan peminat agar hanya merujuk kepada sumber rasmi untuk sebarang maklumat atau pengumuman mengenai konsert KRU pada masa akan datang.
