KELUANG MAN HIMPUNKAN LEBIH 7,000 PEMINAT DI LARIAN SUPERHERO ORIGINAL PERTAMA MALAYSIA ‘Keluang Man WONDA Fun Run’ Gegarkan Kuala Lumpur Bersama Barisan Pelakon Popular!

Kuala Lumpur sekali lagi menjadi saksi kepada detik bersejarah apabila lebih 7,000 peminat membanjiri Menara DBKL bagi menyertai ‘Keluang Man WONDA Fun Run’, larian bertemakan adiwira original pertama Malaysia yang berlangsung penuh warna-warni dan penuh semangat.

Berlangsung buat julung kali sempena filem live-action Keluang Man yang bakal ditayangkan bermula 29 Mei ini, acara ini dianjurkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Wonda Kopi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), seiring program Car Free Morning yang mendapat sambutan hebat warga kota.

Menampilkan jarak larian sejauh 5 kilometer, program bermula seawal 6.45 pagi dengan sesi regangan diikuti flag-off oleh karakter ikonik Keluang Man, maskot BeBe, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif tepat jam 7.00 pagi. Suasana menjadi lebih meriah apabila peserta tampil mengenakan topeng Keluang Man dan menerima jersi edisi terhad, menambahkan aura pahlawan dalam diri masing-masing.

Menyerlahkan lagi suasana, acara ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon filem seperti Nas Muammar Zar, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Sham Sunder, Razzuan Rosli, serta penyanyi tema filem Krisya dan kumpulan S.O.G yang turut sama menyertai larian bersama peminat.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Keluang Man, “Kami amat berbesar hati melihat sambutan luar biasa daripada peminat terhadap acara ini. Ini bukan sekadar promosi menjelang tayangan filem, tetapi satu usaha menyemarakkan semangat Keluang Man – simbol keberanian dan kecekalan – agar terus hidup dalam jiwa rakyat Malaysia.”

Selain aktiviti larian, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi bergambar bersama pelakon, persembahan oleh Krisya & S.O.G., cabutan bertuah, jualan barangan eksklusif Keluang Man, serta siaran luar oleh ERA, radio paling legit di Malaysia. Peluang merasai Wonda Kopi Kluang, burger istimewa Wonda-ful Keluang Man, dan pelbagai promosi menarik daripada Iconic Animation Studio, Fung Keong dan Abstrax turut mencuri tumpuan ramai.

Kerjasama bersama Wonda Coffee juga terbukti berjaya apabila kolaborasi eksklusif mereka menghasilkan Wonda Kopi Kluang telah mencatatkan jualan lebih 2 juta tin dalam masa lapan bulan – pencapaian luar biasa bagi jenama tempatan.

Filem Keluang Man diterbitkan oleh Astro Shaw bersama GSC, Idea River Run, Pasal Productions dan rakan strategik Wonda Kopi, diarahkan oleh Anwari Ashraf. Ia menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Amelia Henderson, Halim Othman dan ramai lagi.

Menjelang tayangannya pada 29 Mei 2025, filem ini terus mencuri perhatian apabila treler rasmi terkini telah dilancarkan semalam, susulan kejayaan trailer pertama yang meraih hampir 10 juta tontonan di TikTok @astroshawofficial.

Keluang Man mengisahkan Borhan, pesakit psikiatri yang melarikan diri pada waktu malam. Dihantui masa silam dan menghidap gangguan skizofrenia disosiatif, Borhan tanpa sedar mula mencipta identiti baharunya sebagai Keluang Man – adiwira yang bakal mengejutkan seluruh negara.