Penyanyi muda berbakat besar dan juara Ceria Popstar Xtra 2022, Dinda Dania, kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan single terbarunya berjudul Katana. Lagu ini bukan sekadar karya pop biasa, tetapi sebuah selebrasi terhadap keanggunan, keberanian dan keteguhan jiwa wanita – digambarkan melalui metafora pedang legenda Jepun, Katana, yang tajam dan mempesona.
Dilancarkan di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Katana tampil dengan rentak moden yang penuh tenaga dan elemen sinematik, menggambarkan kekuatan dalaman wanita yang tidak mudah dipatahkan. Lagu ini membuktikan bahawa wanita boleh menjadi lembut dalam sikap, namun tetap teguh, berani dan tidak mudah dipermainkan.
“Secara ringkasnya, lagu ini menceritakan tentang seorang lelaki yang terbongkar kecurangannya terhadap teman wanita. Tetapi lebih dari itu, ‘Katana’ ialah simbolik kepada kekuatan seorang wanita yang berani bangkit dan tidak membiarkan dirinya terus dipijak,” jelas Dinda.

Tambahnya lagi, “Katana bukan sekadar lagu, ia adalah satu pernyataan diri. Lagu ini mengangkat mesej tentang menemukan suara hati sendiri, memiliki kekuatan dalaman, dan tidak takut untuk berdiri semula setelah jatuh. Saya berharap ia mampu menjadi inspirasi kepada semua gadis dan wanita di luar sana untuk terus percaya pada diri sendiri, tidak kira apa pun dugaan yang datang.”
Dicipta oleh gandingan hebat Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman, Katana disusun dengan sentuhan muzik yang dinamik dan dramatik, padanan sempurna dengan vokal Dinda yang lantang, penuh ekspresi dan berkarisma.
“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka, jadi proses penghasilan lagu ini berjalan sangat lancar. Mereka sangat profesional dan terbuka menerima idea serta memberikan bimbingan yang jelas semasa di studio. Saya rasa bertuah dapat bekerjasama dengan mereka, setiap kali, ia menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan penuh pembelajaran,” kongsi Dinda penuh syukur.
Berkongsi sedikit tentang proses rakaman, Dinda mengakui ada cabaran yang perlu ditempuh:
“Saya mengambil masa lebih kurang dua jam lebih untuk merakam lagu ini. Ketika itu, saya kurang sihat, tapi alhamdulillah prosesnya berjalan dengan baik. Saya benar-benar berharap lagu ini akan mendapat tempat di hati para peminat.”
Meskipun masih muda dan baharu dalam industri, Dinda Dania telah berjaya mencipta impak yang besar sejak dinobatkan sebagai juara Ceria Popstar Xtra 2022. Dengan pelancaran Katana, Dinda membuktikan bahawa dirinya semakin matang dalam pembawaan muzik serta berani tampil dengan identiti seni yang lebih kuat dan yakin.
Kini, Katana boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox, dan YouTube Music. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan video lirik rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.