Suara Emas untuk Layar Perak: Siti Nurhaliza Nyanyi Lagu Tema Filem Osman Ali

Sesal merupakan lagu tema bagi filem seram psikologi Telaga Suriram, dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan dicipta sepenuhnya oleh Nurzaidi Abd Rahman. Lagu ini menyelami emosi seorang ibu yang terdesak mencari anaknya yang hilang, selari dengan tema filem yang menyayat hati. Dengan susunan oleh Eddie Slam dan iringan seruling oleh Mohar, Sesal menjadi gambaran sempurna kesedihan dan kerinduan.

Filem Telaga Suriram mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan yang hilang secara misteri di sebuah kampung terpencil, sehingga mencetuskan huru-hara dan keretakan hubungan antara penduduk. Kegagalan mencari anak itu menimbulkan dakwaan mengenai pengorbanan syaitan. Ketika gangguan aneh mula berlaku, pelbagai syak wasangka muncul dan akhirnya satu kebenaran pahit, penuh rahsia dan keaiban, terbongkar.

Video muzik lagu ini telah dirakam di Studio Kayangan di bawah arahan Shuhaimi Zulkefli. Projek ini turut dijayakan oleh penerbit bersekutu Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan. Sesal kini boleh dinikmati di semua platform muzik digital, dan video muziknya ditayangkan melalui saluran YouTube Universal Malaysia.