Jiwa Seorang Pentaksub: Di Sebalik Topeng Kuasa Seorang Pemimpin

Written by

in

“Ada manusia yang nampak terlalu sempurna di mata ramai kerana mereka tidak pernah menunjukkan siapa diri mereka yang sebenar.” Itulah gambaran yang dibawakan menerusi drama terbaharu slot Samarinda TV3, Jiwa Seorang Pentaksub, sebuah kisah penuh konflik yang menyelami sisi gelap seorang pemimpin berpengaruh yang disanjung masyarakat, namun sebenarnya terperangkap dalam ketaksuban terhadap kuasa dan wanita sehingga sanggup menghancurkan sesiapa sahaja di sekelilingnya.

Drama 25 episod arahan Nur Ain Sharif dan terbitan Suhan Movies ini menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai Firzan, seorang lelaki yang berjaya membina empayar politiknya sehingga menjadi tokoh yang dihormati ramai. Turut membariskan Sophia Albarakbah, Rita Rudaini, Shahz Jaszle, Ady Mohammad dan Ariff Idrus, drama ini mula menemui penonton pada 1 Jun 2026 dan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.

Kisahnya bermula apabila Firzan yang dahulunya hanya seorang pemandu peribadi kepada ahli politik berpengaruh mula menyedari bahawa kuasa mampu membuka pelbagai peluang dalam hidup. Dari situlah dia mengambil kesempatan menggunakan perkahwinan sebagai jalan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia politik sebelum berjaya membina pengaruh dan kedudukannya sendiri.

Namun, semakin tinggi kedudukan yang dicapai, semakin besar juga kerakusan Firzan. Baginya, kuasa adalah segala-galanya, termasuk melebihi kepentingan keluarga sendiri. Kehadiran Diana lakonan Sophia Albarakbah, seorang pempengaruh media sosial yang juga kekasih anaknya Aiman, mula mencetuskan konflik apabila Firzan sanggup memanipulasi keadaan demi mendapatkan wanita itu untuk dirinya.

Pada masa yang sama, hubungan Firzan dengan seorang lagi anaknya, Aidil, masih dingin. Aidil yang sekian lama menyimpan luka dan kebencian terhadap bapanya masih belum mampu menerima kehadiran Firzan dalam hidupnya, sekali gus menambahkan lagi ketegangan dalam keluarga mereka.

Dalam diam, Suri pula menjadi individu yang paling setia berada di sisi Firzan. Watak yang dibawakan Rita Rudaini itu menyimpan terlalu banyak rahsia mengenai lelaki berpengaruh tersebut. Namun apabila satu demi satu rahsia mula terbongkar dan topeng yang selama ini menutupi kebenaran mula retak, persoalannya kini siapakah sebenarnya yang sedang mempergunakan siapa?

Menurut Datuk Rosyam Nor, watak Firzan merupakan seorang lelaki yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi keinginan dan mempertahankan kuasanya. Katanya, Firzan sentiasa merasakan dirinya berada di pihak yang betul dan tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang penjahat.

“Firzan ni jenis orang yang rasa semua tindakan dia betul. Dia pandai bermain dengan persepsi dan mempengaruhi orang supaya mempercayainya. Saya rasa penonton akan geram melihat sikap Firzan yang tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya,” katanya.

Bagi yang ingin mengikuti perjalanan penuh drama dan konflik dalam Jiwa Seorang Pentaksub, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Samarinda TV3.

Penonton juga boleh menonton episod baharu secara eksklusif di platform iQIYI sejam selepas siaran di TV3 menerusi laman web atau aplikasi iQIYI yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai drama ini dan kandungan menarik lain, ikuti TV3 Malaysia di Facebook, X, YouTube dan Instagram, selain akaun Instagram rasmi Drama Sangat untuk pelbagai perkongsian eksklusif sepanjang tayangan berlangsung.