HSS Holdings Bersedia Melangkah Menerusi Penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Written by

in

 (From Left to Right) – Mr. Goh Chen Ann (Executive Director of HSS Holdings Berhad), Mr. Goh Chen Chang, (Managing Director of HSS Holdings Berhad), Datuk Bill Tan (Executive Director of M & A Securities Sdn. Bhd.), Mr. Gary Ting, Head, (Corporate Finance of M & A Securities Sdn Bhd)

HSS Holdings Berhad melancarkan prospektus rasmi sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dijangka memperkukuh pertumbuhan operasi dan pengeluaran kumpulan. IPO berkenaan melibatkan penerbitan 75 juta saham baharu serta tawaran jualan sebanyak 52.5 juta saham sedia ada. Pada harga IPO RM0.18 sesaham, HSS dijangka memperoleh hasil kasar sebanyak RM13.5 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM2.57 juta akan digunakan bagi tujuan perbelanjaan modal untuk Kemudahan Pembuatan Kumpulan, RM4.50 juta diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM2.93 juta untuk modal kerja dan RM3.50 juta bagi membiayai kos penyenaraian.

HSS merupakan syarikat yang terlibat dalam penyumberan produk bakeri, perdagangan bakeri dan produk lain serta pembuatan produk bakeri. Sejak memulakan operasi pada tahun 2004, syarikat itu telah membina pengalaman lebih 20 tahun dalam industri produk bakeri dan mewujudkan rangkaian pengedaran yang kukuh menerusi pemborong, pengedar serta peruncit di seluruh negara.

Kumpulan itu kini menawarkan lebih 6,000 SKU melibatkan kek, biskut, snek dan produk lain di bawah jenama seperti SINAR®, 合顺成饼家® dan Sa1ko®. Selain itu, HSS turut membekalkan produk berjenama dan tidak berjenama bagi memenuhi pelbagai keperluan pengguna.

Dana yang diperoleh menerusi IPO akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mempertingkatkan kecekapan operasi. Antara pelan utama syarikat termasuk pemasangan barisan pengeluaran biskut baharu, menaik taraf barisan pengeluaran sedia ada, automasi proses pengeluaran tertentu serta pembangunan barisan pengeluaran kek automatik baharu.

Pengarah Urusan HSS Holdings Berhad, Goh Chen Chang berkata, pelancaran prospektus itu mencerminkan satu langkah penting dalam perjalanan korporat syarikat. Beliau berkata, HSS berjaya membina asas kukuh dalam industri melalui portfolio produk yang luas, hubungan pelanggan yang stabil serta rangkaian pengedaran yang menyeluruh. “IPO ini akan membantu kami memperkukuh operasi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif M & A Securities Sdn. Bhd., Datuk Bill Tan berkata, kedudukan HSS dalam pasaran produk bakeri domestik terus diperkukuh oleh pengalaman operasi yang luas dan kepelbagaian produk yang ditawarkan. Katanya, pelaburan dalam kemudahan pembuatan dan automasi dijangka mampu memperkukuh prestasi operasi HSS selepas penyenaraian kelak. M & A Securities Sdn. Bhd. merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO tersebut.