Fenomena Projek: High Council terus mencipta impak besar dalam landskap penceritaan tempatan. Kejayaannya bukan sahaja terletak pada naratif yang mencetuskan perbualan dalam kalangan penonton, malah turut mengangkat standard baharu dalam aspek produksi karya tempatan.
Segalanya bermula dengan siri premium Projek: High Council pada tahun 2023 sebelum dunia tersebut dikembangkan menerusi filem Kahar: Kapla High Council pada tahun 2024. Kini, francais itu diperluaskan lagi menerusi kemunculan KUDRAT 1968 yang membawa penonton menyelami sejarah awal dunia High Council.
Buat pertama kali di Malaysia, Astro Shaw memperkenalkan konsep penceritaan satu cerita dua format. Sebelum filem KUDRAT 1968 ditayangkan di pawagam, penonton akan dapat menyaksikan empat episod siri premium Astro Originals yang berfungsi sebagai pengenalan kepada dunia dan watak-watak utama sebelum pengalaman sinematik diteruskan di layar perak.
Pendekatan ini bukan sahaja memberikan pengalaman penceritaan yang lebih mendalam, malah menjadi strategi pemasaran baharu yang membolehkan penonton mengenali dunia KUDRAT 1968 lebih awal sebelum menyaksikan filem penuh di pawagam.
KUDRAT 1968 merupakan sebuah prekuel yang membawa penonton kembali ke titik permulaan sistem hierarki rahsia yang diwujudkan oleh para pelajar sendiri, sekali gus menjadi asas kepada kewujudan High Council yang dikenali hari ini.

Sebelum ini, Astro Shaw telah mengumumkan Mierul Aiman sebagai pelakon utama menerusi media sosial rasmi mereka. Kini, lima lagi tonggak utama diperkenalkan iaitu Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
KUDRAT 1968 diterajui oleh showrunner Zulaikha Zakaria yang sebelum ini berjaya menerajui Projek: EXIT dan Projek: High Council. Naskhah ini juga menandakan kemunculan pertama Khairi Asyraff sebagai pengarah bersama di bawah produksi PASAL Productions.
Menurut Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, enam pelakon utama yang dipilih menerusi sesi uji bakat akan menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968 dengan karakter dan tenaga tersendiri.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun KUDRAT 1968 merupakan debut pengarahan filem pertama buat Zulaikha Zakaria, beliau bukanlah wajah baharu dalam dunia High Council kerana telah memainkan peranan penting sebagai penulis dan pengarah bersama sejak awal pembikinan francais tersebut.
Gandingan Zulaikha bersama Khairi Asyraff yang hadir dengan pendekatan kreatif baharu diyakini mampu memberikan dimensi segar kepada dunia High Council.
Tambah beliau lagi, empat episod siri premium Astro Originals akan memperluaskan pengalaman penonton dengan membina dunia KUDRAT 1968 secara lebih mendalam. Pendekatan ini membolehkan penonton memahami watak dan naratif dengan lebih menyeluruh sebelum menyaksikan filem di pawagam.
KUDRAT 1968 diterbitkan oleh Astro Shaw bersama rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment.
Filem ini mengisahkan seorang pelajar yang dipaksa memasuki sebuah institusi yang dibina atas nama bapanya. Namun di sebalik legasi yang diwarisi, dia berdepan pilihan sama ada mempertahankan sistem yang telah membentuk dirinya atau menjadi individu yang bakal menghancurkannya.
KUDRAT 1968 dijadualkan menemui penonton pada tahun ini. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan terkini serta klip-klip eksklusif menerusi akaun rasmi Astro Shaw di semua platform media sosial.
