
Filem paling hangat diperkatakan ketika ini, Kudrat 1968: High Council, terus mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam tanah Air apabila berjaya mencatat kutipan terkumpul sebanyak RM6.5 juta merangkumi tayangan awal serta dua hari tayangan rasmi sejak 29 Oktober lalu. Angka membanggakan ini sekali gus membuktikan kekuatan francais High Council yang kekal bertakhta di hati penonton serta mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Kejayaan ini turut digamatkan dengan perbualan meluas di media sosial, di mana penonton memuji lakonan mantap barisan pelakon utamanya seperti Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, dan Akmal Asyraf. Menerusi pendekatan inovatif ‘One Story, Two Formats’ yang menggabungkan empat episod siri premium dengan filem layar lebar, karya arahan Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff ini berjaya memberikan pengalaman tontonan yang segar dan berbeza.
Pihak Astro Shaw merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh peminat setia atas sokongan padu yang diberikan. Bagi mereka yang belum sempat menyaksikan sendiri kehangatan aksi di layar perak, Kudrat 1968: High Council kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.










