Bintang muda Indonesia, Fajar Noor, terus mengorak langkah ke pentas serantau apabila hadir ke Kuala Lumpur buat pertama kalinya untuk memperkenalkan single sulungnya yang penuh emosi berjudul Tahta Hatiku #Pendampingmu.
Penyanyi bersuara lunak ini mula mencuri perhatian setelah menamatkan saingan di tempat kedua dalam program realiti popular Indonesian Idol musim ke-13. Kini, beliau tampil lebih matang dan bersedia untuk menawan hati peminat di Malaysia.
Selama tiga hari kunjungannya dari 3 hingga 5 Ogos, Fajar menjalani siri promosi padat termasuk persembahan televisyen, temu bual bersama media, sesi fotografi, dan makan malam eksklusif bersama peminat terpilih. Sambutan hangat daripada peminat tempatan membuktikan bakatnya semakin diterima di luar Indonesia.
Single Tahta Hatiku #Pendampingmu merupakan ciptaan komposer ternama, Yovie Widianto, dengan lirik nukilan Arsy Widianto. Lagu ini mengetengahkan tema cinta yang tidak memiliki, namun tetap setia mendampingi satu perasaan yang universal dan mudah meresap ke jiwa pendengar.
“Lagu ini tentang mencintai dalam diam. Tak semua cinta berakhir dengan bersama, tapi kita tetap memilih untuk ada buat dia. Saya yakin ramai yang pernah rasa seperti itu,” ujar Fajar ketika ditemui.

Lebih menarik, Fajar turut berkongsi bahawa lirik lagu ini mewakili sisi peribadinya yang lebih selesa menzahirkan cinta melalui lagu berbanding kata-kata.
“Sebagai penyanyi baru, saya mahu biar karya saya yang bercakap. Lagu ini sudah menerima sambutan baik di Indonesia, dan saya sangat berharap ia juga mendapat tempat di hati pendengar Malaysia,” tambahnya.
Lawatan promosi ini turut menandakan permulaan usaha Fajar Noor bersama Universal Music Malaysia untuk mengembangkan bakatnya ke pasaran lebih luas, termasuk Asia Tenggara. Kejayaan awal ini turut dibantu oleh peningkatan sokongan peminat menerusi platform media sosial dan penstriman digital.
“Saya mahu bina hubungan yang erat dengan peminat di sini. Ini hanya langkah pertama. Insya-Allah, saya akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini,” katanya lagi.
Dengan bakat semula jadi, personaliti yang merendah diri dan lagu yang menyentuh hati, Fajar Noor dilihat bersedia mencipta fenomena baharu bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di pentas antarabangsa.
