Tag: #FajarNoor

  • Fajar Noor Pertaruh Album Sulung Sarat Emosi Tentang Cinta dan Patah Hati

    Selepas sekian lama dinantikan, Fajar Noor akhirnya tampil dengan album sulung berjudul Sementara, Selamanya, sebuah naskhah yang merakamkan perjalanan emosi tentang cinta, kehilangan dan harapan dalam kehidupan.

    Album ini membawa pendengar menelusuri setiap fasa sebuah hubungan, daripada detik bahagia ketika jatuh cinta, konflik yang menguji kesetiaan, perpisahan yang menyakitkan sehinggalah kepada rasa yang masih tertinggal walaupun segalanya sudah berlalu.

    Menurut Fajar, keseluruhan album ini dihasilkan berdasarkan pengalaman dan emosi yang pernah dilaluinya sendiri. Justeru, setiap lagu disampaikan dengan penuh kejujuran agar pendengar dapat merasai mesej yang ingin disampaikan.

    Bagi memperkukuhkan identiti album, beliau bergandingan dengan penerbit Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada yang moden, minimalis dan mudah menyentuh hati.

    Fajar turut mengakui bahawa menghasilkan album ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau perlu membuka kembali kisah-kisah lama yang memberi kesan mendalam dalam hidupnya.

    Dalam masa sama, beliau turut berkongsi berita gembira apabila bakal mengadakan siri promosi di Malaysia, termasuk sebuah persembahan album secara langsung yang akan menjadi peluang istimewa buat peminat tempatan bertemu dengannya buat kali pertama.

    Maklumat lanjut mengenai persembahan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi platform media sosial rasmi Fajar Noor dan Universal Music Malaysia. Album Sementara, Selamanya kini tersedia di semua platform penstriman digital.

  • Fajar Noor Serlah Pesona di KL dengan ‘Tahta Hatiku’ dan ‘Menjaga Hati’

    Fajar Noor Serlah Pesona di KL dengan ‘Tahta Hatiku’ dan ‘Menjaga Hati’

    Bintang muda Indonesia, Fajar Noor, terus mengorak langkah ke pentas serantau apabila hadir ke Kuala Lumpur buat pertama kalinya untuk memperkenalkan single sulungnya yang penuh emosi berjudul Tahta Hatiku #Pendampingmu.

    Penyanyi bersuara lunak ini mula mencuri perhatian setelah menamatkan saingan di tempat kedua dalam program realiti popular Indonesian Idol musim ke-13. Kini, beliau tampil lebih matang dan bersedia untuk menawan hati peminat di Malaysia.

    Selama tiga hari kunjungannya dari 3 hingga 5 Ogos, Fajar menjalani siri promosi padat termasuk persembahan televisyen, temu bual bersama media, sesi fotografi, dan makan malam eksklusif bersama peminat terpilih. Sambutan hangat daripada peminat tempatan membuktikan bakatnya semakin diterima di luar Indonesia.

    Single Tahta Hatiku #Pendampingmu merupakan ciptaan komposer ternama, Yovie Widianto, dengan lirik nukilan Arsy Widianto. Lagu ini mengetengahkan tema cinta yang tidak memiliki, namun tetap setia mendampingi satu perasaan yang universal dan mudah meresap ke jiwa pendengar.

    “Lagu ini tentang mencintai dalam diam. Tak semua cinta berakhir dengan bersama, tapi kita tetap memilih untuk ada buat dia. Saya yakin ramai yang pernah rasa seperti itu,” ujar Fajar ketika ditemui.

    Lebih menarik, Fajar turut berkongsi bahawa lirik lagu ini mewakili sisi peribadinya yang lebih selesa menzahirkan cinta melalui lagu berbanding kata-kata.

    “Sebagai penyanyi baru, saya mahu biar karya saya yang bercakap. Lagu ini sudah menerima sambutan baik di Indonesia, dan saya sangat berharap ia juga mendapat tempat di hati pendengar Malaysia,” tambahnya.

    Lawatan promosi ini turut menandakan permulaan usaha Fajar Noor bersama Universal Music Malaysia untuk mengembangkan bakatnya ke pasaran lebih luas, termasuk Asia Tenggara. Kejayaan awal ini turut dibantu oleh peningkatan sokongan peminat menerusi platform media sosial dan penstriman digital.

    “Saya mahu bina hubungan yang erat dengan peminat di sini. Ini hanya langkah pertama. Insya-Allah, saya akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini,” katanya lagi.

    Dengan bakat semula jadi, personaliti yang merendah diri dan lagu yang menyentuh hati, Fajar Noor dilihat bersedia mencipta fenomena baharu bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di pentas antarabangsa.