Insomniacks Lebarkan Sayap dengan EP Inggeris Sulung “Awake & Dreaming”
Kumpulan yang sentiasa tampil dengan karya segar dan dekat di hati peminat, Insomniacks kini melakar satu lagi pencapaian baharu dalam perjalanan seni mereka. Popular dalam kalangan Gen Z dan peminat muzik tanah air, trio berbakat ini – Iqie (vokal), Iskandar (bes) dan Dan (gitar) – akhirnya melancarkan EP Inggeris pertama mereka berjudul Awake & Dreaming.
Projek ini bukan sekadar penambahan dalam diskografi mereka, tetapi juga manifestasi impian yang sudah lama disimpan sejak awal penubuhan. Menurut Iqie, keinginan menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris datang secara semula jadi, dan proses kreatifnya membuka ruang untuk mereka lebih berani meneroka sisi berbeza.
“Kami dah lama impikan EP Inggeris sendiri. Bila tiba peluang ini, kami curahkan sepenuh jiwa. Ia adalah refleksi perjalanan remaja kami, penuh dengan emosi dan pengalaman yang membentuk siapa kami hari ini,” jelas Iqie.
Lima lagu dalam Awake & Dreaming mengetengahkan tema berkaitan kesihatan mental, terutamanya isu insomnia yang pernah dialami oleh ahli kumpulan. Menurut Dan, EP ini lahir daripada pengalaman sebenar bergelut dengan kegelisahan malam dan keletihan siang, hingga keliru membezakan antara realiti dan mimpi.

“Inspirasi lagu utama EP ini muncul daripada perasaan sunyi dan terperangkap ketika malam menjelma. Walaupun idea asalnya bermula satu dekad lalu, kami beri nafas baru dengan elemen moden tanpa melupakan rasa nostalgia,” ujar Dan.
Bagi Iskandar pula, pelancaran EP ini membuka peluang lebih luas buat Insomniacks, termasuk untuk merancang konsert mereka sendiri. Gabungan lagu hit Melayu seperti Pulang, Reminisensi dan Sempurna bersama karya Inggeris menjadikan persembahan mereka lebih bervariasi dan menyeluruh.
“Kami mahu peminat lihat sisi versatil kami. Dengan pelancaran EP ini, kami bukan hanya tampil dengan muzik baru, tapi juga cerita baru,” tambahnya. Lagu-lagu seperti Reminisensi dan Sempurna juga kini berada dalam senarai Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia menurut RIM.
Kesemua lagu dalam EP pop rock Awake & Dreaming dihasilkan sepenuhnya oleh Iqie, Dan dan Iskandar, dengan kolaborasi produser JOEK dan penyusun muzik Joseph Chua. Lima trek menarik yang dimuatkan ialah Anti-hero, Awake & Dreaming, Overdrive (feat. KillaDriz), Some Days Are Just Better dan Why Don’t You Cry.