Gelombang drama Hilang Dalam Rindu kini menjadi fenomena besar, sekali gus mengingatkan peminat kepada era kegemilangan Melur Untuk Firdaus yang mengangkat Anna Jobling dan Meerqeen sebagai pasangan ikonik. Kali ini, sorotan sepenuhnya beralih kepada dua bintang muda berbakat, Jazmy Juma dan Tracie Sinidol, yang semakin digelar sebagai pasangan drama terhangat Malaysia.
Keistimewaan mereka terletak pada chemistry yang tampak begitu natural di layar kaca. Setiap pandangan, senyuman kecil dan lontaran dialog seolah-olah menghidupkan percintaan sebenar, tanpa perlu adegan bersentuhan pun. Kemanisan itu sahaja sudah cukup membuatkan peminat ‘cair’, malah ramai mengaku berasa ‘blushing’ setiap kali adegan romantik mereka muncul. Lebih menarik, aura ini turut menyeberangi sempadan apabila peminat Indonesia mula berharap agar Jazmy dan Tracie diberikan momen lebih mesra, sekurang-kurangnya satu adegan pelukan untuk memuaskan hati penonton setia.
Fenomena ini tidak berhenti di skrin semata-mata. Interaksi mereka di luar drama, khususnya di platform TikTok, sering mencuri perhatian. Dari sekadar balas komen hingga video spontan, semuanya menambah lagi keyakinan peminat bahawa mereka adalah pasangan ideal sama ada di hadapan kamera atau dalam kehidupan sebenar. Tidak hairanlah jika nama mereka sentiasa trending setiap kali episod baharu ditayangkan, malah kreativiti peminat meledak dengan menghasilkan fan art, fan edit, dan juga fan fiction yang membanjiri media sosial.

Desakan peminat agar pasangan ini terus digandingkan selepas tamatnya Hilang Dalam Rindu semakin kuat. Ramai yang percaya mereka adalah ‘perfect match’ dan mahu melihat mereka muncul bersama dalam lebih banyak projek masa depan. Malah, sewaktu siaran langsung TikTok Live Drama Sangat bersama Dato’ Rosyam Nor dan Jazmy baru-baru ini, lebih 3,000 penonton serentak membanjiri ruangan komen dengan cadangan agar drama ini disambung ke musim kedua, bahkan ada yang mencetuskan idea khas “HDR Raya Special”.
Daripada gelaran ‘golden couple drama Malaysia’ yang pernah disandang Anna Jobling dan Meerqeen, kini baton populariti itu nyata berpindah ke tangan Jazmy dan Tracie. Dengan keserasian semula jadi, sokongan peminat antarabangsa serta pengaruh besar di media sosial, mereka bukan sekadar pasangan drama, malah ikon baharu industri hiburan tempatan.
Dengan hanya tiga episod berbaki, penonton pastinya tidak mahu melepaskan kemuncak penuh emosi dalam Hilang Dalam Rindu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Bagi yang mahu merasai debaran lebih awal, episod terbaharu boleh distrim 24 jam lebih cepat menerusi Tonton di www.tonton.com.my.
