Category: Music

  • INSOMNIACKS BAKAL GEGARKAN ZEPP KL DENGAN KONSERT SOLO PERTAMA – ‘ECHOES OF A DREAM’

    INSOMNIACKS BAKAL GEGARKAN ZEPP KL DENGAN KONSERT SOLO PERTAMA – ‘ECHOES OF A DREAM’

    Harga tiket paling mampu milik dalam sejarah Zepp KL – tanda penghargaan buat peminat setia

    Selepas sedekad mewarnai industri muzik tempatan dengan karya-karya yang menyentuh jiwa dan menjadi siulan ramai, kumpulan Insomniacks akhirnya bakal merealisasikan impian terbesar mereka — konsert solo pertama bertajuk Insomniacks: Echoes Of A Dream yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

    Dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia, konsert ini menjanjikan pengalaman luar biasa buat peminat setia yang telah menemani perjalanan muzik Insomniacks sejak mula bertapak pada tahun 2015.

    Dianggotai oleh Syed Mir Iqbal (Iqie) selaku vokalis, Wan Arif Iskandar (bes) dan Danial Lee Hashim (gitar), Insomniacks bukanlah nama asing dalam arena muzik moden malah populariti mereka telah merentasi sempadan negara hingga ke Indonesia, Singapura dan Brunei.

    Dikenali dengan lagu-lagu hits seperti Pulang, Reminisensi, Sempurna dan Igauan Malam, Insomniacks terus mengukuhkan nama mereka menerusi kolaborasi seperti Cerita Kita bersama Nabila Razali, serta lagu Belum Mulai bersama Nabila Taqiyyah dari Indonesia yang memenangi Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.

    Menurut Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi simbol kejayaan dan perjalanan Insomniacks yang dibina atas sokongan para peminat yang setia.

    “Konsert ini adalah lambang perjuangan dan impian yang direalisasikan. Lebih istimewa, harga tiket kami tawarkan pada kadar paling mampu milik yang pernah dicatatkan di Zepp KL sebagai penghargaan buat peminat yang menjadi tulang belakang Insomniacks selama ini,” katanya.

    Harga tiket Insomniacks: Echoes Of A Dream bermula serendah RM138 untuk zon berdiri (Maniacks), diikuti RM168 (Sempurna, tempat duduk), RM228 (Reminisensi, tempat duduk), dan RM6,888 untuk VIP Box Pulang yang eksklusif.

    Tiket mula dijual pada 5 Mei 2025 menerusi platform Ticketmelon. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi hello@sahentertainment.com.

    Dari YouTube ke pentas Zepp KL, dari mimpi ke realiti konsert ini bakal mencipta sejarah buat Insomniacks dan peminatnya. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik magis ini.

  • KRU Kembali Gegarkan Dunia Muzik Dengan Album ‘Kaset’ Selepas 7 Tahun

    Selepas tujuh tahun mendiamkan diri, kumpulan pop legenda, KRU, kembali mencipta sensasi apabila melancarkan album terbaru mereka berjudul Kaset. Kembali bersatu sebagai trio ikonik, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim tampil penuh semangat untuk menghadiahkan karya ini kepada para peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong mereka sejak awal perjalanan seni.

    Menurut Norman, perasaan teruja sukar digambarkan, apatah lagi apabila dapat bertemu semula dengan peminat semasa acara pra-dengar lagu baru-baru ini. “Saya boleh cam wajah-wajah yang hadir sewaktu pelancaran album Canggih pada tahun 1992, dan mereka masih setia bersama kami hari ini. Album Kaset ini adalah dedikasi khas buat semua peminat yang tidak pernah berpaling,” katanya penuh terharu.

    Yusry pula berkongsi tentang pengalaman unik membangunkan Kaset dalam era moden. Meskipun berdepan cabaran menyatukan jadual mereka sebagai ‘orang besar’ dalam bidang masing-masing, semangat kekeluargaan tetap mengatasi segalanya. “Semua lagu dalam album ini cukup kuat untuk dijadikan single. Setiap satu membawa elemen nostalgia yang mengimbau zaman remaja, terutamanya lagu Remaja Selamanya,” jelas Yusry.

    Lebih menarik, Kaset bukan sahaja dipasarkan secara digital, tetapi juga dalam format fizikal seperti cakera padat dan Vinyl. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah KRU selama 33 tahun, mereka melancarkan album dalam bentuk Vinyl, yang boleh didapati melalui pre-order eksklusif. “Pegang album fizikal itu satu kepuasan mutlak buat kami sebagai pengkarya. Rasanya tidak lengkap jika hanya ada secara digital,” kata Edry dengan penuh bangga.

    Kaset memuatkan 10 buah lagu segar termasuk Hambadansa, One More Time, Remaja Selamanya, GOAT, Selamat Hari Lahir, Voodoo, Sampai Sini Saja, High Maintenance, Ciptaan Sempurna dan Agung. Album ini diterbitkan menerusi kerjasama bersama Sony Music Entertainment, menandakan era baru buat KRU dalam dunia muzik moden.

    Peminat boleh mendapatkan album penuh Kaset di semua platform digital bermula 25 April ini. Bagi yang inginkan sentuhan klasik, pastikan anda rebutkan edisi fizikal terhad yang akan menjadi koleksi berharga buat penggemar muzik tanah air.

    Dalam perkembangan lain, KRU turut bersiap sedia menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil menerusi konsert genKRU yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 3 Mei ini. Pastinya, ini peluang emas untuk menyaksikan keajaiban KRU di pentas sekali lagi!

  • Miri Gegar Dua Kali! Konsert MeleTOP TVS & Berkat Gawai-Kaamatan Bakal Hangatkan Mei Ini!

    Miri Gegar Dua Kali! Konsert MeleTOP TVS & Berkat Gawai-Kaamatan Bakal Hangatkan Mei Ini!

    Bersedia untuk Mei paling gempak di Bumi Kenyalang! Bandaraya Miri bakal menjadi pusat tumpuan apabila dua konsert mega – Konsert MeleTOP TVS dan Konsert Berkat Gawai-Kaamatan – menggegarkan Sarawak dengan barisan artis tersohor, hiburan berkelas dunia dan yang paling penting, kemasukan adalah percuma!

    Dibawakan oleh TVS dengan kerjasama Astro dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, dua konsert ini menjadi lambang kolaborasi luar biasa antara dua gergasi media hiburan negara. Inilah momen kebangkitan industri kreatif di utara Sarawak, menjadikan Miri sebagai pentas utama!

    Konsert MeleTOP TVS – 17 Mei 2025 | Stadium Tertutup Miri

    Disokong oleh U Mobile, konsert ini bakal menghimpunkan bintang-bintang paling hangat di Malaysia seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi. Mereka bakal menggamatkan pentas dengan gabungan aura pop kontemporari dan elemen budaya Borneo yang pasti memukau!

    Lebih menarik, rakaman khas program MeleTOP juga akan diadakan di lokasi yang sama pada 18 Mei 2025 – satu detik bersejarah kerana ini kali pertama MeleTOP keluar dari Lembah Klang!

    Siaran langsung konsert ini boleh ditonton di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro ONE dan Sooka.

    Konsert Berkat Gawai-Kaamatan – 21 Mei 2025 | 7:30 malam

    Ella, Ratu Rock Negara, akan memimpin malam penuh budaya ini bersama barisan bintang seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan tetamu khas dari Kalimantan, Marina Jara. Konsert ini meraikan semangat Gawai dan Kaamatan yang menyatukan Sarawak, Sabah dan Kalimantan menerusi muzik dan persembahan tradisional.

    Tak sempat hadir? Jangan risau! Saksikan siaran istimewa konsert ini pada 31 Mei 2025, jam 9 malam di TVS.

    Miri – Destinasi Strategik Untuk Perayaan Spektakular

    Menurut Mohamad Sardon Zainal, Pemangku CEO TVS, pemilihan Miri adalah tepat: “Miri merupakan pintu masuk strategik ke utara Sarawak, dengan kedudukannya yang berhampiran Brunei, Sabah dan Kalimantan – sangat sesuai untuk sambutan berskala besar.”

    Elyna Rahmat dari Astro turut menambah: “Kami sudah rancang sejak tahun lalu – ini adalah bukti bahawa muzik mampu menyatukan pelbagai budaya dan generasi.”

    Tiket Percuma – Tapi Terhad! Rebut Peluang Ini Sekarang!

    Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menyaksikan dua konsert mega dengan kemasukan percuma! Nikmati hiburan bertaraf antarabangsa, suasana meriah dan pengalaman budaya yang tak ternilai – semuanya di Miri!

    Dapatkan tiket anda sekarang di: www.tvsarawak.my/kejutan-tvs
    Tandakan kalendar anda: 17 Mei & 21 Mei 2025
    Lokasi: Stadium Tertutup Miri

    Ayuh Miri, bersedia untuk bergegar dengan hiburan, budaya dan perpaduan!

  • Simfoni Emosi: Karya Tulus Andi Rianto dari Hati ke Hati

    Simfoni Emosi: Karya Tulus Andi Rianto dari Hati ke Hati

    Apa akan terjadi apabila seorang komposer mencurahkan isi hati dan jiwanya ke dalam setiap nota dan melodi? Jawapannya terzahir dalam album terbaru Andi Rianto, Symphony from the Heart, sebuah karya emosional yang lahir dari kejujuran, pengalaman hidup, dan cinta terhadap muzik.

    Diterbitkan oleh Universal Music Indonesia, album ini menjadi nadi sebenar buat Andi Rianto — bukan sekadar koleksi lagu, tetapi cerminan siapa beliau sebenarnya. “Album ini menggambarkan genre muzik saya dan seluruh perjalanan saya sebagai komposer. Jika ingin mengenali siapa Andi Rianto, album inilah jawapannya,” luah beliau dengan penuh makna.

    Symphony from the Heart memuatkan 11 lagu menyentuh jiwa, termasuk 9 lagu hits kegemaran ramai seperti Bahasa Kalbu, Sang Dewi, dan Mengejar Matahari, serta dua karya baharu yang menjadi tumpuan — Sampai Di Sini (bersama Rony Parulian) dan Kau Selalu Di Hati (berkolaborasi bersama Lyodra dan Rony).

    Menurut Andi, pemilihan Lyodra dan Rony bukanlah sesuatu yang asing kerana mereka telah berkali-kali bekerjasama dalam pelbagai projek sebelum ini. “Chemistry kami sudah terbina kukuh, jadi proses kreatif juga jadi lebih alami,” kata Andi. Menariknya, kedua-dua penyanyi ini turut menyumbang idea dan lirik secara langsung, menghasilkan hasil akhir yang tulus dan penuh harmoni.

    Cabaran sebenar bagi Andi Rianto bukan hanya pada ciptaan lagu baharu, tetapi menyatukan pelbagai karya dalam satu album dengan konsistensi emosi dan mutu yang tinggi. Namun, dengan pengalaman dan semangat yang tidak pernah luntur, beliau akhirnya berjaya merealisasikan impian besarnya — menghasilkan sebuah album yang tidak hanya didengar, tetapi dirasai.

    Salah satu karya paling menonjol ialah Kau Selalu Di Hati, sebuah balada cinta megah yang membawa pendengar mengembara dalam simfoni perasaan. Disusun secara mewah dengan iringan string dari Budapest Scoring Orchestra, lagu ini disempurnakan dengan vokal penuh emosi dan rakaman muzik video berlatar belakang struktur klasik ala Eropah, menjadikannya bukan sekadar lagu, tetapi sebuah pengalaman sinematik.

    Walaupun video muzik itu kelihatan romantis dan dramatik, Andi sempat berkongsi sisi lucu di sebalik tabir. “Sebenarnya banyak momen kelakar berlaku sepanjang penggambaran, tapi itulah yang menjadikan kerja bersama Lyodra dan Rony sangat menyeronokkan,” katanya sambil tersenyum.

    Melalui Symphony from the Heart, Andi Rianto tidak hanya mahu berkongsi muzik, tetapi juga mesej kejujuran dalam berkarya. “Saya berharap setiap lagu dalam album ini akan menyentuh hati pendengar, menjadi peringatan bahawa seni yang hebat lahir dari keikhlasan dan cinta terhadap apa yang kita lakukan,” tambahnya.

    Album ini bukan hanya tentang muzik ia adalah legasi, kenangan, dan ungkapan hati seorang komposer yang telah mewarnai industri muzik Indonesia selama lebih dua dekad.

  • Rika Riana Taruh Harapan Besar Dalam “Harus Begini Jadinya” – Sebuah Lagu Tentang Melepaskan Dengan Reda

    Rika Riana Taruh Harapan Besar Dalam “Harus Begini Jadinya” – Sebuah Lagu Tentang Melepaskan Dengan Reda

    Bukan mudah untuk menyalurkan rasa kehilangan dalam bentuk lagu, apatah lagi bila setiap bait lirik perlu dilantunkan dengan emosi yang jujur. Itulah cabaran utama yang dilalui oleh penyanyi berbakat besar, Rika Riana, dalam proses merakamkan single terbarunya, Harus Begini Jadinya.

    Berusia 25 tahun dan berasal dari Keningau, Sabah, Rika mengakui lagu ini menyentuh satu sisi dirinya yang paling rapuh sebuah perasaan reda terhadap kehilangan yang tak dapat dihindari.

    “Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia menggambarkan bagaimana kita akhirnya perlu melepaskan sesuatu yang bukan milik kita, walau sekuat mana kita cuba mempertahankan,” kata Rika penuh penghayatan.

    Lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal, Ajai, ini membawa mesej universal tentang cinta dan kehilangan. Dengan kekuatan melodi dan lirik yang penuh makna, naskhah ini segera menarik minat Rika untuk menjadikannya lagu pilihannya.

    Impian Bersama Ajai Jadi Kenyataan

    Screenshot

    Pernah menjadi peserta Mentor Milenia 2019, Rika mengakui bahawa berpeluang bekerjasama dengan Ajai adalah antara impian terbesarnya dalam dunia seni.

    “Saya membesar dengan lagu-lagu ciptaan Abang Ajai. Akhirnya, dapat juga saya merasa pengalaman bekerja bersama beliau yang sangat profesional, teliti, dan tahu bagaimana menghidupkan emosi dalam lagu,” ujarnya.

    Rika turut menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai ‘kelas seni penghayatan’ yang mengajarnya banyak perkara, terutama dari segi penyampaian emosi yang tulus dan tepat.

    Visual MV Yang Sunyi Tapi Sarat Makna

    Tidak hanya pada rakaman lagu, muzik video untuk Harus Begini Jadinya juga menuntut pengorbanan apabila sesi penggambaran terpaksa diubah akibat cuaca yang tidak menentu. Daripada lokasi luar, produksi terpaksa memilih ruang dalaman seperti bilik dan ruang tamu — namun bagi Rika, perubahan itu membawa keindahan tersendiri.

    “Visual yang sunyi dan sederhana itu seiring dengan rasa kehilangan. Setiap babak dirakam untuk menunjukkan kekosongan yang perlahan-lahan diterima oleh hati,” jelasnya.

    Harapan dan Permulaan Baharu di Tahun 2025

    Dengan pelancaran rasmi lagu ini pada 18 April di semua platform digital, dan muzik videonya yang boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music, Rika menaruh harapan tinggi agar Harus Begini Jadinya menjadi pemangkin kepada lembaran baharu dalam karier seninya.

    “Saya percaya lagu ini akan menyentuh ramai hati pendengar. Kalau ia memberi kekuatan buat sesiapa yang sedang melepaskan, maka karya ini sudah pun mencapai maknanya,” tutup Rika penuh harapan.

    Lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.

  • SATU PESTA, LIMA RASA – MUSICA FEST BAKAL MENGGEGAR AXIATA ARENA DENGAN GABUNGAN PEMUZIK POPULAR INDONESIA!

    SATU PESTA, LIMA RASA – MUSICA FEST BAKAL MENGGEGAR AXIATA ARENA DENGAN GABUNGAN PEMUZIK POPULAR INDONESIA!

    SATU PESTA, LIMA RASA – Musica Fest bakal menggegar Kuala Lumpur dengan gabungan lima pemuzik hebat dari Indonesia yang bakal berkongsi pentas dalam satu malam yang penuh warna dan melodi. Acara yang dianjurkan oleh Shiraz Projects dengan kerjasama Musica ini akan berlangsung pada 16 November 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

    Barisan artis yang terlibat terdiri daripada Nidji, D’Masiv, Geisha, Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu. Gabungan antara kugiran popular dan solois muda berbakat ini menjanjikan persembahan penuh variasi yang bakal memuaskan selera muzik pelbagai generasi peminat.

    Menurut Shirazdeen Karim selaku pengasas Shiraz Projects, pemilihan barisan artis ini adalah satu kombinasi ideal yang mencerminkan konsep Musica Fest sebagai pesta yang meraikan pelbagai irama dan rentak. Dengan populariti berterusan serta permintaan tinggi daripada peminat di Malaysia, kehadiran nama-nama seperti Nidji, D’Masiv dan Geisha pastinya akan membangkitkan nostalgia. Sementara itu, kemunculan pertama Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu di pentas Malaysia menambah elemen segar dan dinamik dalam festival ini.

    Nidji turut menyuarakan keterujaan mereka untuk kembali ke pentas bersama rakan seperjuangan seperti D’Masiv dan Geisha, serta berkongsi pentas buat kali pertama dengan Shakira dan Steven. Bagi mereka, Musica Fest bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan kepada perjalanan muzik yang sentiasa berkembang dan disambut peminat di rantau ini.

    Peminat dijangka akan sama-sama menyanyikan lagu-lagu popular seperti Hapus Aku, Cinta Ini Membunuhku, Lumpuhkan Ingatanku, Benar Salah, Haunting dan banyak lagi dalam suasana penuh emosi dan semangat.

    Musica Fest akan diadakan pada 16 November 2025 bermula jam 7 malam di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Tiket-tiket boleh didapati mulai 23 April 2025, jam 10 pagi menerusi laman web www.myticket.asia dengan beberapa kategori iaitu Diamond berharga RM398, Platinum RM198, Gold RM158 dan Rockzone (Free Standing) RM188.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 03-86050196 atau hotline di talian 012-2560082. Ikuti juga perkembangan terkini di media sosial rasmi Shiraz Projects di Facebook dan Instagram.

    Musica Fest menjanjikan malam luar biasa untuk para pencinta muzik tanah air – jangan lepaskan peluang untuk turut serta meraikan detik bersejarah ini.

  • Pitahati Kembali Dengan ‘Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)’ – Lagu Santai, Sindiran Pedas!

    Pitahati Kembali Dengan ‘Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)’ – Lagu Santai, Sindiran Pedas!

    Kumpulan muzik tempatan berjiwa seni, Pitahati, tampil dengan karya terbaru mereka berjudul “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”, sebuah lagu yang mencuit hati tetapi menyengat dengan mesej kritikan sosial tajam. Lagu ini dilancarkan secara rasmi di bawah label Luncai Emas, dan menyaksikan gabungan mantap antara humor dan komentar realiti semasa.

    Dicipta, ditulis lirik dan diproduksi sepenuhnya oleh Pitahati sendiri, karya ini turut menampilkan Husyairi Hamzah sebagai penerbit bersama. Proses rakaman, adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Mokhtar, memberikan sentuhan kemas kepada karya yang penuh warna ini.

    Menurut vokalis Ilham, lagu ini membawa mesej sinis terhadap individu yang terlalu selesa dengan kuasa dan merasa seolah-olah segalanya milik mereka. “Ana Yang Punya bukan ditujukan kepada sesiapa secara langsung, tapi kami harap ia jadi ‘wake-up call’ kepada sesiapa yang terlupa diri. Tapi kita sampaikan dalam nada santai supaya senang hadam, tapi tetap kena.”

    Lagu ini turut menyuntik elemen muzik klasik yang mengingatkan kepada karya The Doors seperti “Riders on the Storm”, walaupun mereka menegaskan ia bukan inspirasi utama. “Bunyi macam klasik tu mungkin satu kebetulan. Tapi kami memang suka ambil pendekatan eksperimental dengan gaya lama,” kata Hidayat, gitaris kumpulan.

    Berbanding dengan karya-karya terdahulu Pitahati yang sering bersifat abstrak dan penuh falsafah, “Ana Yang Punya” lebih bersahaja, santai dan dalam kata mereka sendiri lebih lucu. “Kami pun makin tua dan makin kelakar kot!” seloroh Masrin, pemain bass, sambil menjelaskan bahawa mereka mahu muzik mereka jadi lebih ringan tanpa mengorbankan mutu.

    Sebagai pembuka tirai kepada album terbaru yang bakal dilancarkan, “Ana Yang Punya” dipilih sebagai single pertama kerana sifatnya yang mencerminkan sisi baharu kumpulan it ringan, tetapi tetap berisi. “Kami mahu pendengar rasa seronok, sambil fikir-fikir balik siapa yang suka ‘claim’ semua benda tu dia punya?” tambah Ilham sambil tersenyum.

    “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)” kini boleh distrim di semua platform digital utama. Visualizer rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Pitahati.

    Untuk maklumat dan perkembangan terkini tentang album baharu mereka, ikuti Pitahati di media sosial. Mereka janji lebih banyak kejutan bakal tiba!

  • Dari Diam ke Dentuman: Diana Danielle Tampil Berani dengan ‘Raja Dusta’

    Dari Diam ke Dentuman: Diana Danielle Tampil Berani dengan ‘Raja Dusta’

    Selepas dua tahun menyepi dari dunia muzik, penyanyi dan pelakon versatil, Diana Danielle, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Raja Dusta”. Lagu yang sarat dengan keberanian dan sindiran sinis ini membawa mesej mendalam tentang pembebasan diri daripada hubungan toksik dan manipulatif.

    Menurut Diana, karya ini terinspirasi daripada realiti yang dihadapi ramai wanita sering terperangkap dalam budaya misoginis yang menyebabkan penderitaan secara senyap. Dengan rentak rancak dan lirik yang tajam, “Raja Dusta” menjadi ruang untuk wanita (dan juga lelaki) meraikan kekuatan serta keberanian mereka selepas melepasi fasa hubungan yang tidak sihat.

    Diana turut menegaskan bahawa walaupun lagu ini digarap dari perspektif seorang wanita, mesejnya bersifat universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja. Ia bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus, sebaliknya sebagai peringatan kepada semua agar tidak mudah percaya kepada kata-kata manis jika tindakan tidak selari dengan janji.

    Lebih menarik, proses rakaman lagu ini menjadi pengalaman baharu buat Diana apabila beliau bekerjasama buat pertama kalinya dengan penerbit tersohor, John Jeeves. Meskipun awalnya berasa sedikit kekok kerana sudah lama tidak mengeluarkan lagu baharu, Diana mengakui sokongan padu daripada pasukannya termasuk Universal Music, kru produksi, serta para penari memberi keyakinan semula untuk kembali aktif dalam dunia muzik.

    Muzik video “Raja Dusta” turut mencerminkan semangat kebebasan yang ingin disampaikan Diana. Dengan penggambaran yang melibatkan pelbagai lokasi menarik dan elemen tarian bertenaga di Palm Garden Hotel, Putrajaya, Diana menyifatkan pengalaman tersebut sebagai mencabar namun amat menyeronokkan dan membuka ruang untuk keluar dari zon selesanya.

    Bagi Diana, lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia juga merupakan suara kepada mereka yang pernah atau sedang melalui detik sukar dalam hubungan, agar terus kuat dan menghargai keberanian diri. Beliau berharap lagu ini dapat menjadi teman semasa memandu, ketika bersantai atau bahkan saat mandi — sebagai simbol meraikan kebebasan dan penyembuhan diri.

    Single “Raja Dusta” kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox bermula 18 April 2025. Muzik videonya pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Diana Danielle. Saksikan sendiri sisi baharu Diana berani, lantang dan menginspirasikan ramai dalam karya yang penuh dengan semangat serta kejujuran ini.

  • Kolaborasi Pertama Yang Menjadi – Ayu Damit & Emeer Bakri Dalam OST ‘Cukup Kita’

    Kolaborasi Pertama Yang Menjadi – Ayu Damit & Emeer Bakri Dalam OST ‘Cukup Kita’

    Ada waktunya, cinta sahaja tak cukup untuk mempertahankan sebuah hubungan. Bila kepercayaan mula pudar dan janji tinggal janji, mungkin yang tinggal hanyalah perpisahan. Itulah kisah yang disampaikan penuh emosi dalam lagu Cukup Kita, hasil duet dua vokalis berbakat, Ayu Damit dan Emeer Bakri, yang kini menjadi lagu runut bunyi rasmi untuk drama popular slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.

    Lagu ini bukan sekadar sebuah balada cinta biasa. Ia adalah refleksi kepada luka yang mendalam, khusus buat mereka yang pernah merasa kecewa dalam hubungan. Dengan susunan muzik balada moden, elemen string sinematik, dan harmoni vokal yang menusuk jiwa, Cukup Kita memberikan pengalaman mendengar yang sangat mendalam — bagaikan mendengar luahan hati sendiri.

    Menurut pencipta lagu dan penulis liriknya, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, inspirasi asal lagu ini datang ketika mereka sedang mendengar lagu-lagu pop balada Inggeris. Genre tersebut, menurut mereka, jarang diketengahkan di Malaysia, dan mereka mahu membawa sesuatu yang segar, tetapi masih dekat di hati pendengar tempatan. Hasilnya: sebuah lagu dengan nuansa moden dan sedikit suntikan rock di bahagian bridge.

    “Lagu ini sebenarnya agak mencabar tetapi sangat menyeronokkan untuk dicipta. Yang paling bermakna ialah peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ayu. Suaranya cukup ikonik, dan saya belajar banyak daripada proses ini,” kongsi Emeer Bakri yang turut mencipta melodi bersama Amsyar Sabri. Proses demo mengambil masa sehari, dan keseluruhan lagu siap dalam dua minggu.

    Bagi Ayu Damit pula, ini adalah single keempat beliau di bawah label Alternate Records, dan kerjasama dengan Emeer disifatkan sebagai satu padanan yang sempurna. “Lagu ni memang sangat menyentuh jiwa. Emeer seorang artis yang sangat berbakat dan senang dibawa bekerjasama. Vokal kami saling melengkapi, dan hasilnya adalah lagu yang bukan sahaja enak didengar, tapi penuh makna dan mudah diingati,” katanya yang menyempurnakan sesi rakaman dalam dua hari.

    Drama Calon Isteri Buat Suami yang mula bersiaran sejak 8 April lalu sudah pun mula mencuri tumpuan ramai dengan naratif konflik cinta yang kompleks. Menariknya, beberapa bait lirik lagu Cukup Kita sebenarnya diinspirasikan daripada watak-watak dan konflik dalam drama tersebut — menjadikan lagu ini bukan hanya pelengkap, tetapi seakan suara latar kepada kisah cinta Nazim dan Haizi.

    Bagi peminat muzik dan drama tempatan, Cukup Kita adalah satu kombinasi padu antara kisah, emosi dan kekuatan vokal. Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

    Jangan ketinggalan untuk terus mengikuti drama Calon Isteri Buat Suami yang menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma dan Trisha Ooi, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3.

    Untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai lagu Cukup Kita, drama Calon Isteri Buat Suami, serta artis-artis di bawah naungan Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi mereka di Facebook melalui Alternate Records & Talents. Selain itu, ikuti juga akaun Instagram mereka di @alternate.my_ dan TikTok di @alternate.rt_ untuk konten eksklusif di sebalik tabir, video muzik, serta pelbagai aktiviti menarik yang akan datang.

  • ‘Kekal yang Sementara’: Suara Jujur Nabila Taqiyyah Tentang Cinta dan Kehilangan

    ‘Kekal yang Sementara’: Suara Jujur Nabila Taqiyyah Tentang Cinta dan Kehilangan

    Penantian yang telah lama dinantikan akhirnya tiba. Nabila Taqiyyah, penyanyi muda berbakat dari Indonesia yang sebelum ini telah menghasilkan beberapa buah single, secara rasmi melancarkan album sulungnya yang bertajuk “Kekal Yang Sementara” di bawah label Universal Music Indonesia.

    Menurut Nabila, mengeluarkan album sendiri merupakan impian yang telah lama dipegangnya. Bagi seorang penyanyi atau pemuzik, memiliki sebuah album merupakan satu pencapaian yang besar dan bermakna. Nabila menyifatkan proses menghasilkan album ini sebagai sebuah pengalaman luar biasa dan satu tonggak penting dalam kerjayanya sebagai anak seni.

    Album “Kekal Yang Sementara” menampilkan lapan buah lagu yang membawa pendengar menyusuri pelbagai rasa dan emosi. Dua daripada lagu tersebut iaitu “Ku Ingin Pisah” dan “Terpisah Terluka” telah diperkenalkan sebelum ini dalam bentuk single, manakala enam lagi merupakan lagu baharu termasuk “Pengagum Rahasia”, “Menikmati Kebohongan”, “Salah Sangka”, “Sementara Bukan Selamanya”, “Cinta Sia-Sia”, serta trek fokus album ini, “Berjalan Tanpamu”.

    Apa yang menarik, Nabila bukan sekadar menyampaikan lagu-lagu dalam album ini, malah turut terlibat secara langsung dalam penulisan lirik beberapa lagu, termasuk “Pengagum Rahasia”, “Menikmati Kebohongan”, dan “Sementara Bukan Selamanya”. Ini memberi sentuhan yang lebih peribadi dan mendalam kepada keseluruhan karya dalam album ini.

    Album ini berteraskan genre pop dan membawa tema utama tentang perasaan jatuh cinta, kecewa, perpisahan serta kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan. Ia merupakan refleksi kepada pengalaman peribadi Nabila dalam menghadapi fasa putus cinta buat pertama kali. Dalam kenyataannya, Nabila menyifatkan album ini sebagai satu bentuk validasi terhadap perasaan yang sering dialami oleh ramai orang, tanpa mengira usia atau latar belakang. Ia merangkumkan emosi yang dialami oleh remaja, dewasa mahupun orang tua.

    Tajuk album “Kekal Yang Sementara” mungkin kedengaran seolah-olah bercanggah, namun sebenarnya membawa maksud yang cukup mendalam. Ia menggambarkan bahawa walaupun kebersamaan dengan seseorang itu mungkin bersifat sementara, perasaan dan kenangan yang ditinggalkan boleh kekal selamanya dalam hati.

    Single utama dalam album ini, “Berjalan Tanpamu”, pula merupakan sebuah lagu yang merangkumi perasaan kehilangan dan redha terhadap cinta yang tidak kesampaian. Lagu ini ditulis oleh Caturadi Septembrianto dan diproduksi oleh S/EEK. Dengan susunan muzik yang minimalis, lagu ini berjaya menyampaikan kesedihan dan kerinduan dalam bentuk yang sangat menyentuh hati dan penuh emosi.

    Keseluruhan album ini menjadi satu pakej yang lengkap untuk sebuah naskhah cinta. Ia penuh dengan kesedihan, namun masih menyelitkan harapan dan sudut pandang yang positif. Nabila berharap agar lagu-lagu dalam album ini dapat menyedarkan para pendengar bahawa rasa kecewa, sedih, dan marah adalah emosi yang normal apabila seseorang melalui perpisahan. Namun begitu, hidup tidak seharusnya berhenti di situ.

    Menurut Nabila lagi, masih banyak hal-hal positif lain dalam hidup yang boleh menjadi fokus, dan itulah mesej utama yang ingin disampaikan melalui album ini.

    Album “Kekal Yang Sementara” kini boleh didengarkan di semua platform digital pilihan anda. Ia merupakan sebuah karya yang sarat dengan emosi, namun cukup indah untuk dihayati dan difahami.

    Maklumat lanjut tentang Nabila Taqiyyah boleh didapati di akaun rasmi beliau:

    Instagram: https://www.instagram.com/nabilataqiyyah/
    TikTok: https://www.tiktok.com/@nabilataqiyyah_
    YouTube: https://www.youtube.com/@NabilaTaqiyyah
    X (Twitter): https://x.com/Nabilataqiyyah_