Penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop tanah air, Cat Farish, tampil dengan wajah baharu melalui alter ego yang dinamakan Si Penghulu. Di bawah persona ini, beliau hadir dengan single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah, sebuah karya yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta identiti bahasa dan budaya rakyat Perak. Lagu ini ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal, dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana, serta diterbit dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd yang turut memegang hakcipta penuh lagu dan lirik tersebut.
Jandanyer Yeah Yeah bukan sekadar sebuah lagu hiburan. Ia merupakan penghormatan buat semua wanita bergelar janda yang bangkit dengan keyakinan untuk memperbaiki diri. Dalam nada bersahaja dan penuh jenaka berlapik, watak Si Penghulu menyampaikan kisah janda yang kembali menjadi rebutan, bukan kerana rupa semata-mata, tetapi kerana keazaman dan keanggunan selepas melalui perpisahan. Cat Farish menjelaskan bahawa lagu ini dicipta untuk memberikan semangat kepada golongan wanita tersebut agar terus melangkah dengan lebih kuat dan menjadikan pengalaman lalu sebagai titik kebangkitan.
Watak Si Penghulu sendiri tercetus ketika Cat Farish terlibat dalam kolaborasi lagu Ok ciptaan Malique. Dari situ, persona ini dikembangkan sebagai wadah untuk menyampaikan karya hip hop dengan sentuhan bahasa serta budaya tempatan. Dengan lenggok loghat Perak dan gaya rakyat moden, Si Penghulu hadir sebagai suara masyarakat dalam bentuk yang segar dan bersahaja. Proses penghasilan lagu ini turut mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Shikin Maembong, yang menjadi inspirasi penting di sebalik perjalanan kreatif projek ini.
Walaupun proses rakaman hanya diselesaikan baru-baru ini, idea dan konsep Jandanyer Yeah Yeah telah mengambil masa lebih dua tahun untuk dimuktamadkan. Cat Farish menjelaskan bahawa lagu ini sudah lama wujud, namun lirik serta gaya penyampaiannya memerlukan masa untuk benar-benar tepat dengan mesej yang ingin disampaikan.
Dengan pelancaran rasmi pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital serta saluran YouTube Luncai Emas, Si Penghulu memperkenalkan dirinya sebagai figura hip hop dari Kampung Sri Kintadi di bawah naungan Luncai Emas. Kehadiran single ini dijangka membuka lembaran baharu untuk genre rakyat urban dalam industri muzik tempatan, sekaligus menandakan fasa segar dalam perjalanan seni Cat Farish.
