Cat Farish Eksperimen Dengan Alter Ego ‘Si Penghulu’ Dalam Single Terbaru

Cat Farish, penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop tanah air, kini muncul dengan wajah baharu melalui alter ego yang diberi nama Si Penghulu. Dalam persona ini, beliau mempersembahkan single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah, sebuah karya yang unik menggabungkan elemen hip hop, afrobeat dan identiti bahasa serta budaya rakyat Perak. Lagu ini ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal, dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana, serta diterbitkan dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd yang juga memegang hak cipta bagi lagu dan lirik tersebut.

Jandanyer Yeah Yeah bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghormatan kepada semua wanita bergelar janda yang bangkit dengan keyakinan dan semangat memperbaiki diri. Dalam nada bersahaja dan jenaka berlapik, Si Penghulu menyampaikan kisah tentang janda yang menjadi rebutan kembali bukan kerana rupa, tetapi kerana keazaman dan keanggunan selepas perpisahan. Cat Farish menyatakan bahawa lagu ini ditujukan untuk memberi semangat kepada wanita-wanita yang bangkit, bersiap, dan membuat lelaki menyesal kerana meninggalkan mereka.

Watak Si Penghulu lahir ketika sesi kolaborasi lagu Ok ciptaan Malique, dan sejak itu dikembangkan sebagai wadah bagi Cat Farish untuk menyalurkan karya hip hop dengan unsur bahasa dan budaya tempatan. Dengan lenggok loghat Perak dan gaya penyampaian rakyat moden, Si Penghulu tampil sebagai suara masyarakat dalam bentuk yang segar dan bersahaja. Projek ini turut mendapat sokongan daripada isteri beliau, Shikin Maembong, yang menjadi inspirasi di sebalik perjalanan kreatif ini.

Walaupun rakaman lagu ini baru sahaja selesai, konsep dan idea Jandanyer Yeah Yeah telah melalui proses lebih dua tahun sebelum dimuktamadkan. Cat Farish menjelaskan bahawa lagu ini sudah lama wujud, tetapi lirik dan cara penyampaian mengambil masa untuk disempurnakan. Pelancaran single ini menandakan kemunculan Si Penghulu sebagai figura hip hop Kampung Sri Kintadi di bawah naungan Luncai Emas, membuka lembaran baharu untuk genre rakyat urban dalam industri muzik tempatan.

Single Jandanyer Yeah Yeah dijadualkan rilis pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital rasmi dan saluran YouTube Luncai Emas. Diharapkan penerbitan karya terbaru ini akan mendapat sambutan hangat daripada pendengar dan perhatian meluas dari media.