Butterfingers Bawa Peminat Kembali Ke Era 90-an Menerusi Showcase 1.2 Milligrams

Written by

in

Bagi peminat muzik alternatif tempatan, album 1.2 Milligrams bukan sekadar naskhah pertama yang memperkenalkan Butterfingers kepada industri muzik, malah menjadi karya yang membentuk identiti sebuah generasi. Selepas 30 tahun menemani perjalanan hidup ramai pendengar, album ikonik yang diterbitkan pada 1996 itu bakal diraikan menerusi dua showcase eksklusif di Odeon KL Event Hall pada 8 dan 9 Ogos 2026.

Kemunculan 1.2 Milligrams berlaku ketika muzik grunge dan punk sedang berkembang pesat di seluruh dunia. Butterfingers menyerap pengaruh tersebut, namun tetap mengekalkan identiti mereka sendiri dengan menghasilkan lagu-lagu yang bukan sahaja sarat dengan bunyi gitar bertenaga, malah mempunyai melodi yang kekal dekat di hati pendengar. Pendekatan itu menjadikan album berkenaan terus dikenang sebagai antara karya penting dalam sejarah muzik alternatif Malaysia.

Istimewanya sambutan ulang tahun kali ini, Butterfingers akan mempersembahkan keseluruhan lagu daripada album 1.2 Milligrams secara langsung buat peminat. Persembahan itu turut diserikan dengan beberapa rakaman demo yang belum pernah dipersembahkan di pentas sebelum ini, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka yang mengikuti perjalanan kumpulan tersebut sejak awal penubuhannya.

Dua showcase diadakan bagi memastikan lebih ramai peminat dapat bersama-sama meraikan detik bersejarah ini. Selain menghargai penyokong setia yang telah mengikuti Butterfingers selama tiga dekad, persembahan tersebut juga membuka ruang kepada generasi muda yang baru mengenali muzik mereka. Kumpulan itu mahu setiap penonton merasai pengalaman menikmati lagu-lagu ini dalam suasana yang lebih intim, tanpa jurang antara artis dan peminat.

Selepas menghasilkan beberapa produksi berskala besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23 dan Peristiwa Angkasa Jio, Butterfingers merasakan sudah tiba masanya untuk kembali kepada suasana persembahan yang lebih sederhana. Mereka mahu menghidupkan semula pengalaman gig seperti ketika memulakan perjalanan muzik sekitar tahun 1996, di mana fokus utama diberikan kepada muzik, interaksi dan tenaga yang dikongsi bersama penonton.

Pemilihan Odeon KL turut mempunyai makna tersendiri. Lokasinya yang berhampiran Kompleks Pertama mengimbau zaman kegemilangan budaya muzik fizikal, apabila anak-anak muda sanggup menghabiskan masa mencari kaset dan album kegemaran serta mengenali kumpulan alternatif tempatan. Bagi Butterfingers, kembali ke kawasan tersebut ibarat menelusuri semula titik permulaan perjalanan mereka dan generasi yang membesar bersama muzik rock tempatan.

Menurut Emmett, sambutan ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar mengimbau kenangan lama, tetapi memberi peluang kepada peminat merasai kembali suasana era 90-an yang penuh dengan semangat dan kejujuran dalam berkarya. Beliau berkata persembahan itu juga akan menampilkan beberapa lagu demo yang jarang didengari, menjadikan showcase tersebut lebih eksklusif dan sukar diulang pada masa akan datang.

Loque pula menyifatkan 1.2 Milligrams sebagai simbol permulaan kepada segala-galanya buat Butterfingers. Walaupun album itu sering dikaitkan dengan bunyi distortion dan semangat pemberontakan, beliau percaya kekuatan sebenar karya tersebut terletak pada melodi serta keikhlasan dalam penulisan lagu. Selepas tiga dekad, Butterfingers berharap showcase ini bukan sekadar menjadi sebuah konsert, tetapi sebuah pertemuan yang menghubungkan semula kenangan lama, memperkenalkan muzik mereka kepada generasi baharu dan membuktikan bahawa karya yang lahir dengan penuh kejujuran akan terus hidup merentasi zaman.