Nama Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada karya-karya cinta yang menyentuh jiwa. Kini, penyanyi, pelakon dan juri profesional yang dikasihi ramai ini bakal kembali ke pentas Malaysia menerusi sebuah konsert istimewa yang diberi judul “BCL: Eternal Love – Timeless Romance”, yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert ini dijangka menjadi salah satu persembahan paling beremosi tahun ini, mengangkat tema cinta abadi yang telah menjadi nadi kepada perjalanan seni BCL selama lebih dua dekad. Penganjuran kali ini dibawakan oleh Pulse Project Asia, sebuah entiti baharu dalam dunia acara hiburan, namun didukung oleh tenaga kerja berpengalaman luas dalam menganjurkan konsert-konsert berskala besar. Melalui konsert ini, Pulse Project Asia bukan sahaja ingin meraikan karier luar biasa BCL, tetapi juga menghadiahkan pengalaman eksklusif kepada para peminat yang setia menyokong.

“Eternal Love – Timeless Romance” dijanjikan sebagai sebuah malam yang penuh keindahan, menyulam emosi dan kenangan menerusi lagu-lagu cinta yang telah menemani ramai peminat selama ini. BCL bakal membawakan untaian lagu popular seperti Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau, Cinta Pertama (Sunny), 12 Tahun Terindah, serta Memulai Kembali, single terbaharu yang menerima sambutan hangat. Setiap persembahan akan disampaikan dalam suasana penuh intim, disokong pencahayaan dan produksi bertaraf dunia, menjadikan setiap detik dalam konsert ini sesuatu yang benar-benar istimewa.
Apa yang lebih menarik, konsert kali ini turut menyaksikan kehadiran dua nama besar tanah air sebagai artis undangan penyanyi bersuara mantap, Jaclyn Victor, serta pemain violin profesional terkenal, Dennis Lau. Kolaborasi ini dijangka menyuntik dimensi baharu dalam persembahan BCL dan mencipta pengalaman yang lebih berwarna buat para penonton.
Bagi BCL sendiri, penganjuran konsert ini adalah peluang untuk kembali mendekatkan diri dengan peminat Malaysia yang disifatkan sebagai antara penyokong terkuat sejak awal kariernya. Kuala Lumpur, bagi BCL, bukan sekadar lokasi konsert tetapi ibarat rumah kedua yang sentiasa menyambut hangat kehadirannya. Beliau ingin berbagi kasih dan menyampaikan rasa cinta yang selama ini menjadi inspirasi utama dalam setiap lagunya.
Tiket konsert telah mula dijual secara rasmi pada 6 Jun 2025 melalui platform rasmi Ticket2U. Harga bermula daripada RM259 untuk kategori pre-sale dan RM288 untuk harga biasa. Menyemarakkan lagi keterujaan, sebanyak 300 pembeli terawal berpeluang mendapatkan Pas Soundcheck Eksklusif, di mana mereka boleh menyaksikan sesi latihan BCL secara langsung sebelum konsert bermula.

Tidak cukup dengan itu, peminat juga boleh mendapatkan pakej Cinta Abadi, kategori eksklusif yang menggantikan VVIP. Pakej ini hadir dengan keistimewaan luar biasa termasuk sesi peribadi Meet & Greet bersama BCL, sesi fotografi kenangan, serta barangan eksklusif bertandatangan khas daripada BCL sendiri.
Konsert “BCL: Eternal Love – Timeless Romance” bukan sekadar sebuah acara hiburan, ia adalah sebuah perayaan cinta cinta kepada seni, cinta kepada peminat, dan cinta kepada perjalanan hidup yang telah dilalui bersama. Ia menjanjikan satu malam yang tidak akan dilupakan, bukan hanya kerana kehebatan vokal BCL atau keindahan pentasnya, tetapi kerana kehangatan emosi yang akan menyelubungi setiap lagu, setiap bait lirik, dan setiap momen yang dicipta di atas pentas.
Buat para peminat setia BCL, inilah peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam istimewa ini. Tempah tiket anda sekarang hanya di Ticket2U dan rasai sendiri keajaiban cinta yang akan mekar di Kuala Lumpur, 27 September nanti.
