Azlan Typewriter & Muzza Velvettones Warnai Blood Brothers Dengan “Bara Jiwa”

Lagu balada rock dramatik berjudul “Bara Jiwa”, hasil kolaborasi mantap antara Azlan Typewriter dan Muzza VELVETTONES, telah diumumkan secara rasmi sebagai lagu tema bagi filem aksi berprofil tinggi, Blood Brothers: Bara Naga. Filem arahan duo pengarah terkenal, Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon terkemuka seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, dan Amelia Henderson.

Filem ini membawa penonton menyelami dunia gelap pengawal peribadi elit, di mana persaudaraan diuji, pengkhianatan berleluasa, dan maruah menjadi taruhan. Lagu “Bara Jiwa” dengan lirik yang puitis dan melodi yang membara menyatu dengan nadi naratif filem ini, menjadikannya bukan sekadar lagu tema, tetapi suara batin watak-watak utama seperti Ariff (Syafiq Kyle) dan Ghaz (Sharnaaz Ahmad).

Menurut Azlan Typewriter, kolaborasi ini merupakan salah satu pengalaman paling menarik buatnya, apatah lagi setelah sekian lama tidak berduet dengan penyanyi lelaki. Muzza pula menegaskan bahawa “Bara Jiwa” dibina sepenuhnya berdasarkan skrip dan emosi filem, dengan elemen rock balada sinematik sebagai teras utama muzik.

Kini, “Bara Jiwa” sedang mencipta fenomena dengan lebih 2.4 juta tontonan di TikTok, selain tersedia di semua platform penstriman digital utama sejak 14 Mac 2025.