Tag: #BloodBrothersMY

  • Azlan Typewriter & Muzza Velvettones Warnai Blood Brothers Dengan “Bara Jiwa”

    Azlan Typewriter & Muzza Velvettones Warnai Blood Brothers Dengan “Bara Jiwa”

    Lagu balada rock dramatik berjudul “Bara Jiwa”, hasil kolaborasi mantap antara Azlan Typewriter dan Muzza VELVETTONES, telah diumumkan secara rasmi sebagai lagu tema bagi filem aksi berprofil tinggi, Blood Brothers: Bara Naga. Filem arahan duo pengarah terkenal, Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon terkemuka seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, dan Amelia Henderson.

    Filem ini membawa penonton menyelami dunia gelap pengawal peribadi elit, di mana persaudaraan diuji, pengkhianatan berleluasa, dan maruah menjadi taruhan. Lagu “Bara Jiwa” dengan lirik yang puitis dan melodi yang membara menyatu dengan nadi naratif filem ini, menjadikannya bukan sekadar lagu tema, tetapi suara batin watak-watak utama seperti Ariff (Syafiq Kyle) dan Ghaz (Sharnaaz Ahmad).

    Menurut Azlan Typewriter, kolaborasi ini merupakan salah satu pengalaman paling menarik buatnya, apatah lagi setelah sekian lama tidak berduet dengan penyanyi lelaki. Muzza pula menegaskan bahawa “Bara Jiwa” dibina sepenuhnya berdasarkan skrip dan emosi filem, dengan elemen rock balada sinematik sebagai teras utama muzik.

    Kini, “Bara Jiwa” sedang mencipta fenomena dengan lebih 2.4 juta tontonan di TikTok, selain tersedia di semua platform penstriman digital utama sejak 14 Mac 2025.

  • Bersedia Untuk Panasnya Bara Naga – Jelajah Bermula Hujung Minggu Ini!

    Bersedia Untuk Panasnya Bara Naga – Jelajah Bermula Hujung Minggu Ini!

    Selepas membuka tayangan dengan penuh gaya dan aksi mendebarkan, filem Blood Brothers: Bara Naga kini mengorak langkah seterusnya dengan mengadakan Jelajah Bara Naga yang akan menemui peminat di pawagam terpilih seluruh Malaysia sepanjang April ini! Diterajui oleh Primeworks Studios (PWS) dan Skop Productions, siri jelajah ini menjanjikan pengalaman eksklusif buat peminat untuk bertemu secara langsung dengan bintang-bintang utama filem aksi yang kini sedang hangat diperkatakan ini.

    Jelajah ini bakal bermula hujung minggu ini, dan antara lokasi terawal yang dipilih termasuklah Johor, Melaka dan Lembah Klang. Pada 12 April, para pelakon akan hadir di TGV Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru pada jam 12.30 tengah hari, dan kemudian ke GSC Paradigm Mall pada 3.30 petang. Seterusnya, mereka akan meneruskan misi promosi ke GSC Aeon Mall Bandaraya Melaka pada 13 April jam 12.30 tengah hari, sebelum ke TGV Central i-City, Shah Alam pada 5.30 petang.

    Antara pelakon yang bakal membuat kemunculan termasuklah Sharnaaz Ahmad, Syazwan Zulkifli, Syafiq Kyle, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, serta pengarah filem, Abhilash Chandra. Di Shah Alam pula, sesi jelajah akan turut disertai oleh Shukri Yahaya, Amelia Henderson, dan Zamarul Hisham, menjadikan ia satu acara yang tidak boleh dilepaskan!

    Lebih menarik lagi, peminat bukan sahaja berpeluang untuk menyertai sesi ramah mesra dalam panggung, malah pelbagai aktiviti interaktif serta barangan eksklusif turut menanti di kawasan concourse pusat beli-belah terlibat. Inilah peluang terbaik untuk mendekati wira dan srikandi dari dunia penuh aksi dan konflik persaudaraan!

    Dengan arahan mantap daripada Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga mengetengahkan kisah tentang kepercayaan, pengorbanan, dan ikatan persaudaraan dalam dunia jenayah yang penuh tipu daya. Aksi bertaraf antarabangsa dan jalan cerita penuh kejutan menjadikan filem ini antara yang paling dinanti-nantikan tahun ini.

    Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menjadi sebahagian daripada fenomena Bara Naga! Nantikan juga pengumuman lokasi-lokasi seterusnya yang akan diumumkan tidak lama lagi. Untuk info dan kemas kini terkini, ikuti laman rasmi media sosial Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.