Author: Helmi Aziz

  • Di Sebalik Populariti: Kisah Pengurus & Artis

    Di Sebalik Populariti: Kisah Pengurus & Artis

    Astro bakal mempersembahkan sebuah program realiti hiburan terbaharu yang segar dan unik berjudul Talk To My Manager. Menampilkan format pertandingan yang sarat dengan emosi dan mendebarkan, program ini menguji bakat, populariti, kepercayaan serta legasi sesebuah keluarga dalam pentas hiburan. Buat pertama kalinya, Talk To My Manager menggabungkan pasangan pengurus dan artis yang terdiri daripada ibu bapa selebriti bersama anak mereka sendiri. Anak-anak akan menjadi tumpuan utama sebagai penghibur, manakala ibu bapa selebriti akan berperanan sebagai pengurus yang mengemudi arah kreatif persembahan. Program ini bakal mula bersiaran pada 24 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan turut boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

    Fenomena generasi kedua dalam industri hiburan semakin ketara dengan kemunculan bakat baharu yang membawa perspektif segar sambil meneruskan legasi keluarga mereka yang terkenal. Fenomena ini merentasi pelbagai bidang seperti nyanyian, lakonan, komedi, tarian dan cabang seni kreatif lain, sekaligus menjadi inspirasi kepada penonton yang menghargai konsep warisan dalam seni persembahan. Menyedari potensi ini, Astro mengambil langkah memperkenalkan format yang bukan sahaja menonjolkan bakat baharu, tetapi turut meraikan bimbingan, pengorbanan dan impian bersama yang menjadi pemangkin kejayaan merentas generasi.

    Dalam setiap episod, pasangan selebriti dan anak mereka akan berhadapan pelbagai cabaran kreatif yang menguji kemahiran, daya tahan dan kerjasama unik yang hanya wujud dalam hubungan kekeluargaan. Musim ini akan menyaksikan penyertaan pasangan hebat seperti Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie, serta Liza Hanim & Marsya. Mereka akan mengasah bakat, mengatur strategi dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk memenangi gelaran pasangan pengurus dan artis terunggul Malaysia.

    Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Astro percaya pada kuasa legasi dalam membentuk landskap industri hiburan. Beliau menekankan bahawa program ini memberi peluang penonton untuk mengikuti perjalanan unik para peserta dengan lebih dekat, menyaksikan bagaimana ibu bapa yang berpengalaman membimbing anak mereka menghasilkan persembahan hebat setiap minggu. Penonton bakal disajikan dengan detik penuh emosi, cabaran kreatif dan persembahan memukau sehingga malam penobatan yang bakal menginspirasi generasi akan datang.

    Program ini akan dikendalikan oleh pengacara legenda, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama barisan juri ternama seperti Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal. Sistem penjurian Talk To My Manager adalah 100% berdasarkan pemarkahan juri profesional, dengan pecahan 60% untuk kecekapan, kreativiti dan strategi pengurus, manakala 40% lagi dinilai berdasarkan keunikan persembahan serta kualiti vokal artis. Penonton juga berpeluang mempengaruhi perjalanan peserta melalui undian dalam talian yang menawarkan ganjaran mingguan seperti peluang kedua untuk membuat persembahan, penambahan markah atau memilih juri yang akan memberi komen.

    Selain konsert utama setiap Ahad, Talk To My Manager turut menawarkan pelbagai kandungan tambahan. Studio Talk To My Manager yang bersiaran setiap Sabtu jam 10 malam akan menampilkan persiapan intensif para peserta bersama pengurus masing-masing. Manakala BTS Talk To My Manager yang bersiaran setiap Rabu jam 8.30 malam akan membawa penonton ke belakang tabir latihan vokal, kelas tarian serta strategi persembahan. Bagi pengalaman lebih interaktif, penonton boleh mengikuti Talk To My Manager Live+ di www.gempak.com yang disiarkan serentak ketika konsert mingguan berlangsung.

    Musim ini turut menampilkan kolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi. Dengan gabungan emosi, kreativiti dan hubungan kekeluargaan yang unik, Talk To My Manager dijangka menjadi antara program realiti paling hangat pada tahun ini, meraikan legasi hiburan keluarga sambil membuka ruang untuk generasi baharu mengukir nama di pentas seni.

  • Nadhif Basalamah Hangatkan Kuala Lumpur 11 September

    Nadhif Basalamah Hangatkan Kuala Lumpur 11 September

    Penjaga Hati anda, Nadhif Basalamah, bakal menemui para peminat di Kuala Lumpur pada 11 September 2025 menerusi konsert Nadhif Basalamah Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur. Konsert yang akan berlangsung di The Exchange Hall, Petaling Jaya ini menjanjikan malam penuh emosi, lantunan vokal merdu, dan sentuhan balada yang memukau.

    Ya, anda tidak salah baca. Penyanyi dan komposer muda berusia 25 tahun ini, yang terkenal dengan suara gemeresik dan menenangkan, memilih Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi utama dalam siri jelajah Asianya. Menurut penganjur bersama, After School dan Banyak Bagus Entertainment, Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, merupakan antara lokasi yang paling dinantikan oleh Nadhif untuk bertemu secara langsung dengan peminat setianya.

    “Tanpa merendahkan lokasi lain dalam jelajah ini, kami dengan bangga membawa Nadhif Basalamah singgah di Kuala Lumpur. Selain Singapura dan Kota Kinabalu, Nadhif sangat teruja untuk bertemu para peminatnya di sini,” ujar Liaw Sun dari Banyak Bagus Entertainment. Beliau turut mengingatkan bahawa tiket konsert ini adalah terhad dan kini sudah mula dijual melalui Ticketmelon.

    Bagi peminat yang benar-benar setia, inilah peluang emas untuk merasai kehangatan persembahan Nadhif secara langsung. “Jangan sampai terlepas peluang untuk mendengar vokal emas Nadhif dalam rangkaian lagu hitnya. Ini adalah acara yang tidak patut dilepaskan,” tambah Liaw Sun.

    Sejak debut pada Julai 2022 menerusi Wonder in Time, nama Nadhif terus mencuri perhatian. Beliau pernah menjadi pembuka konsert Tulus dalam siri jelajah Manusia di Makassar, sebelum mencatat kejayaan besar dengan lagu-lagu popular seperti To Be With Me, Without Me (Sera), dan yang paling fenomenal, Penjaga Hati pada 2023. Lagu-lagu terbarunya seperti Jatuh Cinta Lagi dan Bergema Sampai Selamanya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis muda paling berbakat di rantau ini.

    Bagi mereka yang mahu hanyut dalam keindahan lirik dan melodi balada, malam 11 September di The Exchange Hall bakal menjadi detik yang sukar dilupakan. Jadi, bersedialah untuk jatuh cinta sekali lagi dengan suara dan pesona Nadhif Basalamah dalam Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur.

  • MEGASTAR IDOL 2025 – Legasi Juara, Inspirasi Generasi

    MEGASTAR IDOL 2025 – Legasi Juara, Inspirasi Generasi

    GAGA Entertainment dengan bangganya mengumumkan penganjuran pertandingan nyanyian Megastar Idol 2025 yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor. Edisi kali ini dianjurkan dengan kerjasama Subang Parade sebagai Rakan Rasmi Lokasi, sekali gus memperkukuh komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan bakat seni suara tempatan.

    Sebagai sebuah syarikat penganjuran acara yang komited dalam menyediakan platform hiburan berkualiti, GAGA Entertainment terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat-bakat baharu menerusi pertandingan, persembahan, dan kolaborasi strategik. Dengan tema “Dari Juara Untuk Bakal Juara”, Megastar Idol 2025 hadir sebagai pentas profesional untuk mengasah kemahiran vokal peserta yang berpotensi besar, di samping membuka peluang pembelajaran secara langsung daripada tenaga pakar industri muzik.

    Pertandingan ini menampilkan barisan juri berpengalaman dan disegani dalam dunia seni suara tanah air, termasuk Idayu AF Megastar, penyanyi dan mentor vokal terkenal, serta Helen Yap, seorang komposer, penerbit dan pengarah muzik berpengalaman. Selain itu, seorang juri jemputan khas akan diumumkan pada hari pertandingan bagi menambah warna dan kredibiliti acara ini. Penilaian daripada panel juri akan memberi panduan teknikal serta maklum balas membina kepada peserta, sejajar dengan matlamat untuk melahirkan bintang baharu berkualiti tinggi.

    Megastar Idol 2025 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,500, bersama pengiktirafan rasmi. Juara akan membawa pulang RM2,000 beserta trofi dan sijil, manakala Naib Juara akan menerima RM1,000 berserta sijil, dan Tempat Ketiga akan membawa pulang RM500 berserta sijil. Semua peserta juga akan menerima Sijil Penyertaan Rasmi sebagai penghargaan terhadap usaha dan komitmen mereka.

    Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 13 tahun ke atas, dengan yuran penyertaan hanya RM100. Kuota penyertaan dihadkan kepada 50 peserta sahaja bagi memastikan kualiti persembahan dapat dikekalkan. Format pertandingan merangkumi pusingan saringan awal, separuh akhir dan pentas akhir, yang semuanya akan diadakan di pentas utama Subang Parade dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

    Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi NADZ di talian 018-9676548 atau melalui Instagram rasmi @gaga.entertainment. Megastar Idol 2025 menjanjikan sebuah pertandingan yang bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi batu loncatan untuk mencungkil dan memartabatkan bakat-bakat baharu dalam industri muzik tanah air.

  • Muzik Kita Ditunda – Bakal Gegar Disember 2025

    Muzik Kita Ditunda – Bakal Gegar Disember 2025

    Konsert ‘Muzik Kita’ yang dinanti-nantikan kini dijadualkan semula ke bulan Disember 2025 demi memastikan pengalaman terbaik buat semua peminat dan penggemar muzik tempatan. Penundaan ini dibuat setelah pihak penganjur meneliti dengan teliti beberapa faktor penting yang mempengaruhi kelancaran serta kejayaan penganjuran acara, termasuk susunan persembahan, kualiti sistem bunyi, tahap keselamatan, serta keselesaan para penonton.

    Menurut wakil penganjur, keputusan ini bukanlah mudah, namun ia adalah langkah yang perlu diambil demi memberikan persembahan yang benar-benar memukau. Pihak produksi kini sedang melakukan penambahbaikan menyeluruh dari segi teknikal dan logistik, termasuk pemilihan peralatan audio-visual yang lebih canggih serta susunan program yang lebih teratur bagi memastikan setiap detik konsert menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

    Penganjur turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada para peminat, artis, rakan penaja serta pihak media atas sokongan, kepercayaan, dan kesabaran yang telah diberikan. Maklumat lanjut mengenai tarikh baharu serta urusan penukaran atau pembelian tiket akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi ‘Muzik Kita’.

    Dengan janji untuk kembali dengan persembahan yang lebih hebat dan berwarna-warni, ‘Muzik Kita’ akan terus menjadi pentas utama meraikan bakat-bakat lokal, mengangkat karya muzik tempatan, serta menyatukan peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Pihak penganjur menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan padu agar industri muzik tanah air dapat berkembang dengan lebih gemilang dan berdaya saing di pentas global.

  • Dato’ Khadijah Ibrahim Dorong Selebriti Muda Manfaatkan Kemasyhuran untuk Berniaga

    Dato’ Khadijah Ibrahim Dorong Selebriti Muda Manfaatkan Kemasyhuran untuk Berniaga

    Penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, menyeru selebriti muda Malaysia agar tidak terlalu bergantung kepada dunia hiburan semata-mata, sebaliknya memanfaatkan populariti mereka untuk menceburi bidang keusahawanan selagi nama masih berada di puncak. Beliau menegaskan bahawa industri hiburan bersifat sementara dan boleh berubah pada bila-bila masa, justeru perancangan masa depan amat penting bagi memastikan kelangsungan kerjaya serta kewangan.

    Menurutnya, ramai rakan artis yang terpaksa berundur daripada industri setelah nama tidak lagi menjadi sebutan, sekali gus mengakibatkan peluang pekerjaan semakin berkurang. Situasi ini akhirnya memaksa sebahagian daripada mereka berdepan dengan kehilangan punca pendapatan. Dato’ Khadijah tidak mahu generasi artis muda hari ini mengulangi kesilapan sama, sebaliknya memanfaatkan masa ketika mereka berada di kemuncak populariti untuk membina jenama peribadi dan perniagaan yang kukuh.

    Selaku Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, beliau turut menekankan kepentingan mempelajari ilmu asas perniagaan. Katanya, artis tidak seharusnya hanya menjadi wajah atau duta kepada produk, sebaliknya perlu memahami proses pemasaran, pengurusan dan pengeluaran agar tidak mudah dipergunakan pihak lain. “Belajar tentang selok-belok bisnes. Turun padang, ambil tahu bagaimana operasi berjalan. Kalau kita tak faham, orang lain mudah ambil kesempatan,” tegasnya.

    Berkongsi pengalamannya, Dato’ Khadijah menceritakan bagaimana beliau beralih daripada dunia hiburan kepada bidang keusahawanan dengan menubuhkan perniagaan makanan miliknya sendiri, termasuk jenama terkenal Sos Cili Ibu. Produk berasaskan resipi asli Malaysia itu kini semakin mendapat sambutan dalam dan luar negara. “Saya mulakan dengan sesuatu yang saya suka dan faham makanan. Rakyat Malaysia sukakan rasa pedas, jadi saya hasilkan sos cili buatan tempatan yang benar-benar memenuhi citarasa tersebut,” katanya.

    Baru-baru ini, Dato’ Khadijah turut membawa Sos Cili Ibu ke pentas antarabangsa melalui penyertaannya di Malaysia Fest 2025 yang berlangsung di Singapore Expo, Level 5, Selangor Hall, dari 31 Julai hingga 3 Ogos. Kehadiran beliau disambut meriah oleh peminat di Singapura, selain menarik perhatian pengunjung tempatan dan pelancong asing. Turut memeriahkan acara adalah barisan artis popular seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Ifa Raziah, Zaiton Sameon dan Jasmin Hamid.

    Bagi Dato’ Khadijah, penyertaan di pameran tersebut bukan sekadar untuk mempromosikan produk, malah menjadi peluang untuk bertemu peminat lama yang hadir bukan hanya untuk membeli sos, tetapi juga untuk bergambar dan mengimbau kenangan zaman kegemilangan muzik beliau. Pengalaman itu disifatkannya sebagai sesuatu yang cukup manis dan mengharukan.

    Beliau berharap kejayaan Sos Cili Ibu di pasaran antarabangsa dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai selebriti muda untuk berani mencuba nasib dalam dunia perniagaan. “Saya percaya ramai artis muda memiliki potensi besar untuk berjaya dalam bisnes. Jangan takut untuk bermula, kerana rezeki itu luas jika kita berani mencuba,” pesan Dato’ Khadijah mengakhiri perbualan.

  • KRUniverse & Unity Trust Meterai Perjanjian Hospitaliti RM50 Juta di Lembah Klang

    KRUniverse & Unity Trust Meterai Perjanjian Hospitaliti RM50 Juta di Lembah Klang

    Kumpulan Syarikat KRU melalui Kruniverse Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik bersama Unity Trust Berhad bagi memacu pengembangan perniagaan hospitaliti dan gaya hidup di Shah Alam dan Klang. Langkah ini merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang Kruniverse untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam industri pelancongan yang berteraskan hiburan dan teknologi.

    Sebagai entiti baharu di bawah KRU, Kruniverse akan menerajui pembangunan beberapa projek utama di lokasi strategik dengan sokongan pihak berkuasa tempatan dan para pemegang taruh. Presiden Lembaga Pengarah Kruniverse, Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, menjelaskan bahawa pengembangan ini akan memanfaatkan harta intelek KRU, teknologi berasaskan AI, dan kekuatan jenama yang telah lama terjalin.

    Pelan pengembangan di Lembah Klang dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM50 juta dalam tempoh tiga tahun, dibiayai melalui pelbagai mekanisme pembiayaan inovatif. Bagi memastikan tadbir urus yang kukuh dan telus, Kruniverse memeterai perjanjian kerjasama dengan Unity Trust Berhad, sebuah organisasi berpengalaman dan dipercayai dalam pengurusan amanah serta tadbir urus korporat.

    Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp Sdn Bhd, Dato’ Norman Abdul Halim, menyifatkan kerjasama ini sebagai pencapaian penting yang membolehkan syarikat mengembangkan operasi sambil mengekalkan standard tadbir urus tertinggi. Beliau menegaskan matlamat utama bukan sekadar meningkatkan pengalaman pengunjung, tetapi juga membina ekosistem mampan yang memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti setempat.

    Unity Trust Berhad akan berperanan sebagai rakan tadbir urus bebas, memastikan perlindungan pelabur, tanggungjawab fidusiari, dan pematuhan terhadap kerangka peraturan. Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust Berhad, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid, menekankan bahawa kerjasama ini akan membantu Kruniverse berkembang daripada perniagaan milik keluarga kepada organisasi mampan yang berasaskan data dan ditadbir secara profesional, selaras dengan amalan terbaik bagi persediaan penyenaraian awam pada masa hadapan.

    Dengan asas tadbir urus yang kukuh, Kruniverse kini bersedia untuk melancarkan projek pertamanya pada November 2025, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan syarikat sebagai peneraju inovasi dalam sektor hospitaliti dan gaya hidup di rantau ini.

  • KL Tower Semarakkan Ambang Merdeka 2025 dengan Pertunjukan Bunga Api 360 Darjah

    KL Tower Semarakkan Ambang Merdeka 2025 dengan Pertunjukan Bunga Api 360 Darjah

    Malam 30 Ogos 2025 bakal menjadi detik istimewa apabila Kuala Lumpur Tower sekali lagi menjadi tumpuan utama sambutan Malam Ambang Merdeka. Tahun ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api 360 darjah yang memukau, dilancarkan serentak dari tiga lokasi berbeza, menjadikannya persembahan julung kali diadakan dalam sejarah menara ikonik ini.

    Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha Kuala Lumpur Tower untuk mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil meraikan kemeriahan, perpaduan dan kepelbagaian budaya negara. Bermula jam 9.00 malam hingga 12.30 tengah malam, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung oleh The Sky Band, diiringi panorama indah langit Kuala Lumpur yang gemerlapan. Tepat detik 12.00 tengah malam, langit ibu kota akan diterangi cahaya bunga api yang dilancarkan dari tiga lokasi berbeza, memberikan pengalaman visual 360 darjah yang mempesonakan dan tiada tandingan berbanding sambutan tahun-tahun sebelumnya.

    Bagi memastikan setiap pengunjung dapat menikmati pengalaman eksklusif ini, jumlah tempat duduk adalah terhad kepada 1,200 orang sahaja yang akan diagihkan mengikut tiga lokasi tontonan utama iaitu Observation Deck, Sky Terrace dan Tower Terrace. Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi Kuala Lumpur Tower di www.kltower.com dan tertakluk kepada terma serta syarat.

    Pertunjukan istimewa ini juga merupakan sebahagian daripada rangkaian program patriotik Kuala Lumpur Tower yang berlangsung sepanjang bulan Ogos dan September bersempena Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025. Antara acara yang diadakan termasuk Light Up Malaysia Colours of Unity, Pertandingan Lagu Patriotik Gema Merdeka, Pertandingan Padu Tarik & Tebar Canai, serta Sayembara Puisi Kemerdekaan. Semua program ini dirangka bagi menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, meraikan kepelbagaian budaya serta mengekalkan kedudukan Kuala Lumpur Tower sebagai mercu tanda kebanggaan negara.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman, sambutan kali ini amat istimewa kerana buat pertama kalinya pertunjukan bunga api dilancarkan dari tiga lokasi berbeza, memberikan pemandangan penuh 360 darjah pada tarikh yang cukup bermakna ini. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya berbangga dapat menampilkan persembahan terbaik kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

    Kuala Lumpur Tower menjemput seluruh rakyat Malaysia serta pelancong antarabangsa untuk bersama-sama merasai malam penuh warna ini, di mana semangat patriotisme berpadu dengan keindahan langit ibu kota, sekali gus menjadikan Malam Ambang Merdeka 2025 sebagai satu kenangan yang akan kekal terpahat dalam sejarah.

  • Tracie & Jazmy: Pasangan Pelakon Serba Bisa Gegar Layar Kaca

    Tracie & Jazmy: Pasangan Pelakon Serba Bisa Gegar Layar Kaca

    Fenomena baharu melanda dunia drama tempatan apabila gandingan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma dalam drama Hilang Dalam Rindu mencetuskan gelombang luar biasa di Malaysia dan Indonesia. Dikenali dengan tanda pagar #JaCieEffects, chemistry kedua-dua pelakon ini dianggap luar biasa hingga membuatkan penonton ‘cair’ setiap kali mereka muncul di layar kaca.

    Menariknya, Hilang Dalam Rindu merupakan adaptasi 100% daripada novel popular, namun tetap segar dengan sentuhan ala vibe wattpad yang memikat. Keistimewaan drama ini terletak pada kesetiaan terhadap jalan cerita asal, tanpa babak ‘cringe’ atau meleret yang sering menjadi keluhan penonton. Di bawah pengarahan Along Kamaluddin, setiap episod dibentuk dengan rapi sehingga mampu membawa penonton hanyut dalam kisah cinta yang tulus, penuh emosi dan menyentuh hati.

    Kejayaan drama ini turut tercermin daripada penjualan novel asalnya, apabila sebanyak 31,500 naskhah habis terjual dalam masa singkat. Fenomena ini bukan sahaja memikat peminat tegar drama Melayu, malah berjaya menarik penonton baharu yang sanggup berjaga sehingga jam lima pagi untuk maraton episod tanpa henti.

    Walaupun masih baru dalam industri, Tracie dan Jazmy berjaya membina keserasian yang mengagumkan. Babak romantik mereka disampaikan dengan penuh sederhana namun memberi impak mendalam, seakan-akan penonton menyaksikan kisah cinta yang benar-benar wujud di antara mereka. Tracie khususnya menerima pujian atas lakonannya yang sopan serta menjaga batas pergaulan, di samping kemampuannya membawa watak Dira dengan sisi gelap dan kompleks yang menonjolkan versatiliti bakatnya.

    Media sosial turut dipenuhi dengan reaksi peminat yang teruja. Ada yang memuji ketepatan skrip yang mengekalkan inti pati novel, ada pula penonton dari Indonesia yang mengaku ‘berpaling tadah’ daripada sinetron demi mengikuti drama ini. Tidak kurang juga yang kecewa kerana terlepas peluang memiliki novel asal, sambil memuji keserasian padu antara Tracie dan Jazmy yang membuat mereka terus melekat di depan skrin.

    Hilang Dalam Rindu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3, dan bagi yang tidak sabar menunggu, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my. Fenomena ini jelas membuktikan bahawa gandingan pelakon baharu dengan naskhah berkualiti mampu mencipta sejarah tersendiri dalam industri drama Melayu.

  • Fajar Hangatkan Pentas “Eternal Love, Timeless Romance” BCL dengan Tawaran Eksklusif

    Fajar Hangatkan Pentas “Eternal Love, Timeless Romance” BCL dengan Tawaran Eksklusif

    Peminat muzik bakal disajikan malam penuh cinta dan keindahan apabila penyanyi muda berbakat dari Indonesia, Fajar, disahkan sebagai artis jemputan istimewa untuk konsert mega Bunga Citra Lestari – Eternal Love, Timeless Romance yang akan berlangsung pada Sabtu, 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

    Konsert ini turut menampilkan gabungan bintang hebat tempatan, Jaclyn Victor dan Dennis Lau, di samping persembahan memukau daripada BCL yang terkenal dengan vokal bertenaga dan lagu-lagu penuh emosi. Kehadiran Fajar dijangka menambah warna pada malam istimewa ini yang menggabungkan sentuhan romantis, kenangan indah serta kehangatan muzik lintas negara.

    Lebih menarik, para peminat boleh menikmati pelbagai promosi eksklusif, termasuk diskaun 10% pembelian tiket menggunakan kod promosi fajarlove atau bcl88sale di laman web rasmi Ticket2U. Selepas pembelian, penonton juga berpeluang mendapatkan diskaun penerbangan khas daripada Malaysia Airlines, selain diskaun sehingga RM90 melalui kemudahan bayaran mudah Atome.

    Konsert BCL – Eternal Love, Timeless Romance ini dijangka menjadi salah satu acara muzik paling dinantikan tahun ini, menawarkan persembahan luar biasa yang memadukan bakat-bakat terbaik dari dua negara serumpun. Dengan gabungan suara hebat, persembahan memukau dan tawaran istimewa, malam ini pasti akan dikenang sebagai perayaan cinta dan muzik yang tiada tandingan.

  • HONOR Pad 10 5G Arrives in Malaysia, Built for Productivity on the Go

    HONOR Pad 10 5G Arrives in Malaysia, Built for Productivity on the Go

    HONOR has officially launched the 5G variant of its popular HONOR Pad 10 in Malaysia, following the impressive sales of its WiFi version. As the country’s top-selling tablet brand, HONOR is meeting the increasing demand for powerful, portable devices designed for both work and play.

    The HONOR Pad 10 5G is now available at authorised retailers nationwide starting 10 August 2025, and will soon be offered through major telcos Maxis and CelcomDigi. Updates on telco availability will be shared via HONOR Malaysia’s official Facebook page.

    Equipped with ultra-fast 5G, the HONOR Pad 10 5G lets users download large files instantly, stream high-definition movies, and enjoy smooth online gaming no matter where they are. Designed for productivity, it’s perfect for video conferencing, browsing, AI-powered tools, email, and other real-time applications, giving users the freedom to stay connected without relying on Wi-Fi.

    The tablet boasts a 12.1-inch 2.5K HONOR Eye Comfort Display with a 120Hz dynamic refresh rate for sharp visuals and fluid scrolling. Powered by a massive 10,100mAh battery, it supports all-day use without the need for constant recharging, making it ideal for busy professionals, students, and creatives.

    When paired with the Smart Bluetooth Keyboard, the HONOR Pad 10 5G delivers a PC-like experience, streamlining tasks such as typing documents and managing emails. The HONOR Pencil adds precision for notetaking, brainstorming sessions, and creative drawing—perfect for both work and artistic projects.

    The HONOR Pad 10 5G is priced at RM1,799, while the WiFi variant retails for RM1,499. Both come with 8GB RAM and 256GB storage. The 5G version is available in Grey, while the WiFi model comes in Cyan and Grey.

    Early buyers will enjoy FREE gifts worth RM1,097, including a Smart Bluetooth Keyboard, HONOR Pencil, and HONOR CHOICE Active Noise Cancelling Headphones.

    For more details, visit www.honor.com/my.