Author: Helmi Aziz

  • Ilmu Hitam, Syirik & Dendam: Kisah Munajjim Sekutu Iblis

    Ilmu Hitam, Syirik & Dendam: Kisah Munajjim Sekutu Iblis

    Filem bercorak seram masih menjadi kegemaran penonton tempatan, malah terus membuktikan daya tarikannya setiap kali ditayangkan di pawagam. Kali ini, Yusrych Global Sdn. Bhd muncul dengan sebuah karya baharu berjudul Munajjim: Sekutu Iblis, sebuah filem seram yang mengetengahkan tema ilmu hitam dan syirik yang masih berakar dalam masyarakat moden.

    Idea asal daripada Yusry Makmor bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa ini diarahkan oleh Faizul A. Rashid. Filem tersebut cuba keluar daripada stereotaip seram yang lazim memaparkan kemunculan pontianak atau pocong, sebaliknya membawa penonton kepada sebuah kisah yang diinspirasikan daripada realiti sebenar. Menurut penerbitnya, Yusry Makmor, Munajjim: Sekutu Iblis bukan sekadar hiburan untuk menakutkan penonton, tetapi turut memberi kesedaran mengenai bahaya syirik yang jelas dilarang dalam agama. Katanya, masih ramai yang memilih jalan singkat dengan bergantung kepada bomoh dan amalan khurafat untuk menyelesaikan masalah hidup, walhal tindakan itu hanya mengundang padah.

    Naskhah ini memaparkan kisah sebuah keluarga yang terlalu taksub dengan bomoh sehingga terjebak dalam kancah ilmu hitam. Konflik bermula apabila si anak menggunakan sihir untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang didakwa cuba merosakkan rumah tangga mereka. Namun, ilmu yang digunakan berpatah balik sehingga mengancam nyawa seluruh ahli keluarga. Lebih menakutkan, pendamping yang muncul dalam kisah ini bukanlah sekadar hantu klise, tetapi jelmaan jin dan syaitan yang bersekutu dengan manusia untuk menyesatkan akidah mereka.

    Keseraman yang diadun dengan visual sinematik, jalan cerita kukuh dan mesej yang kuat menjadikan Munajjim: Sekutu Iblis sebuah karya yang lebih daripada sekadar filem seram biasa. Filem ini turut memperlihatkan gandingan pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis serta pelakon cilik Daniel Aqil, menjanjikan persembahan lakonan yang mantap dan berkesan.

    Menjalani penggambaran sekitar Selangor pada Januari 2025, Munajjim: Sekutu Iblis dijangka menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 31 Julai 2025. Dengan edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures serta sokongan promosi daripada Empire Solutions, filem ini diyakini mampu mencetus fenomena baharu dalam industri perfileman seram tempatan.

    Munajjim: Sekutu Iblis bukan sahaja mengundang debaran dan rasa takut, tetapi turut mengajak penonton berfikir tentang bahaya mempercayai khurafat. Realiti bahawa amalan syirik masih wujud dalam kehidupan masyarakat menjadi latar yang cukup menakutkan, menjadikan filem ini satu pengalaman seram yang penuh pengajaran.

  • Juicy Luicy & Tulus Hangatkan Ruang Inspirasi Festival 2025 di Mega Star Arena

    Juicy Luicy & Tulus Hangatkan Ruang Inspirasi Festival 2025 di Mega Star Arena

    Peminat muzik tanah air, khususnya generasi muda, disajikan dengan sebuah festival penuh emosi, inspirasi dan keseronokan menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang berlangsung meriah di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

    Dipersembahkan oleh Expoindo dengan kerjasama penganjur tempatan Thrive, edisi pertama festival ini tampil dengan konsep segar yang menggabungkan persembahan muzik dengan elemen perkongsian kisah di sebalik karya popular artis jemputan. Tidak sekadar hiburan, RIF 2025 memberi peluang kepada penonton untuk menyelami makna muzik sebagai medium yang mampu menghubungkan emosi dan inspirasi.

    Menurut wakil Expoindo, Bram Tulong, pemilihan nama “Ruang Inspirasi” lahir daripada hasrat untuk mewujudkan sebuah ruang di mana muzik bukan sahaja menghiburkan, malah dapat menyentuh jiwa dan meninggalkan kesan mendalam. Katanya lagi, RIF adalah sebuah festival yang mahu dikenang sebagai pertunjukan muzik yang membawa mesej positif serta inspiratif melalui setiap persembahan.

    Tahun sulung penganjuran RIF lebih bermakna apabila mempersembahkan dua nama besar dari Indonesia yang tidak asing buat peminat di Malaysia. Penyanyi tersohor Tulus tampil di pentas pada sesi petang bermula jam 2.30 dengan persembahan penuh penghayatan yang menyentuh jiwa penonton. Sementara itu, kumpulan pop alternatif popular Juicy Luicy pula menggegarkan sesi malam bermula jam 8.30 dengan rangkaian lagu hits mereka seperti “Lantas”, “Lampu Kuning” dan “Sialan”, sekali gus memikat hati generasi muda yang begitu dekat dengan karya-karya mereka.

    Dengan gabungan persembahan daripada dua artis hebat ini, Ruang Inspirasi Festival 2025 bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia menjadi medan untuk menyemai semangat positif, berkongsi kisah inspiratif, dan mencipta memori indah yang akan dikenang oleh para peminat yang membanjiri Mega Star Arena pada malam penuh magis itu.

  • Unveiling Strength: HONOR Partners with Bomba The Movie to Tease a Mystery Rugged Smartphone

    Unveiling Strength: HONOR Partners with Bomba The Movie to Tease a Mystery Rugged Smartphone

    HONOR Malaysia has announced a powerful collaboration with the highly anticipated local action film Legasi: Bomba The Movie, a cinematic tribute to the bravery and sacrifice of Malaysia’s firefighters. This partnership not only celebrates national heroes but also introduces an exciting surprise for moviegoers.

    In a special twist, an unreleased HONOR smartphone makes its debut appearance in the film a mysterious device yet to be confirmed for the Malaysian market. More than just a product placement, the phone plays a symbolic role, embodying the qualities of toughness, endurance, and reliability that define the firefighting community.

    Engineered to withstand the unexpected, this upcoming smartphone represents HONOR’s ongoing pursuit of innovation and durability. While official details remain under wraps, its first appearance on the silver screen raises intriguing questions: “Is this HONOR’s toughest smartphone yet?” and “Could this be the breakthrough device everyone has been waiting for?”

    For HONOR, this collaboration goes beyond technology. It’s a heartfelt recognition of Malaysia’s everyday heroes men and women who face danger with courage and resilience. The brand’s name itself resonates with values of honor, strength, and selflessness, perfectly aligned with the spirit of the Bomba.

    Audiences can look forward to seeing the mysterious HONOR smartphone in action when Legasi: Bomba The Movie hits cinemas. Beyond its role in the story, the device stands as a symbol of innovation meeting heroism a reminder that true strength lies in both technology and the people who use it.

    For the latest updates on HONOR’s upcoming products, follow HONOR Malaysia’s official Facebook page or visit www.honor.com/my.

  • Chemistry Meletup! Jazmy & Tracie Curi Tumpuan Sebagai Pasangan Drama Terhangat

    Chemistry Meletup! Jazmy & Tracie Curi Tumpuan Sebagai Pasangan Drama Terhangat

    Gelombang drama Hilang Dalam Rindu kini menjadi fenomena besar, sekali gus mengingatkan peminat kepada era kegemilangan Melur Untuk Firdaus yang mengangkat Anna Jobling dan Meerqeen sebagai pasangan ikonik. Kali ini, sorotan sepenuhnya beralih kepada dua bintang muda berbakat, Jazmy Juma dan Tracie Sinidol, yang semakin digelar sebagai pasangan drama terhangat Malaysia.

    Keistimewaan mereka terletak pada chemistry yang tampak begitu natural di layar kaca. Setiap pandangan, senyuman kecil dan lontaran dialog seolah-olah menghidupkan percintaan sebenar, tanpa perlu adegan bersentuhan pun. Kemanisan itu sahaja sudah cukup membuatkan peminat ‘cair’, malah ramai mengaku berasa ‘blushing’ setiap kali adegan romantik mereka muncul. Lebih menarik, aura ini turut menyeberangi sempadan apabila peminat Indonesia mula berharap agar Jazmy dan Tracie diberikan momen lebih mesra, sekurang-kurangnya satu adegan pelukan untuk memuaskan hati penonton setia.

    Fenomena ini tidak berhenti di skrin semata-mata. Interaksi mereka di luar drama, khususnya di platform TikTok, sering mencuri perhatian. Dari sekadar balas komen hingga video spontan, semuanya menambah lagi keyakinan peminat bahawa mereka adalah pasangan ideal sama ada di hadapan kamera atau dalam kehidupan sebenar. Tidak hairanlah jika nama mereka sentiasa trending setiap kali episod baharu ditayangkan, malah kreativiti peminat meledak dengan menghasilkan fan art, fan edit, dan juga fan fiction yang membanjiri media sosial.

    Desakan peminat agar pasangan ini terus digandingkan selepas tamatnya Hilang Dalam Rindu semakin kuat. Ramai yang percaya mereka adalah ‘perfect match’ dan mahu melihat mereka muncul bersama dalam lebih banyak projek masa depan. Malah, sewaktu siaran langsung TikTok Live Drama Sangat bersama Dato’ Rosyam Nor dan Jazmy baru-baru ini, lebih 3,000 penonton serentak membanjiri ruangan komen dengan cadangan agar drama ini disambung ke musim kedua, bahkan ada yang mencetuskan idea khas “HDR Raya Special”.

    Daripada gelaran ‘golden couple drama Malaysia’ yang pernah disandang Anna Jobling dan Meerqeen, kini baton populariti itu nyata berpindah ke tangan Jazmy dan Tracie. Dengan keserasian semula jadi, sokongan peminat antarabangsa serta pengaruh besar di media sosial, mereka bukan sekadar pasangan drama, malah ikon baharu industri hiburan tempatan.

    Dengan hanya tiga episod berbaki, penonton pastinya tidak mahu melepaskan kemuncak penuh emosi dalam Hilang Dalam Rindu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Bagi yang mahu merasai debaran lebih awal, episod terbaharu boleh distrim 24 jam lebih cepat menerusi Tonton di www.tonton.com.my.

  • King Evian Rangkul Gelaran Juara Super ‘Meow-del’ Malaysia di Cat Fashion Week TV3

    King Evian Rangkul Gelaran Juara Super ‘Meow-del’ Malaysia di Cat Fashion Week TV3

    Pentas akhir Cat Fashion Week mencatatkan sejarah apabila seekor kucing baka ragdoll bernama Evian, milik Nor Anis Halyatie, dinobatkan sebagai juara sulung. Dengan konsep peragaan bertemakan “royalty” yang penuh karisma, Evian memukau juri dan penonton, sekaligus melayakkan dirinya membawa pulang trofi serta wang tunai RM5,000.

    Sorakan penonton bergema sebaik sahaja lapan finalis, iaitu Juny, Omey, Goyem, Chibbu, Evian, Winter, Kristoff dan Mocha, melangkah ke pentas seolah-olah selebriti ternama. Pertunjukan itu bukan sekadar persembahan fesyen, sebaliknya mengangkat kisah unik, kreativiti luar biasa dan ikatan kasih sayang antara pemilik serta kucing kesayangan mereka.

    Evian menyerlah sebagai bintang utama apabila tampil dengan jubah baldu biru gelap berhias manik emas, diinspirasikan daripada mata birunya sendiri. Aura bangsawan itu bukan sahaja menjelmakan kemegahan fesyen, malah menyempurnakan karakter Evian yang terkenal dengan sifatnya yang tegas terutama ketika tiba waktu makan. Menurut Anis, kemenangan tersebut sesuatu yang tidak dijangka kerana penyertaan mereka hanya bermula sekadar suka-suka. “Konsep royalty memang tepat dengan karakter Evian yang macam raja. Hadiah kemenangan belum saya fikirkan, tapi mungkin saya akan beri dia ayam rebus kegemarannya,” katanya dengan gembira.

    Gelaran naib juara pula menjadi milik Juny, si ratu berbulu gebu yang mempesona dengan gaun merah mewah hasil jahitan tangan suami pemiliknya, Nur Farahin. Persembahan mereka menyerlahkan kehangatan kasih sayang keluarga yang menyentuh hati. Tempat ketiga dimenangi Chibbu, milik Sharifah Nurulawwal, dengan penampilan berinspirasikan Mesir Purba. Dari kostum mewah berpermata hingga ke props padang pasir, setiap butiran dirancang teliti, ditambah pula dengan dua pengiring yang menambahkan elemen dramatik dalam persembahan.

    Anugerah khas FELIX – Si Bulus Paling Memikat disandang Goyem, milik Siti Rohani yang sanggup merentas perjalanan jauh dari Kedah demi penyertaan pertamanya. Menggayakan tema misi operasi ala koboi dengan topi songket, Goyem membuka persembahan penuh gimik apabila keluar dari kotak, satu sentuhan kreatif yang mengimbau detik pertama pertemuan antara pemilik dan si bulus tersebut.

    Finalis lain turut memeriahkan pentas dengan pelbagai konsep menarik. Omey tampil bak pelumba F1, lengkap dengan kereta mainan khas. Winter pula menyerlahkan gaya futuristik glamor dengan aksesori emas berkilau, manakala Kristoff tampil dalam seragam kapten penuh bergaya dengan sentuhan persona ala “Catman”. Mocha pula membawa penonton ke dunia fantasi dengan busana puteri dongeng bersayap rama-rama yang seolah-olah melangkah keluar dari hutan magis.

    Pentas akhir ini diadili oleh barisan juri hebat iaitu Mohd Jeffrey, pengasas dan pakar dandanan kucing MJMA Academy, penyanyi Mark Adam, Shiha Zikir serta pereka fesyen tersohor Rizman Nordin. Keempat-empat mereka sependapat bahawa pertandingan ini bukan sahaja menyeronokkan malah membuka perspektif baharu terhadap dunia fesyen dan hiburan. Rizman mengakui pengalaman menjadi juri fesyen kucing sesuatu yang luar biasa, manakala Shiha berharap program segar seperti ini dapat dijadikan acara tahunan.

    Pengurus Besar Kandungan TV3, Puan Marlia Zul Amran, turut melahirkan rasa teruja dengan usaha luar biasa para peserta. Beliau menyifatkan setiap persembahan dipersiapkan dengan penuh kesungguhan, seolah-olah setaraf dengan penganjuran Anugerah Juara Lagu. “Program ini benar-benar segar untuk tontonan umum, dengan menampilkan kucing sebagai bintang utama. Kami berharap ia dapat memupuk rasa sayang terhadap haiwan sambil mencipta lebih banyak kenangan manis bersama kucing kesayangan,” ujarnya.

    Kemenangan Evian sekali gus membuktikan bahawa dunia fesyen kini semakin berkembang dan inklusif, bukan sahaja menampilkan manusia sebagai peragawan, tetapi juga rakan berbulu kesayangan yang mampu mencuri perhatian lensa kamera serta menghiburkan jutaan penonton di rumah.

  • KLP48 Mekar di Pentas “〜BLOOM〜” Sempena Ulang Tahun Pertama

    KLP48 Mekar di Pentas “〜BLOOM〜” Sempena Ulang Tahun Pertama

    Zepp Kuala Lumpur bergema dengan sorakan dan lautan light stick pada malam Sabtu apabila kumpulan idola wanita Malaysia, KLP48, meraikan ulang tahun pertama penubuhan mereka dengan konsert istimewa bertajuk “〜BLOOM〜”. Persembahan penuh tenaga itu menjadi simbol kematangan kumpulan yang ditubuhkan pada 2024 sebagai adik kepada AKB48 dari Jepun.

    Sejak penubuhannya, KLP48 berjaya mencuri hati peminat dari pelbagai latar belakang dengan pesona mesra dan aura bertenaga. Dianggotai oleh 13 ahli serantau termasuk Salwa, Yi Shyan, Lucine, Amanda, Ann Drea, Khalies, Tiffany, Hillary dari Hong Kong, Devi dari Indonesia, serta tiga anggota AKB48 iaitu Yurina, Haruka dan Suzuha bersama Cocoa dari STU48, kumpulan ini menjadi simbol kepelbagaian budaya yang mempersatukan peminat.

    Konsert “〜BLOOM〜” yang dianjurkan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd tampil dengan tema mekar, melambangkan perkembangan KLP48 yang semakin matang selepas setahun menempuh cabaran. Malam itu dibuka dengan persembahan bertenaga oleh kumpulan wanita tempatan COËX yang menghiburkan penonton dengan lagu “Like Jennie” dan “Just Another Friend”. Suasana terus hangat apabila penyanyi muda Ismail Izzani muncul di pentas dengan rangkaian lagu populernya “Bidari”, “Tenggelam” dan “Luar Biasa”.

    Sorakan semakin kuat apabila kumpulan idola Indonesia, JKT48, hadir dengan 12 ahlinya mengenakan gaun berwarna-warni. Mereka mempersembahkan lagu-lagu popular “#Kusangatsuka”, “Rapsodi” dan “Ponytail to Shu Shu”, memukau penonton dengan koreografi yang lincah dan senyuman penuh pesona.

    Saat yang paling ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila KLP48 muncul dengan lagu “Oh My Pumpkin!”, diikuti “Aitakatta” dan “Melon Juice”. Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan ombak warna-warni apabila para peminat melambai light stick mengikut irama. Salah satu momen paling mengharukan pada malam itu adalah kemunculan semula Lucine yang kembali ke pentas setelah berehat kerana masalah kesihatan. Buat pertama kalinya, 13 ahli tampil lengkap di atas pentas, membawakan “Shonichi” dan “Namida Surprise” dengan penuh emosi sehingga mengundang sebak dalam kalangan penonton.

    Momen nostalgia turut hadir melalui tayangan video khas yang mengimbas kembali perjalanan setahun KLP48, daripada detik debut sehinggalah ke pentas-pentas besar yang pernah mereka tempuh. Paparan suka duka itu membuatkan ramai peminat menitiskan air mata, lebih-lebih lagi apabila ahli KLP48 sendiri menyampaikan ucapan penuh rasa syukur. “Perjalanannya tidak mudah, tetapi kami amat berterima kasih atas sokongan peminat. Ada air mata, ada peluh, tetapi yang paling banyak adalah kegembiraan dan kenangan berharga. Semoga kami dapat terus membawa senyuman dan kekuatan kepada anda semua,” luah mereka sambil disambut sorakan “KLP48!” yang bergema di seluruh dewan.

    Konsert diteruskan dengan rangkaian lagu popular seperti “Green Flash”, “Heavy Rotation”, “High Tension”, “Flying Get” dan “Alasanku Maybe”. Persembahan penuh harmoni dengan gerak tari seragam, senyuman tulus dan aura bertenaga itu sekali lagi menegaskan identiti KLP48 sebagai simbol keindahan dan semangat anak muda.

    Sebagai penutup penuh gemilang, KLP48 berganding bahu dengan JKT48 untuk mempersembahkan kembali “Oh My Pumpkin!”, kali ini dengan lebih 20 ahli serentak di atas pentas. Adegan itu menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan oleh hampir 2,000 penonton yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur.

    Konsert ini bukan sahaja menandakan ulang tahun pertama KLP48, tetapi juga membuka lembaran baharu perjalanan mereka. Seperti yang disampaikan sendiri oleh kumpulan itu, “Malam ini bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan menuju ulang tahun kedua. KLP48 akan terus berusaha, melangkah bersama anda semua.”

  • Rahsia Terbongkar! Finalis Cat Fashion Week Rupanya Kakak Sophia Albarakbah

    Rahsia Terbongkar! Finalis Cat Fashion Week Rupanya Kakak Sophia Albarakbah

    Para pencinta kucing, bersedia untuk malam penuh kecomelan! Esok tepat jam 9.00 malam di TV3, penonton akan disajikan dengan gelagat Chibbu, kucing kesayangan Sharifah Nurulawwal atau Awwal, yang juga kakak kepada pelakon popular Sophia Albarakbah.

    Keluarga Albarakbah memang terkenal dengan minat luar biasa terhadap si bulus ada yang membela sehingga 22 ekor kucing di bawah satu bumbung! Namun, Chibbu bukan sekadar kucing biasa. Dengan hobi peliknya yang gemar makan buah tembikai dan tabiat manja suka diurut, Chibbu benar-benar tampil dengan personaliti unik yang membuatkan ramai jatuh hati.

    Lebih istimewa, setiap kostum Chibbu direka sendiri oleh Awwal yang juga seorang pereka fesyen. Kreativiti dan dedikasi itu jelas terserlah sejak pusingan awal apabila Chibbu menggayakan karakter lanun ketika sesi ‘pre-judging’. Untuk pentas akhir esok, pasangan tuan dan si comel ini bakal menampilkan tema penuh gah – Kerajaan Mesir Purba – dengan hiasan batu permata dan fabrik mewah yang pasti memukau mata.

    Komitmen Awwal sebagai seorang ‘cat parent’ memang tidak dapat disangkal. Dari latihan hinggalah persiapan kostum, semuanya dilakukan demi memastikan Chibbu mencuri perhatian di malam kemuncak.

    Adakah Chibbu bakal dinobatkan sebagai ‘meow-jikan’ Cat Fashion Week tahun ini? Sama-sama kita nantikan kejutan dan gaya penuh elegan di pentas akhir, esok jam 9.00 malam, eksklusif hanya di TV3!

  • The Chosen One XTRA 2025: Pentas Akhir Bakat Cilik Penuh Warna-Warni

    The Chosen One XTRA 2025: Pentas Akhir Bakat Cilik Penuh Warna-Warni

    Program realiti sensasi, The Chosen One XTRA, kembali dengan tema baharu yang cukup segar, “We Listen, We Don’t Judge”. Musim kali ini tampil lebih istimewa dengan barisan juri hebat seperti Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah, manakala juri jemputan pula ialah personaliti tersohor tanah air, Datuk Aznil Hj. Nawawi. Pentas akhir ini dikendalikan oleh hos serba boleh, Nabil Ahmad, yang sentiasa menceriakan suasana dengan gaya bersahajanya.

    Meneruskan kelainan yang sudah sinonim dengan program ini, The Chosen One XTRA bukan sekadar menampilkan bakat nyanyian semata-mata, tetapi turut memberi ruang untuk memperlihatkan kehebatan lain seperti tarian, akrobatik dan kebolehan bermain instrumen muzik. Musim kali ini juga membawa masuk barisan ‘coach’ selebriti baharu iaitu Naqiu, Nikki Palikat, Tuju & Loca B, Achey, Usop, Namie dan Bunga yang masing-masing membimbing bintang cilik pilihan mereka.

    Antara persembahan yang mencuri perhatian ialah pasukan Naqiu yang menampilkan kumpulan Saputra dengan barisan peserta seperti Anas, Aleron, Aaron, Bilal, Aqish dan Syawal, membawakan lagu “Penglipur Lara” nyanyian asal Hazama. Nikki Palikat pula mempertaruhkan Iman dan Adawiya dengan pilihan lagu klasik “Fly Me To The Moon” yang pernah dipopularkan Count Basie dan Frank Sinatra. Turut hangat diperkatakan ialah persembahan Elysha dan Fana bersama Tuju & Loca B menerusi lagu “Jauhari”, selain pasangan Achey bersama Rayyan dan Dahlya yang membawakan gabungan “Berjuta Batu” (Alleycats) dan “Kita Usahakan Lagi” (Sebatas Senja).

    Tidak ketinggalan, Usop mempertaruhkan gandingan Alif dan Yusuf dengan persembahan bertenaga menerusi lagu “Bukan Niatku” (Iklim) serta “Ada Gajah di Balik Batu” (Wali Band). Namie pula menampilkan Ayu dan Bella dengan gabungan lagu rock legenda “Bujang Senang” (Wings) serta “Pawana” (Search), meskipun pasukan ini tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya.

    Lebih menarik, sistem penjurian kali ini ditentukan 100% daripada markah juri profesional sebaik sahaja persembahan tamat, menjadikan perjalanan pertandingan lebih telus dan tegas. Juara The Chosen One XTRA bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala tempat kedua, ketiga dan keempat akan menerima RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 bersama trofi.

    Pentas akhir juga akan menyaksikan dua anugerah tambahan iaitu Coach Terbaik yang menawarkan wang tunai RM10,000, serta Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM10,000 yang ditentukan menerusi undian penonton di laman web rasmi www.thechosenone.com.my.

    Dengan kombinasi bakat bintang cilik, kreativiti persembahan serta sokongan padu daripada para ‘coach’, musim kali ini dijangka menjadi antara yang paling mencabar dan penuh kejutan dalam sejarah The Chosen One XTRA.

  • “Malam Gelombang Bahagiaku” – Atilia & Salamiah Hadiahkan Malam Penuh Nostalgia

    “Malam Gelombang Bahagiaku” – Atilia & Salamiah Hadiahkan Malam Penuh Nostalgia

    Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bergema dengan gelombang kasih, harmoni dan nostalgia apabila pentas dihangatkan dengan suara dua generasi istimewa, Atilia Haron dan ibunya yang juga legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, menerusi “Konsert Gelombang Bahagiaku”. Dianjurkan oleh Mujik Wand Production, konsert ini membuktikan kekuatan muzik dan ikatan kekeluargaan apabila tiket terjual habis lebih awal dan penonton terpaku hingga ke detik penutup.

    Bagi Atilia, konsert ini adalah lambang impian yang akhirnya menjadi nyata. Sejak kecil beliau sering menyanjung ibunya sebagai sumber inspirasi, dan peluang berkongsi pentas besar bersama Salamiah adalah pengalaman yang dianggap luar biasa. Walaupun projek ini bermula tanpa penaja, sokongan padu keluarga dan rakan-rakan menjadikannya sebuah malam yang penuh magis. Salamiah pula menyifatkan ia sebagai hadiah paling berharga dalam perjalanan kariernya yang kini mencecah 55 tahun, dan meluahkan rasa syukur dapat menyanyi seiring dengan anak tersayang di hadapan khalayak.

    Persembahan bermula dengan Atilia menyampaikan “No Fruits For Today” sebelum meneruskan dengan rangkaian lagu seperti “Old Love”, “Rekah”, medley “Bodoh” – “Cinta Sampai Mati”, serta persembahan penuh energi bersama MonoloQue dalam “Kekanda Adinda”. Beliau turut menghangatkan suasana dengan “Bahagiaku”, “Salah Sangka”, “Sudah” dan “Selagi” yang memperlihatkan sisi versatil dirinya. Salamiah kemudiannya mengambil alih pentas dengan keanggunan vokal yang tidak dimakan usia. Dari lagu rancak seperti “I’m So Excited” hingga balada penuh emosi “Surat Terakhir”, daripada medley irama Melayu seperti “Miang Miang Keladi”, “Kau Dan Alasanmu” dan “Antara Dua Kasih” hingga ke jazz klasik “Frim Fram Sauce”, beliau membuktikan penguasaan genre yang tiada tandingan. Momen romantis pula tercipta dalam duet “Berdebar-Debar Rasa Hati” bersama Hardy Arbi sebelum Salamiah kembali menyentuh hati dengan “Kenang Daku Dalam Doamu”.

    Kehadiran Mimifly menambah warna dengan medley “Sahabat” dan “Angkat”, sebelum gandingan istimewa bersama Elvira Arul menghidupkan semula lagu klasik “Empat Dara” yang membuat seluruh dewan berdiri dengan tepukan gemuruh. Malam itu diakhiri dengan penampilan duet sulung ibu-anak dalam “Age Is Just The Number” yang disambut sorakan penonton, sekaligus menjadi simbolik kepada konsert yang meraikan cinta dan warisan seni.

    Selain persembahan memukau, konsert turut dihangatkan dengan sambutan penonton yang membeli habis merchandise rasmi berupa t-shirt edisi khas sebanyak 100 helai. Atilia teruja melihat peminat bergambar bersama mereka sambil mengenakan baju konsert tersebut, manakala Salamiah pula tidak ketinggalan menitipkan kata semangat kepada penyanyi muda agar terus berkarya tanpa henti kerana baginya, seni adalah perjalanan yang tiada penghujung.

    Konsert ini akhirnya menjadi lebih daripada sekadar persembahan muzik. Ia adalah perayaan kasih sayang, warisan seni dan keindahan muzik yang merentas generasi. Bagi Atilia, ia juga menandakan titik permulaan baharu dalam kerjayanya setelah sekian lama memberi tumpuan pada perniagaan yoga. “Saya rindu pentas. Malam ini membuktikan bahawa muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi paling indah. Tahun depan saya mahu lebih aktif kembali dalam dunia seni,” katanya penuh semangat.

    “Gelombang Bahagiaku” menutup tirai dengan meninggalkan kesan mendalam kepada setiap yang hadir. Lebih daripada sekadar konsert, ia adalah malam magis yang menyatukan cinta, muzik dan kenangan abadi.

  • Fenomena Bollywood: ‘Coolie’ Rasmi Ditayangkan di Malaysia

    Fenomena Bollywood: ‘Coolie’ Rasmi Ditayangkan di Malaysia

    Kumpulan Syarikat Malik Streams sekali lagi membuktikan pengaruh besarnya dalam dunia hiburan tanah air apabila diumumkan sebagai pengedar rasmi filem blockbuster Coolie di Malaysia. Filem aksi thriller berbahasa Tamil ini telah mula ditayangkan serentak di seluruh negara bermula 14 Ogos 2025 dan mencatatkan kutipan tertinggi di dunia untuk tayangan hari pertama pawagam Tamil.

    Didorong oleh visi Dato’ Malik, Malik Streams telah lama menjadi pintu penghubung Malaysia dengan industri hiburan antarabangsa, khususnya Bollywood dan Kollywood. Bermula pada tahun 2007 dengan perniagaan barangan isi rumah dan bekalan borong, Malik Streams berkembang pesat ke pelbagai sektor lain termasuk hiburan, media, pelaburan hartanah, pertukaran mata wang, perhotelan serta kegiatan kebajikan. Kini, jenama ini turut meluaskan sayap ke industri emas dengan pelancaran butik eksklusif MS Gold di Kuala Lumpur, Seremban dan Johor.

    Coolie, arahan pengarah prolifik Lokesh Kanagaraj dan diterbitkan oleh Kalanithi Maran, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Superstar Padma Bhushan Rajinikanth, Nagarjuna, Soubin Shahir, Upendra, Shruti Haasan, Sathyaraj dan Aamir Khan.

    Filem ini menjadi lebih istimewa kerana menandakan 50 tahun perjalanan karier Superstar Rajinikanth dalam industri perfileman sebuah pencapaian bersejarah yang diraikan peminat di seluruh dunia. Dengan jalan cerita yang mendebarkan, lakonan penuh karisma, serta aksi berskala besar, Coolie dianggap sebagai antara karya paling dinantikan tahun ini.

    Sebagai pengedar rasmi, Malik Streams berperanan penting memastikan peminat di Malaysia dapat menikmati karya hebat ini secara eksklusif di pawagam tempatan. Menurut Dato’ Malik, kejayaan membawa Coolie ke Malaysia adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malik Streams untuk memperkukuhkan kedudukan negara sebagai hab hiburan antarabangsa di rantau ini.

    “Kami berbangga menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Coolie bukan sahaja sebuah filem, tetapi satu perayaan kepada legasi Rajinikanth dan bukti bahawa hiburan mampu menyatukan masyarakat merentas budaya,” ujar beliau.

    Dengan reputasi yang kukuh dan rangkaian perniagaan yang terus berkembang, Malik Streams diyakini akan terus memainkan peranan besar dalam membawa lebih banyak karya bertaraf dunia untuk penonton Malaysia.