Apabila Postur Menjadi Punca Kesakitan: Kenali Sindrom “Text Neck” di Era Digital

Dalam era ledakan digital pasca pandemik, rakyat Malaysia kini berdepan satu ancaman kesihatan baharu yang kian membimbangkan sindrom text neck. Tabiat harian seperti terlalu kerap menunduk ke skrin telefon pintar, tablet atau komputer telah menyebabkan peningkatan kes sakit leher, bahu, dan gangguan saraf, terutama dalam kalangan remaja dan golongan pekerja profesional.

Menurut Dr Chang Kok Chun, Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Bedah Tulang Belakang di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), sindrom text neck merupakan kecederaan akibat tekanan berulang yang berpunca daripada postur kepala ke hadapan secara berterusan. “Otot dan sendi leher menjadi tegang apabila posisi kepala tidak sejajar dengan tulang belakang. Lama-kelamaan, ini boleh menyebabkan keletihan otot, ketidakselesaan, dan kerosakan struktur jika tidak dirawat,” jelas beliau.

Malaysia di Ambang Krisis Postur Digital

Malaysia mencatat purata penggunaan peranti digital selama 8 jam 17 minit sehari, menjadikannya antara yang tertinggi di Asia. Malah, negara ini juga tersenarai sebagai pengguna TikTok ketiga tertinggi di Asia Tenggara dengan purata 121 video ditonton setiap hari. Dalam situasi ini, kombinasi waktu skrin yang panjang, kurangnya kesedaran ergonomik dan budaya kerja sedentari mendedahkan ramai kepada risiko sindrom text neck.

“Postur kepala ke hadapan sebanyak 45 darjah boleh meningkatkan tekanan pada tulang belakang serviks daripada 5 kilogram kepada 22 kilogram, bersamaan lebih 1,000 jam tekanan setahun,” kata Thomas Chua Wei Yeh, Ahli Fisioterapi dan Pengurus Perkhidmatan Perubatan Pemulihan SMCV. Akibatnya, pesakit boleh mengalami gejala seperti sakit leher dan bahu, pening, kebas pada tangan, dan juga permulaan awal kepada masalah artritis degeneratif.

Golongan Muda Juga Terancam

Dr Chang turut menekankan bahawa sindrom ini tidak lagi terhad kepada warga emas atau pekerja pejabat sahaja. “Penggunaan telefon pintar secara berterusan dalam kalangan remaja menyumbang kepada peningkatan pesakit muda. Kini, text neck bukan sahaja isu kesihatan, malah menjadi cabaran kepada produktiviti tenaga kerja negara.”

Ergonomik tempat kerja yang lemah turut memperburuk situasi. Ramai pekerja duduk dalam posisi yang tidak ideal untuk tempoh masa yang panjang, menyumbang kepada peningkatan cuti sakit, keletihan kronik, dan prestasi kerja yang menurun. Kajian Kementerian Kesihatan mendapati bahawa 67% rakyat Malaysia mengalami sakit leher sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, menjadikannya aduan muskuloskeletal kedua paling kerap dilaporkan.

Kenali Simptom Awal Sebelum Terlambat

text neck sering tidak disedari pada peringkat awal. Simptom lazim termasuk rasa kekakuan atau stiffness pada leher dan belakang atas, sakit kepala dari pangkal tengkorak, kebas atau kesemutan pada tangan, pening, dan keletihan mata. Malangnya, ramai menganggapnya sebagai tekanan kerja atau kurang rehat semata-mata.

“Sakit leher kerap diberi perhatian, tetapi bahagian bahu dan belakang atas sering diabaikan. Sedangkan ini adalah petanda awal kepada masalah struktur badan yang lebih serius,” tegas Dr Chang. Beliau menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap isyarat tubuh dan mendapatkan rawatan awal sebelum keadaan menjadi kronik.

Kesan Jangka Panjang yang Membimbangkan

Jika diabaikan, sindrom text neck boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius seperti cakera tergelincir (slipped disc), bahu beku, serta penurunan kapasiti paru-paru akibat postur membongkok terlalu lama. Malah, gangguan aliran darah dan isyarat saraf ke otak juga boleh berlaku, mengakibatkan gejala seperti kabur penglihatan, kekeliruan dan kesukaran menumpukan perhatian.

“X-ray boleh menunjukkan pelurusan abnormal tulang belakang akibat kekejangan otot berterusan. Jika tidak dirawat, ini akan mempercepatkan kemerosotan cakera dan sendi leher, yang dikenali sebagai spondilosis servikal,” tambah Dr Chang. Dalam kes yang teruk, tekanan pada saraf tunjang boleh menyebabkan kelemahan otot atau bahkan kelumpuhan anggota atas.

Langkah Pencegahan Adalah Kunci

Untuk menangani sindrom text neck, pencegahan adalah langkah terbaik. Ini termasuk:

  • Mengekalkan postur yang betul semasa menggunakan peranti
  • Mengangkat peranti ke paras mata dan mengelakkan menunduk berlebihan
  • Mengambil rehat berkala untuk meregangkan otot leher dan bahu
  • Mengamalkan senaman ringan dan latihan kekuatan leher

Dengan peningkatan kesedaran dan amalan gaya hidup yang sihat, rakyat Malaysia boleh mencegah text neck daripada menjadi wabak kesihatan seterusnya.