AJL39: Perjalanan Berprestij Muzik Tanah Air Kini Bermula!

Perjalanan ke malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) telah pun bermula! Sabtu lalu, siaran langsung Mega Live AJL39 di TikTok TV3 Malaysia mencuri perhatian ramai dengan pelbagai pengumuman menarik yang pasti menggembirakan peminat. Dari tema dan tarikh acara, jualan tiket, gandingan hos baharu, hingga penaja utama yang eksklusif, semuanya membayangkan sebuah pengalaman yang penuh luar biasa. Tidak ketinggalan, aktiviti istimewa Healing AJL39 akan diadakan hujung minggu ini untuk para peminat setia!

AJL39 akan berlangsung pada 16 Februari 2025 (Ahad), bermula jam 9:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Acara penuh prestij ini akan disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton, memberikan peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan persembahan hebat daripada 10 finalis terpilih. Acara ini diterajui oleh Russell Mark Rodrigues sebagai Pengurus Projek dan Jamil Bin Hassan sebagai Penerbit Eksekutif.

Tema AJL39 tahun ini, Nada Rasa, memberi fokus kepada kekuatan muzik dalam menyampaikan emosi dan mesej yang mendalam. Setiap nada, melodi, dan getaran instrumen membawa makna tersendiri yang mampu menyentuh jiwa. Tema ini memberikan peluang kepada para finalis untuk menampilkan karya mereka dengan lebih kreatif, puitis, dan penuh ekspresi, sekaligus mencipta pengalaman penuh rasa bagi penonton.

Tahun ini, pentas AJL39 akan dihoskan oleh gandingan baharu yang penuh energi, Naz Rahman dan Sissy Imann. Dengan gaya tersendiri, mereka dijangka menghidupkan suasana malam AJL39 dengan penuh kemeriahan. Sementara itu, segmen Karpet Merah pula bakal dimeriahkan oleh Fikry Ibrahim dan Malia Baby, yang akan memberikan sentuhan glamor kepada acara ini dengan menyambut para selebriti dan finalis.

Peminat yang ingin menyaksikan AJL39 secara langsung di Axiata Arena kini boleh mendapatkan tiket mereka. Jualan telah bermula sejak 18 Januari 2025 dan boleh dibeli secara dalam talian melalui laman web rasmi WowTix. Pastikan anda mendapatkan tiket dengan segera untuk tidak terlepas malam penuh kemeriahan ini!

Tahun ini, AJL39 turut memperkenalkan JardinPeau, jenama penjagaan kulit terkemuka milik Skinville Solution Sdn. Bhd., sebagai penaja utama. Kehadiran JardinPeau bukan sahaja meningkatkan keistimewaan acara ini, tetapi juga menjadikannya lebih gah dan berprestij.

Peminat AJL39 turut berpeluang menikmati Healing AJL39, siri digital eksklusif di TikTok yang menampilkan persembahan akustik santai bersama kesemua 10 finalis. Selain itu, sesi Meet & Greet bersama para finalis akan diadakan pada 25 dan 26 Januari 2025 (Sabtu & Ahad) di Gua Juicery, Taman Botani Putrajaya. Bawalah “kerusi healing” anda dan nikmati pengalaman muzik yang mendalam dalam suasana santai.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan AJL39 yang penuh kejutan dan emosi! Kosongkan kalendar anda pada 16 Februari 2025 dan pastikan anda mendapatkan tiket melalui WowTix. Ikuti perkembangan terkini AJL39 di laman sosial rasmi Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia.