Astro, syarikat media dan hiburan terkemuka Malaysia, hari ini mengumumkan pelancaran Astro X3, sebuah penawaran baharu berasaskan penstriman yang memberikan pengalaman hiburan lebih mudah, fleksibel dan tanpa keperluan dekoder, pemasangan atau kontrak jangka panjang.
Menerusi Astro X3, pelanggan kini boleh menikmati kandungan Astro secara terus melalui proses pendaftaran yang ringkas menggunakan telefon pintar. Dengan hanya beberapa langkah mudah, pengguna boleh mula menonton pelbagai pilihan kandungan kegemaran mereka dalam tempoh beberapa minit sahaja, selari dengan perubahan gaya tontonan penonton masa kini yang lebih mengutamakan kemudahan dan akses segera.
Pelancaran Astro X3 turut memperkukuhkan komitmen Astro dalam menyediakan akses lebih luas kepada kandungan hiburan, cerita tempatan, program antarabangsa serta siaran langsung sukan bertaraf dunia. Platform baharu ini hadir bersama barisan kandungan menarik yang bakal menemui penonton Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, Astro sentiasa berusaha menghubungkan rakyat Malaysia dengan kandungan yang dekat di hati mereka, termasuk kisah tempatan, hiburan langsung, sukan global dan kandungan antarabangsa.
Menurut beliau, Astro X3 mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk menjadikan pengalaman Astro lebih mudah dicapai oleh semua golongan penonton. Pelanggan kini boleh mendaftar terus melalui peranti mudah alih dan menikmati pengalaman penstriman tanpa dekoder, tanpa pemasangan serta lebih fleksibel mengikut keperluan masing-masing. Bermula Disember 2026, pelanggan juga akan menikmati pilihan pelan tanpa kontrak yang memberikan lebih kebebasan dalam mengurus langganan mereka.
Direka khas untuk memenuhi keperluan penonton moden yang semakin beralih kepada penstriman digital, Astro X3 membolehkan pelanggan mengakses kandungan menerusi aplikasi Astro di televisyen pintar (Smart TV) yang serasi serta menikmati pengalaman tontonan lancar merentas pelbagai peranti termasuk Astro GO.
Melalui Astro X3, pelanggan boleh menikmati pelbagai kandungan eksklusif termasuk Astro Originals, siaran langsung sukan popular seperti Liga Perdana, Liga Juara-Juara AFC, UEFA, Formula 1, MotoGP, Wimbledon serta kejohanan badminton antarabangsa. Selain itu, platform ini turut menawarkan hiburan global secara langsung untuk memenuhi citarasa penonton yang pelbagai.
Mulai 20 Julai 2026, pelanggan boleh melanggan Astro X3 menerusi dua pilihan pelan kontrak 12 bulan iaitu Astro X3: Entertainment 12 Pack pada harga RM39.99 sebulan atau Astro X3: Sports 12 Pack pada harga RM89.99 sebulan.
Bagi memberikan pengalaman yang lebih fleksibel, Astro turut memperkenalkan pilihan pelan tanpa kontrak bermula Disember 2026. Pelanggan boleh memilih Astro X3: Entertainment Pack daripada RM59.99 sebulan atau Astro X3: Sports Pack daripada RM109.99 sebulan. Semua Astro X3: Sports Pack turut merangkumi akses kepada kandungan dalam Entertainment Pack, memberikan pilihan hiburan yang lebih menyeluruh.
Selain memperkenalkan Astro X3, Astro turut mengumumkan barisan kandungan baharu yang bakal menghiburkan penonton menerusi pelbagai genre termasuk filem, drama, program siaran langsung dan mikrodrama bersaiz pendek.
Antara filem yang bakal menemui penonton termasuk Terbang, Kudrat 1968 dan HAK: Tuntut atau Tunduk. Sementara itu, barisan drama Astro terus diperkaya menerusi judul seperti Bulan Henti Bicara, Sumpahan Mencintai, Love of My Life, Jutawan Ekspres 2, Premier League: I Love You, WOLONG: The Mastermind, Maara dan Marmadesam.
Bagi peminat hiburan secara langsung, Astro turut menyediakan pelbagai program Signature Live termasuk Big Stage Rocketfuel, Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026 dan Kilauan Emas Selebriti.
Daripada filem tempatan yang dinanti-nantikan, drama berkualiti tinggi, hiburan langsung sehinggalah siaran sukan premium, Astro terus memperluaskan ekosistem kandungannya bagi memenuhi keperluan penonton di mana sahaja mereka berada.
Dengan kehadiran Astro X3, pengalaman menikmati hiburan kini menjadi lebih mudah, pantas dan fleksibel. Platform baharu ini membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk menemui, menikmati serta berhubung dengan kandungan dan detik hiburan yang mereka gemari mengikut cara pilihan masing-masing.
Astro X3 boleh mula dilanggan mulai 20 Julai 2026. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Astro X3 dan mendaftarkan minat, layari https://m.astro.as/x3 atau astro.com.my.
