Filem seram terbaru Khadam kembali menghangatkan industri perfileman tempatan selepas tayangan perdananya pada 9 Jun lalu. Bukan sekadar sebuah cerita seram biasa, filem ini turut dipenuhi dengan emosi dan persoalan hidup yang dekat dengan realiti masyarakat. Ia mengangkat kisah yang cukup sinonim dengan budaya Melayu iaitu tentang saka, warisan keluarga dan pengorbanan seorang ibu.
Sejak malam tayangan tersebut, media sosial mula dibanjiri dengan pelbagai reaksi penonton yang rata-ratanya menyifatkan Khadam sebagai naskhah yang bukan saja menakutkan, tetapi juga membuatkan penonton rasa marah, gelisah, tegang dan sedih dalam masa yang sama. Ramai juga mengakui pengalaman menonton filem ini jauh berbeza daripada filem seram biasa kerana ia benar-benar menyentuh emosi dan naluri keibuan.
Antara yang turut berkongsi pandangan ialah personaliti terkenal Yasmin Hani dan Sazzy Falak. Bagi mereka, kesan paling kuat daripada Khadam bukan datang daripada kemunculan entiti atau babak seram semata-mata, tetapi daripada penderitaan emosi seorang ibu yang terpaksa berdepan kemungkinan kehilangan insan yang paling disayangi.
“Sebagai seorang ibu, filem ini memang terlalu sakit untuk ditonton. Bukan semata-mata sebab seram, tapi kerana kita boleh rasa ketakutan dan kesedihan seorang ibu yang hanya mahu yang terbaik untuk anaknya, tapi akhirnya terpaksa menanggung akibat daripada pilihan yang dibuat,” jelas Yasmin Hani dan Sazzy Falak.
Mereka juga berpandangan kekuatan Khadam terletak pada hakikat bahawa rasa seram itu bukan hanya datang daripada kewujudan saka semata-mata, tetapi daripada akibat apabila manusia sendiri membuka ruang kepada kejahatan itu.
Pendekatan ini menjadikan Khadam bukan sekadar filem seram, tetapi sebuah naskhah yang mengganggu emosi kerana perkara paling menakutkan sebenarnya bukan makhluk yang menghantui, tetapi pilihan manusia yang membawa padah.
Diarahkan oleh Shamyl Othman, filem ini diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions dengan kerjasama Primeworks Studios. Ia turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan ramai lagi.
Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam mengisahkan Melor, seorang ibu yang berusaha melindungi keluarganya daripada saka yang diwarisi turun-temurun. Namun semakin dia cuba mempertahankan keluarga, semakin besar harga yang perlu dibayar. Sedikit demi sedikit, Melor mula hilang kawalan terhadap hidupnya dan berdepan risiko kehilangan segala yang paling berharga.
Khadam kini sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.
Beranikah anda untuk berdepan rahsia yang menunggu di sebalik setiap pintu yang terbuka? Dapatkan tiket anda sekarang.
