Dari Komedi Ke Dunia Mafia, Zahiril Adzim Tampil Dengan Sisi Berbeza
4 min read
Berilah apa sahaja watak kepada Zahiril Adzim, pasti penonton akan hanyut mempercayai setiap karakter yang dibawakan dengan penuh berkesan. Selepas mencuit hati khalayak menerusi watak Amir Daniel dalam Libang Libu dan menerima maklum balas positif daripada penonton, kali ini Zahiril tampil dengan sisi berbeza menerusi perjalanan karakter terbaharunya.
Menerusi drama Bapa Mentuaku Mafia arahan Afiza Asram, Zahiril diberikan tanggungjawab membawakan watak Ustaz Takdir, seorang ustaz muda yang santai, mudah didekati dan mempunyai sisi humor tersendiri. Menurut Zahiril, walaupun drama tersebut sarat dengan elemen komedi, dirinya sebenarnya seorang yang serius dan jarang berjenaka dalam kehidupan seharian.

“Karakter ini sangat menarik dan saya begitu teruja untuk membawakannya. Ustaz Takdir merupakan seorang ustaz yang santai, easy going dan kelakar. Watak ini juga berbeza daripada gambaran ustaz yang sering dibayangkan penonton. Pada zaman sekarang, ramai ustaz muda tampil dengan pendekatan lebih dekat dengan golongan muda dan bagi saya, itu bukan sesuatu yang salah kerana ia mampu menarik perhatian mereka,” katanya.
Tambah Zahiril lagi, dia berharap dapat memberikan yang terbaik menerusi watak tersebut, apatah lagi jalan cerita drama itu memperlihatkan dirinya mempunyai bapa mentua seorang mafia. Pelakon itu turut mengakui seronok dapat bergandingan bersama Siti Hariessa dalam menjayakan drama berkenaan.

Selain Zahiril dan Siti Hariessa, drama ini turut dibintangi Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Shekon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan. Ketika diusik mengenai sikap latahnya di dunia sebenar, Zahiril menjawab secara berseloroh bahawa semua dakwaan tersebut hanyalah “hikayat rakyat” dan dongeng semata-mata walaupun terdapat bukti yang kukuh.
Bapa Mentuaku Mafia mula ditayangkan pada 13 Mei 2026 di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pada pukul 9 malam. Drama ini mengisahkan Ustaz Takdir, seorang ustaz bertauliah yang terkenal kerana kebijaksanaan serta sifat lucunya. Selepas kehilangan ayah ketika masih di bangku sekolah, Takdir tinggal bersama ibunya dan setia terhadap cinta pertamanya, Murni. Namun kehidupannya berubah apabila ketua mafia bernama Zack memaksanya berkahwin dengan anak perempuannya, Melissa, demi mengubah kehidupan keluarga mereka.
Sebagai seorang ustaz muda yang berpegang teguh pada iman dan prinsip hidup, Takdir akhirnya terjerumus ke dalam dunia penuh bahaya yang sarat dengan kuasa, rahsia dan konflik kesetiaan. Kehadiran Melissa dan Murni menjadikan perjalanan hidupnya semakin rumit, sementara misinya untuk membantu mengubah kehidupan Dato’ Zack membuka lembaran baharu yang tidak pernah dijangkakan. Disulami humor dan kisah ringan yang menghiburkan, drama ini turut menyampaikan mesej tentang kasih sayang, pengorbanan serta keinsafan dalam kehidupan.