Tag: #DramaAstro

  • Dari Komedi Ke Dunia Mafia, Zahiril Adzim Tampil Dengan Sisi Berbeza

    Dari Komedi Ke Dunia Mafia, Zahiril Adzim Tampil Dengan Sisi Berbeza

    Berilah apa sahaja watak kepada Zahiril Adzim, pasti penonton akan hanyut mempercayai setiap karakter yang dibawakan dengan penuh berkesan. Selepas mencuit hati khalayak menerusi watak Amir Daniel dalam Libang Libu dan menerima maklum balas positif daripada penonton, kali ini Zahiril tampil dengan sisi berbeza menerusi perjalanan karakter terbaharunya.

    Menerusi drama Bapa Mentuaku Mafia arahan Afiza Asram, Zahiril diberikan tanggungjawab membawakan watak Ustaz Takdir, seorang ustaz muda yang santai, mudah didekati dan mempunyai sisi humor tersendiri. Menurut Zahiril, walaupun drama tersebut sarat dengan elemen komedi, dirinya sebenarnya seorang yang serius dan jarang berjenaka dalam kehidupan seharian.

    “Karakter ini sangat menarik dan saya begitu teruja untuk membawakannya. Ustaz Takdir merupakan seorang ustaz yang santai, easy going dan kelakar. Watak ini juga berbeza daripada gambaran ustaz yang sering dibayangkan penonton. Pada zaman sekarang, ramai ustaz muda tampil dengan pendekatan lebih dekat dengan golongan muda dan bagi saya, itu bukan sesuatu yang salah kerana ia mampu menarik perhatian mereka,” katanya.

    Tambah Zahiril lagi, dia berharap dapat memberikan yang terbaik menerusi watak tersebut, apatah lagi jalan cerita drama itu memperlihatkan dirinya mempunyai bapa mentua seorang mafia. Pelakon itu turut mengakui seronok dapat bergandingan bersama Siti Hariessa dalam menjayakan drama berkenaan.

    Selain Zahiril dan Siti Hariessa, drama ini turut dibintangi Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Shekon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan. Ketika diusik mengenai sikap latahnya di dunia sebenar, Zahiril menjawab secara berseloroh bahawa semua dakwaan tersebut hanyalah “hikayat rakyat” dan dongeng semata-mata walaupun terdapat bukti yang kukuh.

    Bapa Mentuaku Mafia mula ditayangkan pada 13 Mei 2026 di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pada pukul 9 malam. Drama ini mengisahkan Ustaz Takdir, seorang ustaz bertauliah yang terkenal kerana kebijaksanaan serta sifat lucunya. Selepas kehilangan ayah ketika masih di bangku sekolah, Takdir tinggal bersama ibunya dan setia terhadap cinta pertamanya, Murni. Namun kehidupannya berubah apabila ketua mafia bernama Zack memaksanya berkahwin dengan anak perempuannya, Melissa, demi mengubah kehidupan keluarga mereka.

    Sebagai seorang ustaz muda yang berpegang teguh pada iman dan prinsip hidup, Takdir akhirnya terjerumus ke dalam dunia penuh bahaya yang sarat dengan kuasa, rahsia dan konflik kesetiaan. Kehadiran Melissa dan Murni menjadikan perjalanan hidupnya semakin rumit, sementara misinya untuk membantu mengubah kehidupan Dato’ Zack membuka lembaran baharu yang tidak pernah dijangkakan. Disulami humor dan kisah ringan yang menghiburkan, drama ini turut menyampaikan mesej tentang kasih sayang, pengorbanan serta keinsafan dalam kehidupan.

  • Semua penyondol jahat — mitos atau realiti?

    Semua penyondol jahat — mitos atau realiti?

    Kelainan yang dibawakan dalam Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) nyata membezakan drama ini daripada naskhah tipikal televisyen tempatan. Di bawah arahan Shahrul Ezad Mohameddin, drama ini berani memaparkan perspektif berbeza terhadap watak ‘penyondol’, apabila karakter Alisa lakonan Trisha Ooi digambarkan mempunyai sisi empati, bukan sekadar antagonis semata-mata.

    Konflik menjadi lebih menarik apabila watak Emma yang dilakonkan oleh Sharifah Sakinah tampil dengan dialog penuh emosi yang menggambarkan luka seorang isteri yang dikhianati. Pertembungan dua perspektif ini menjadikan naratif drama lebih kompleks dan dekat dengan realiti kehidupan, sekali gus membuka ruang kepada penonton untuk menilai sendiri isu yang diketengahkan.

    Mengangkat tema keagamaan, kekeluargaan dan pengorbanan, drama 28 episod ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut sarat dengan pengajaran. Sujud Terakhir Encik Norman kini menjadi antara tontonan wajib bagi peminat drama tempatan yang mencari kelainan dalam penceritaan.

  • Kisah Ketabahan ‘Ternyata Sebuah Bahagia’

    Kisah Ketabahan ‘Ternyata Sebuah Bahagia’

    Astro akan melancarkan drama terbaru berjudul “Ternyata Sebuah Bahagia”, yang merupakan karya dari Suhan Movies. Drama ini mengisahkan perjalanan seorang lelaki yang hampir merenggut nyawanya. Diberi kesempatan kedua untuk memperbaiki kehidupannya, dia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha membimbing keluarganya. Tayangan drama ini akan berlangsung di slot Tiara, bermula 23 September, setiap Isnin hingga Jumaat, pada pukul 6 petang di saluran Astro Ria (Saluran 104), serta boleh ditonton melalui platform On Demand, Astro GO, dan sooka.

    “Ternyata Sebuah Bahagia” adalah sebuah kisah keluarga yang sarat dengan pengajaran, menceritakan usaha seorang lelaki dalam membimbing keluarganya yang telah jauh tersasar dari ajaran agama. Elemen cinta segi tiga dan konflik kekeluargaan menjadi inti cerita ini. Lagu rasmi bertajuk “Perisai Cinta” yang dinyanyikan oleh Liza Hanim juga memberi nilai tambahan kepada drama ini.

    Drama ini terdiri daripada 40 episod dan memaparkan penceritaan yang penuh emosi hasil kerjasama pengarah Nur Ain Shariff dan Ejump Mohd. Antara barisan pelakon yang menyerlah termasuk Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai Datin Jeanice, Zamarul Hisham sebagai Datuk Zamani, dan Datin Elvina Mohd sebagai Rhea, dengan sokongan dari Dewi Remaja Myra Afrina dan Lorenzo Irmann.

    Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Ria, mengungkapkan, “Ternyata Sebuah Bahagia menampilkan pelakon berbakat serta skrip yang mantap, yang diharapkan dapat memberikan pengajaran dan hiburan kepada penonton. Kisah rumah tangga yang diolah dengan baik oleh pengarah, disertai konflik yang menyentuh pasti akan menggetarkan hati penonton. Kami juga mendengar permintaan penonton untuk menyaksikan gandingan Che Puan Sarimah Ibrahim dan Zamarul Hisham, serta kemunculan Datin Elvina Mohamed yang sudah dikenali di kalangan peminat drama panjang.”

    Pengarah “Ternyata Sebuah Bahagia”, Nur Ain Shariff dan Ejump Mohd, berkata, “Kita sedar bahawa isu-isu yang berlaku dalam masyarakat dapat diterjemahkan dalam bentuk drama, yang pastinya akan menarik perhatian penonton. Harapan kami agar penonton dapat menikmati naskah ini sepenuhnya dan lebih menghargai keluarga mereka selepas menontonnya. Di samping mesej keagamaan, kekuatan watak seorang ayah yang berusaha memulihkan keluarganya yang berantakan adalah tema utama dalam drama ini.”

    Kisah ini berpusat kepada Datuk Zamani yang hampir kehilangan nyawanya akibat serangan angin ahmar di sebuah kelab malam. Insiden tersebut menyebabkan keluarganya berpecah. Setelah pulih, Datuk Zamani bertekad untuk mengubah cara hidupnya dan mendalami ilmu agama. Perubahan ini memberi kesan kepada isterinya, Jeanice, yang tidak pernah terdedah kepada ajaran Islam. Jeanice mula menyedari kepentingan agama dan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan tersebut. Namun, Rhea yang dipinang oleh Jeanice memiliki agenda tersembunyi, bekerja sama dengan bekas kekasihnya untuk menjatuhkan perniagaan dan keluarga Datuk Zamani.

    Siri drama terbaru Astro, “Ternyata Sebuah Bahagia”, akan memulakan tayangannya pada 23 September, setiap Isnin hingga Jumaat, pada jam 6 petang di Astro Ria (Saluran 104), dan juga boleh diakses melalui On Demand, Astro GO, dan sooka.

    Daftar sekarang untuk mendapatkan tawaran terhad dari Astro Baharu, JUALAN JIMAT BESAR dengan harga serendah RM41.99/sebulan dan pemasangan percuma*. Dapatkan hiburan terbaik dalam satu platform! Kunjungi astro.com.my untuk maklumat lanjut mengenai langganan.